KEBANYAKAN warga emas lebih gemar menghabiskan masa persaraan dengan membaca surat khabar, menonton televisyen atau menjaga cucu-cucu mereka.
Namun, tidak bagi Chua Sen Swee, 78 tahun, yang menetap di Johor.
Untuk kekal aktif, moyang kepada sembilan cicit ini menjahit tikar lantai dan alas periuk menggunakan kain kitar semula.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Sen Swee menjahit tikar lantai menggunakan lebihan kain daripada perniagaan tekstilnya.
Dia menjalankan perniagaan tersebut di kedai cenderamata milik anak perempuannya, Teo Ngee Fang, di sebuah pasar raya dekat Taman Muhibbah, Kluang, Johor.
"Saya menjual tikar lantai selama setahun. Walaupun perniagaan ini agak perlahan, saya masih gembira kerana kerja menjahit sangat menyeronokkan.
"Selain memperoleh pendapatan, saya juga dapat bertemu dengan pelanggan dari pelbagai latar belakang,” katanya.
Sen Swee merupakan antara ramai warga emas yang masih aktif walaupun di usia tua.
Warga emas perlu kekal aktif untuk mengelakkan kebosanan dan kemurungan.
Menurut artikel dalam talian, The Telegraph pada 2010, penyelidik di University College London mendapati, individu yang mengadu tentang tahap kebosanan tinggi dalam hidup mereka, berisiko dua kali ganda untuk mati akibat penyakit jantung atau strok berbanding golongan yang mendapati hidup mereka menyeronokkan.
Selama 45 tahun, Sen Swee menjalankan perniagaan tekstil dan ubah suai pakaian di Jalan Panggung, Kluang.
Sen Swee sudah menjahit tikar lantai dan alas periuk selama setahun.
Dia menutup perniagaannya pada 2021 disebabkan penularan pandemik Covid-19.
"Anak-anak tidak suka dengan idea saya meneruskan perniagaan semasa Covid-19.
"Mereka bimbang tentang kesihatan saya dan risau kemungkinan dijangkiti penyakit pernafasan semasa pandemik.
"Jadi dengan berat hati, saya terpaksa menutup perniagaan tersebut,” kata nenek kepada 11 cucu itu lagi.
Hampir kemurungan
Sen Swee bagaimanapun mulai bosan semasa tempoh persaraannya.
Berinteraksi dengan pelanggan lama dan kebebasan menjalankan perniagaan, adalah antara momen yang sangat dirinduinya.
"Saya hampir mengalami kemurungan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Saya tidak suka berkurung di rumah dan tidak dapat melakukan apa-apa.
"Jadi anak saya, Ngee Fang, mencadangkan saya memulakan semula perniagaan, dengan memberi fokus pada tikar lantai buatan tangan,” ujarnya yang telah menjadi balu selama hampir 50 tahun.
Sen Swee mengenakan bayaran masing-masing RM4 dan RM8 untuk alas periuk dan tikar lantai buatan tangan.
Wanita itu belajar menjahit daripada ibu mentuanya pada 1960-an.
Dia menjahit tikar lantai menggunakan lebihan kain daripada perniagaan tekstilnya dan kain yang diberikan rakan-rakan.
Memberi nafas baharu kepada kain terpakai itu memberikan kegembiraan dalam hatinya.
"Saya mempunyai sekurang-kurangnya 10 beg kain lama, termasuk satin, kapas dan rayon meliputi pelbagai jenis corak, daripada batik, bunga hingga abstrak.
"Saya suka mencampurkan dan menyelaraskan warna-warna yang melengkapkan antara satu sama lain,” jelasnya sambil menambah bahawa Ngee Fang turut memesan kain lebihan menerusi platform dalam talian.
Di ruang kerjanya, Sen Swee mempunyai mesin jahit elektrik Raleigh, beg kain lebihan dan sebuah meja tempat dia mempamerkan hasil karyanya yang berwarna-warni.
Terdapat juga sofa baldu kecil di tepi mesin jahit, tempat berehat sejenak apabila penat menjengah.
Sen Swee (kiri) menjalankan perniagaan tersebut di kedai cenderamata Ngee Fang, di sebuah pasar raya di Taman Muhibbah, Kluang, Johor.
"Walaupun ruang ini kecil, saya mempunyai semua yang diperlukan untuk menjalankan perniagaan. Tambahan pula, anak perempuan juga ada di sini jadi saya selesa.
"Setiap hari, saya boleh menjahit sekurang-kurangnya dua tikar lantai. Ia mengambil masa kira-kira tiga jam untuk menjahit satu barang,” kata Sen Swee, yang mengenakan bayaran masing-masing RM4 dan RM8 untuk alas periuk dan tikar lantai buatan tangan.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Ngee Fang, 53, melihat perubahan positif pada ibunya, yang lebih ceria, positif dan gembira.
"Ibu tinggal bersama saya dan gembira menjalankan perniagaan kecilnya ini. Dia tidak kisah duduk di sini dari pukul 10 pagi hingga 5 petang setiap hari. Secara purata, ibu menjual kira-kira dua atau tiga barang sehari.
"Pada hujung minggu, dia boleh memperoleh kira-kira RM50 daripada jualan.
"Ini bukan soal jumlah wang yang diperoleh, tetapi lebih kepada ingin melihat dia kekal aktif dan bahagia," ujarnya sambil menguntum senyuman. — The Star/SHEELA CHANDRAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram