BERPENGALAMAN lebih dua dekad dalam dunia perniagaan menjadikan Siti Hazar Junaidi semakin matang dalam menghadapi cabaran dan mengukuhkan jenamanya.
Kejayaannya tidak datang tanpa cabaran, namun ketekunannya berjaya membawa perniagaan herba tempatan menembusi pasaran global dan memberi inspirasi kepada usahawan lain di negara ini.
Wanita berasal dari Sarawak itu memulakan perniagaan dengan menghasilkan produk berasaskan serbuk seperti serbuk cili, halia, serai, tomato, dabai, terung asam dan serbuk ragi, yang kini mendapat permintaan tinggi dari negara seperti London, Australia, dan New Zealand.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Salah satu kejayaan terbesar Siti Hazar adalah inovasi dalam menghasilkan serbuk ragi, yang menjadi ramuan utama dalam pembuatan tuak, minuman tradisional masyarakat Iban.
"Ragi biasanya sukar dieksport kerana sekatan undang-undang, namun dengan inovasi ini, ia boleh dipasarkan ke luar negara dalam bentuk serbuk.
"Dengan inovasi ini, masyarakat Iban di luar negara dapat membuat tuak sendiri dengan mudah," katanya kepada Majoriti.
Perniagaan Siti Hazar pernah mencatatkan keuntungan melebihi RM1 juta setahun.
Menurut Siti Hazar, produk serbuk ragi juga dihantar ke Brunei untuk produk pengeluar peralatan tulen (OEM), yang mana ragi tersebut digunakan dalam pembuatan tapai dan kuih tradisional.
Jelas usahawan itu lagi, walaupun sambutan di luar negara sangat menggalakkan, Siti Hazar tidak menafikan bahawa kos logistik menjadi salah satu cabaran utama dalam mengeksport produk berkenaan.
"Tambang penghantaran yang mahal menyebabkan sukar untuk kita menghantar produk ke luar negara," jelasnya.
Selain itu ujarnya, untuk memasuki pasaran Brunei pula, produk perlu mempunyai sijil halal, namun kolaborasi dengan usahawan Brunei membolehkan pihaknya menghasilkan produk OEM yang memenuhi keperluan pasaran tempatan.
Keuntungan sejuta
Permintaan yang tinggi terhadap produk herba dan rempah keluaran Siti Hazar membawa keuntungan yang begitu besar.
Sepanjang lebih 20 tahun berniaga, kongsi wanita itu, perniagaannya pernah mencatatkan keuntungan melebihi RM1 juta setahun, terutamanya apabila eksport produk ragi ke luar negara berada pada tahap maksimum.
Produk istimewa seperti kacang ma Sarawak, sejenis herba yang hanya terdapat di Borneo juga mendapat sambutan baik, terutamanya di pasaran Singapura.
Namun begitu, pandemik Covid-19 memberikan tamparan hebat kepada perniagaan Siti Hazar apabila dua kilangnya di Melaka terpaksa ditutup, mengakibatkan kerugian kira-kira RM1 juta.
"PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) benar-benar memberi cabaran yang hebat buat usahawan kecil seperti kami.
"Selepas tamat PKP, kami terpaksa bermula semula dari bawah namun tiada modal. Jadi kami mengambil keputusan untuk beli semula mesin menggunakan bantuan yang diterima daripada kerajaan," katanya yang kini turut menjual makanan ready to eat sesuai untuk pengembara atau pelancong.
Kini, kilang baharu Siti Hazar mula beroperasi di Kota Samarahan, Sarawak, malah dia juga sedang dalam proses untuk memulihkan semula perniagaannya.
Siti Hazar membuktikan bahawa produk tempatan juga mampu menembusi pasaran global dengan strategi yang betul dan kecekalan menghadapi cabaran.
Langkah ke arah pendigitalan
Dia turut mengambil langkah penting ke arah pendigitalan dengan menyertai Desamall, yakni satu inisiatif di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
"Kami juga sudah mula menggunakan teknologi seperti kod QR dan mesin transaksi dalam perniagaan, dengan bantuan kerajaan.
"Pendigitalan memudahkan urusan jual beli dan membuka peluang baharu untuk bisnes," kata penerima Anugerah Usahawan Cemerlang daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Siti Hazar dalam pada itu turut menggalakkan usahawan lain untuk memanfaatkan peluang yang disediakan oleh agensi kerajaan seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Perindustrian dan Pelaburan (MINTRED), Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
"Kita perlu mendekati agensi-agensi ini sebagai pusat sehenti untuk mendapatkan geran dan persijilan yang diperlukan oleh usahawan," pesannya.
Dengan semangat yang teguh dan inovasi yang berterusan, Siti Hazar terus mengorak langkah sebagai usahawan Sarawak yang berjaya, membuktikan bahawa produk tempatan juga mampu menembusi pasaran global dengan strategi yang betul dan kecekalan menghadapi cabaran. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram