Bermula di Simpang Renggam, istana belon 'fans' tegar JDT kini tawan seluruh Johor


  • Bizz
  • Ahad, 27 Okt 2024

Wanita berasal dari Simpang Renggam itu kini berjaya mengembangkan perniagaan MM Pools Water Slide miliknya ke seluruh Johor.

PADA mulanya, Tiara Mariana Talib menyewa istana belon daripada kenalannya dengan tujuan untuk anak-anak bermain dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kira-kira empat tahun lalu.

Disebabkan sekatan yang dilaksanakan kerajaan susulan penularan wabak Cocid-19, dia dan suami menyewa tiga kolam bersaiz kecil untuk menggembirakan kedua-dua puterinya yang kebosanan akibat tidak dapat bermain di luar.

Dia sama sekali tidak menyangka, pemilik taman permainan air itu berhasrat untuk menjual ketiga-tiga kolamnya kepada Tiara Mariana disebabkan dirinya memerlukan wang untuk urusan kecemasan.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan

WhatsApp Image 2024-10-13 at 13.17.12

Permintaan istana belon semakin menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun.

Dengan niat untuk membantu, wanita berusia 27 tahun itu kemudian membeli tiga kolam berkenaan dengan harga RM3,000.

“Awalnya, saya beli untuk keluarga bermain sahaja, tetapi selepas dikongsikan di media sosial, rupa-rupanya ramai yang berminat menyewa.

"Bermula dengan jiran-jiran sehinggalah saya mula menyewakan kolam kepada lebih ramai orang di sekitar Simpang Renggam,” katanya kepada Majoriti.

Permintaan istana belon itu kemudian semakin menunjukkan peningkatan sehingga usahawan tersebut berjaya mendapatkan pulangan modal sebelum membeli lebih banyak kolam baharu untuk disewakan.

Kini, wanita berasal dari Simpang Renggam, Kluang, Johor itu berjaya mengembangkan perniagaan MM Pools Water Slide (MM Pools) miliknya ke seluruh Johor, dengan kolam berharga antara RM150 hingga RM500 bergantung kepada saiz.

6077637951342362621

Wanita berasal dari Simpang Renggam itu berjaya mengembangkan perniagaan MM Pools miliknya ke seluruh Johor.

Dia turut mengenakan caj pengangkutan antara RM30 hingga RM80 untuk kawasan di luar Simpang Renggam, manakala penghantaran dalam kawasan tersebut diberikan secara percuma.

Akui peminat tegar pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) itu lagi, suami juga banyak membantu dalam pengurusan perniagaan, terutamanya ketika awal-awal berniaga, yang mana mereka berdua menguruskan keseluruhan proses pemasangan dan pengemasan kolam dengan sendiri.

“Walaupun mempunyai pekerjaan lain, dia banyak membantu menguruskan bisnes ini. Pada mulanya kami berdualah yang kemas dan angkat kolam sendirian.

"Alhamdulillah sekarang kami sudah ada tiga pekerja tetap yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami,” ujarnya yang pernah bekerja sebagai jurujual kereta keluaran Jepun selama tujuh tahun.

WhatsApp Image 2024-10-13 at 13.18.14

Pihak sekolah juga antara pelanggan yang menempah kolam daripada Tiara Mariana.

Kerenah pelanggan

Perniagaan MM Pools terus berkembang, bukan sahaja disewakan untuk acara persendirian, tetapi juga mendapat permintaan tinggi daripada institusi seperti sekolah dan jabatan kerajaan.

“Saya juga banyak buat sewaan untuk program melibatkan sekolah, program acara santai seperti anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” tambahnya yang sudah mulai aktif menyertai pelbagai acara di luar Johor.

WhatsApp Image 2024-10-13 at 13.17.21

Tiara Mariana berjaya menjana pendapatan lumayan pada musim-musim perayaan.

Tiara Mariana bercerita lanjut, cabaran utama dalam perniagaan ini termasuk risiko kerosakan kolam, terutamanya kolam kain yang lebih mudah koyak jika tidak dijaga dengan baik oleh pelanggan.

Maklumnya, dia memiliki dua jenis kolam iaitu jenis kain dan juga polyvinyl chloride (PVC). Untuk kolam kain, harganya lebih murah iaitu bermula RM150 sehingga RM300.

"Namun kolam jenis kain sebenarnya lebih berisiko untuk rosak jika pelanggan tidak menjaganya dengan baik.

"Kolam kain misalnya tidak boleh bermain dengan menggunakan seluar jeans, sebab kalau ada benda tajam contohnya zip, kain kita mudah rosak," jelasnya yang tetap optimis dalam menghadapi apa jua cabaran melibatkan kelakuan pelanggan.

WhatsApp Image 2024-10-13 at 13.28.02

Perniagaan MM Pools bukan sahaja disewakan untuk acara persendirian, tetapi juga mendapat permintaan tinggi daripada institusi seperti sekolah.

Enggan mulakan pergaduhan

Walaupun pernah berlaku kerosakan, dia memilih untuk tidak mengenakan caj tambahan kepada pelanggan, malah sanggup menanggung kos sendiri dengan menggunakan khidmat tukang jahit bagi membaiki kolam yang rosak.

"Kita tidak mengenakan caj untuk tempahan, biasanya mereka akan bermain dahulu kemudian bayar, tapi ada situasi yang mana ada pelanggan enggan bayar selepas bermain dengan alasan permainan tersebut tidak begitu memuaskan hati mereka.

"Ada jenis yang bila kita hantar kolam dalam keadaan baik, namun sewaktu hendak mengambilnya semula ada kesan terkoyak pada kolam jenis kain. Bila ditanya, mereka kata tidak tahu dan tidak boleh nak syak sesiapa kerana ramai yang main.

"Pelbagai alasan dicipta hingga pada akhirnya saya mengalah dan abaikan sahaja jenis pelanggan yang berperangai sedemikian," bicaranya lagi.

WhatsApp Image 2024-10-13 at 13.27.53 (1)

Nama MM Pools Water Slide diambil bersempena nama kedua-dua anak perempuannya, Tiara Mikayla dan Tiara Malaika.

Musim perayaan

Berkat kesabaran dan kegigihannya, Tiara Mariana berjaya menjana pendapatan lumayan pada musim-musim perayaan.

Pada awal 2024 lalu, sempena Tahun Baru Cina, usahawan wanita ini berjaya meraih jualan sebanyak RM15,000 dalam masa seminggu sahaja, hasil daripada kolam kecil yang disewakan dari rumah ke rumah di kawasan Kluang dan Batu Pahat.

"Hasil jualan kami adalah bergantung musim tertentu, kebiasaannya waktu perayaan dan cuti sekolah boleh bawa keuntungan yang agak lumayan," katanya sambil memberitahu pihaknya sudah menerima beberapa tempahan sempena perayaan Deepavali akan datang.

WhatsApp Image 2024-10-13 at 13.18.04

MM Pools kini bersedia untuk menerima lebih banyak tempahan.

Tiara Mariana turut memberitahu, nama MM Pools Water Slide juga diambil bersempena nama kedua-dua anak perempuannya iaitu Tiara Mikayla dan Tiara Malaika, masing-masing berusia lima dan dua tahun.

“Mereka adalah rezeki saya. Malah keputusan untuk meneruskan perniagaan ini juga memberikan saya lebih banyak masa untuk diluangkan bersama keluarga," tuturnya menambah bahawa masa bersama anak-anak juga adalah sesuatu yang tidak ternilai baginya.

Wanita itu mengakui bahawa MM Pools kini bersedia untuk menerima lebih banyak tempahan, dengan keyakinan bahawa usaha gigih dan kesungguhan akan terus memacu kejayaannya pada masa hadapan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram