PERKEMBANGAN teknologi global menyaksikan industri rawatan estetik turut tidak ketinggalan dalam mengalami kepesatan evolusi.
Sebagai pelopor rawatan estetik di Malaysia, Dr Ungku Mohd Shahrin Mohd Zaman, 54, turut mengakui, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, rawatan estetik semakin mendapat perhatian bukan sahaja dalam kalangan elit, malah ia mula menjadi sebahagian daripada trend umum di Malaysia.
Selain perkembangan teknologi, media sosial dan budaya popular dari luar negara, seperti Hollywood dan Korea turut menyumbang ke arah peningkatan permintaan terhadap rawatan kecantikan ini.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
"Jika dahulu, rawatan estetik hanya dikenali golongan berpendapatan tinggi (T20) atau elit, sehingga ada yang sanggup melancong ke luar negara untuk melaksanakan prosedur ini.
"Namun, bermula sekitar 2013 hingga 2015, rawatan tersebut mula menarik minat golongan kelas pertengahan," katanya kepada Majoriti.
Minat Dr Ungku Mohd Shahrin lebih tertumpu kepada mendidik para doktor untuk menjalankan kajian. — Instagram/drungkushahrin
Menurut Dr Ungku Mohd Shahrin, permintaan untuk rawatan estetik kini mendapat perhatian dalam kalangan individu berumur antara 34 hingga 44 tahun.
"Ini mungkin kerana mereka sedang berada di puncak kerjaya atau memikirkan tentang perkahwinan.
"Sekarang, rawatan estetik bukan lagi sesuatu yang eksklusif. Semua orang boleh datang mendapatkan rawatan," tambahnya.
Ujarnya, pertambahan klinik estetik, ditambah tawaran harga yang pelbagai dan berpatutan membolehkan lebih ramai individu termasuk golongan pelajar untuk mendapatkan rawatan berkenaan.
Mengambil contoh kejadian di Johor Bahru, Johor, jelas Dr Ungku Mohd Shahrin, terdapat seorang remaja berusia 14 tahun yang berkunjung ke klinik untuk mendapatkan rawatan bagi menyelesaikan masalah jerawat dan parut jerawat.
"Kami tidak dapat memberikan rawatan yang agresif kepada mereka, sebaliknya menawarkan krim dan ubat yang sesuai untuk merawat masalah jerawat.
“Doktor yang beretika akan sentiasa menasihatkan pesakit lebih muda untuk tidak mengambil rawatan agresif yang boleh merosakkan kulit mereka,” katanya sambil menambah pesakit paling berusia yang pernah mendapatkan rawatan estetik di Malaysia adalah berumur 78 tahun.
Dr Ungku Mohd Shahrin (tengah) terlibat dalam projek penyelidikan dan ujian klinikal bagi memastikan rawatan estetik yang ditawarkan berkesan dan selamat untuk pesakit. — Instagram/drungkushahrin
Dinamik perniagaan
Mengulas lanjut mengenai aspek perniagaan dalam rawatan tersebut, beliau berkata, membangunkan amalan estetik yang berjaya bukan hanya tentang menguasai aspek perubatan, tetapi juga memahami dinamik perniagaan yang mendorong pertumbuhan dan kelestarian dalam industri ini.
Ujar anak kelahiran Johor itu, sama seperti pengamal perubatan lain, pakar estetik juga mengambil tempoh waktu yang lama untuk mempelajari dan mendapatkan pengalaman mencukupi dalam bidang pengkhususan mereka.
Untuk bergelar profesional, pastinya pengalaman dan kemahiran yang akan diambil kira terlebih dahulu.
"Golongan profesional dalam industri ini boleh memperoleh pendapatan yang lumayan walaupun dalam tempoh waktu kerja yang singkat.
"Rawatan seperti suntikan botox, yang hanya mengambil masa kurang 10 minit, boleh memberikan hasil signifikan dari segi kewangan, kerana tugas tersebut berasaskan kemahiran dan pengalaman.
"Kerja kita mungkin hanya mengambil masa tiga hingga lima minit, tetapi hasilnya besar kerana latihan dan pengalaman yang dikumpul sebelumnya," ungkapnya yang pernah menerbitkan tiga buku perubatan estetik.
Beliau menubuhkan USMARI bagi mempromosikan kajian klinikal dalam perubatan estetik di rantau ini. — Instagram/drungkushahrin
Ditanya modal permulaan untuk memulakan bisnes dalam bidang tersebut, anak sulung daripada empat beradik itu memberitahu, membuka klinik estetik tidak semestinya memerlukan kos terlalu tinggi.
Sebaliknya, ia bergantung kepada jenis rawatan yang hendak ditawarkan.
"Jika anda hanya berminat dalam suntikan atau rawatan minimal invasif seperti chemical peel, modal permulaan boleh serendah RM150,000 hingga RM200,000.
"Namun sekiranya klinik yang melibatkan penggunaan mesin laser atau teknologi lain, modal boleh mencecah RM1 juta, bergantung kepada jenama dan jenis mesin digunakan," tuturnya.
Berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang rawatan estetik, Dr Ungku Shahrin menjelaskan, industri estetik di Malaysia berkembang dengan begitu pesat, yang menyaksikan jumlah doktor estetik bertauliah terus meningkat.
Sehingga ini maklumnya, terdapat seramai 890 doktor yang mempunyai lesen LCP (Letter of Credentialing and Privileging) dengan hampir 500 klinik estetik dibina di seluruh Malaysia.
"Kami menjangkakan bahawa dalam tempoh 10 tahun akan datang, kita akan mempunyai sekitar 2,000 hingga 3,000 doktor estetik bertauliah di negara ini," kata beliau.
Dr Ungku Shahrin (kiri) pernah menerbitkan tiga buku perubatan estetik. — Instagram/drungkushahrin
Persepsi negatif
Pengasas Sijil Perubatan Estetik (MAC) itu mendedahkan, pada awalnya, muncul persepsi negatif terhadap doktor estetik, termasuk daripada pengamal perubatan lain.
Ketiadaan garis panduan yang jelas menyebabkan kebanyakan penggiat industri perubatan menganggap doktor estetik tidak ubah seperti pakar kecantikan semata-mata.
"Namun sejak 2013, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan garis panduan yang lebih ketat, yang mengkehendaki doktor estetik menjalani latihan khusus dan menduduki peperiksaan bagi memperoleh lesen.
"Kini, doktor yang ingin menceburi bidang estetik perlu melalui latihan teori selama enam bulan sebelum layak untuk peperiksaan KKM. Proses ini mengambil masa lebih setahun setengah, jadi ia bukan sesuatu yang mudah," katanya.
Dr Ungku Shahrin turut aktif menawarkan latihan kepada doktor dari luar negara termasuk Indonesia. — Instagram/drungkushahrin
Pelopor rawatan estetik di Malaysia
Mengenali Dr Ungku Shahrin, pada Januari 2020, beliau menubuhkan pusat penyelidikan pertama dalam bidang estetik, farmaseutikal dan perubatan regeneratif di Asia Tenggara yang dikenali sebagai Pusat Penyelidikan & Inovasi Perubatan Estetik Ungku Shahrin (USMARI) yang beroperasi di Petaling Jaya, Selangor, bagi mempromosikan kajian klinikal dalam perubatan estetik di rantau ini.
Dengan pengalaman dan pengetahuannya yang luas, beliau sering dijemput sebagai penceramah dalam persidangan estetik antarabangsa utama seperti International Master Course on Aging Science (IMCAS) di Paris dan Kongres Dunia Perubatan Estetik dan Anti-penuaan (AMWC).
Di peringkat KKM, bapa kepada dua cahaya mata itu merupakan salah seorang ahli jawatankuasa yang membangunkan garis panduan untuk pengamal perubatan estetik di Malaysia dan sudah bersama Bahagian Amalan Perubatan Estetik KKM sejak 2008.
Meskipun memiliki klinik estetik sendiri, iaitu Klinik Mediseutikal yang sudah beroperasi di Johor Bahru sejak 2003, Dr Ungku Shahrin mengakui dirinya lebih berminat ke arah penyelidikan dan latihan dalam bidang estetik.
Jelas beliau, minatnya ketika ini adalah lebih kepada mendidik para doktor sama ada dalam dan luar negara untuk menjalankan kajian dalam bidang tersebut.
"Saya juga terlibat dalam projek penyelidikan dan ujian klinikal bagi memastikan rawatan yang ditawarkan berkesan dan selamat untuk pesakit," katanya yang turut mengajar doktor dari luar negara seperti India, Indonesia, Filipina dan Korea Selatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram