Bermula usung speaker guna kereta, pemuda Pendang lebarkan empayar 'PA sistem' ke seluruh Lembah Klang


  • Bizz
  • Isnin, 21 Okt 2024

Minat dan cinta terhadap dunia muzik membuatkan Mohd Farouk mengambil langkah berani memulakan perniagaan PA sistem.

MENGENDALIKAN perniagaan perkhidmatan sistem audio profesional (PA sistem) bukanlah sesuatu yang mudah.

Apatah lagi, bisnes itu memerlukan sejumlah modal yang besar untuk mendapatkan peralatan sesuai bagi menghasilkan bunyi audio yang berkualiti tinggi.

Meskipun menyedari realiti itu, minat dan cinta terhadap dunia muzik membuatkan Mohd Farouk Abd Rahman mengambil langkah berani untuk memulakan perniagaan PA sistem di bawah jenama Layar Akustika Event Management (dahulunya dikenali sebagai Layar Akustika Studio).

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan

6

Usahawan berusia 32 tahun ini menggunakan simpanan KWSP untuk memulakan bisnes pada 2019.

"Walaupun perjalanan agak sukar bagi saya yang tidak mempunyai modal besar untuk menjalankan bisnes ini, namun saya masih mendapat keizinan-Nya untuk mengembangkan perniagaan sehingga sekarang.

"Harga barang PA sistem yang berkualiti tinggi memang mahal, boleh mencecah sehingga nilai ratusan ribu ringgit.

"Malah ada juga harga sesetengah barang itu bernilai sehingga jutaan ringgit," katanya kepada Majoriti.

Ditanya modal untuk memulakan perniagaan tersebut, usahawan berusia 32 tahun itu berkata, dia menggunakan sejumlah RM15,000 yang dikeluarkan daripada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk memulakan bisnes pada 2019.

Kongsi anak kelahiran Kampung Rambai, Pendang, Kedah itu lagi, dia pada awalnya bermula dengan hanya dua pembesar suara, dua mikrofon, sebuah audio mixer dan beberapa peralatan asas lain.

WhatsApp Image 2024-10-19 at 13.12.01 (1)

Mohd Farouk cuba mengembangkan perniagaan PA sistem ini secara perlahan-lahan.

"Saya usung kesemuanya dengan kereta sedan ke mana sahaja acara yang ada.

"Alhamdulillah, dengan berkat hasil usaha dan bakat yang dikurniakan, perlahan-lahan saya cuba mengembangkan perniagaan ini.

"Saya cuba buat pemasaran dan jualan secara berterusan, menambah ilmu sistem bunyi dengan lebih mendalam di samping membina rangkaian sesama rakan bisnes," ungkapnya.

Berkongsi tentang perjalanan awalnya dalam industri sistem audio profesional ini, Mohd Farouk memberitahu, dia pada 2015 memulakan kerjaya sebagai juruteknik acara di Pusat Muzik Sze Chan, Alor Setar.

Tidak lama selepas itu, graduan lulusan dalam bidang muzik itu kemudian dinaikkan pangkat menjadi soundman di pusat berkenaan.

Ujarnya, berbekalkan pengalaman dan ilmu yang diperoleh sewaktu bekerja di sana, dia memberanikan diri untuk mengorak langkah membina perniagaan PA sistemnya sendiri.

“Majikan dan juga rakan-rakan yang berkhidmat di Pusat Muzik Sze Chan sebenarnya memang banyak memberi bantuan khususnya dalam usaha untuk membentuk saya menerokai industri ini,” tambahnya.

1

Perniagaan Layar Akustika Event Management dimulakan pada 2019.

Persaingan harga

Selain memakan jumlah modal yang tinggi, anak keenam daripada tujuh beradik itu turut berkongsi antara cabaran lain yang perlu dihadapinya sepanjang menelusuri bisnes ini.

Ia termasuk kewujudan persaingan sesama peniaga, dengan ada yang bertindak menawarkan nilai pakej terlalu murah kepada pelanggan.

Menurutnya, dalam komuniti PA sistem sendiri, terdapat cadangan untuk menetapkan harga minimum sekitar RM500 bagi pakej asas meliputi antaranya, dua pembesar suara.

WhatsApp Image 2024-10-18 at 20.07.24

Mohd Farouk (kiri) ketika bersama kru Pusat Muzik Sze Chan.

"Jumlah RM500 untuk set pakej asas itu sebenarnya adalah harga minimum, sedangkan purata harga untuk pakej berkenaan adalah bernilai sekitar RM1,000.

"Namun terdapat segelintir (pengusaha) yang menyediakan harga lebih murah seperti RM350 hingga RM450 untuk pakej sama.

"Ia mungkin berlaku disebabkan terdesak atau mahu bersaing dengan PA sistem orang lain," tutur Mohd Farouk.

Ceritanya, keadaan itu menyebabkan orang ramai beranggapan bahawa perkhidmatan PA sistem adalah murah sehingga menyebabkan industri tersebut sukar berkembang.

Sedangkan ujarnya, peralatan untuk menjalankan servis tersebut adalah sangat mahal dan kerja teknikalnya juga rumit.

5

Mohd Farouk berkata, peralatan untuk menjalankan servis tersebut adalah sangat mahal dan kerja teknikalnya juga rumit.

"Kami berdepan cabaran untuk memberi pemahaman kepada orang awam bahawa industri ini bukan sahaja mempunyai nilai yang tinggi, malah memiliki standard tersendiri," katanya sambil menambah peningkatan kos sara hidup dan diesel turut menyebabkan pihaknya terpaksa menaikkan harga perkhidmatan.

Mohd Farouk bagaimanapun optimis bahawa dengan kegigihan dan sokongan daripada mentor serta rakan-rakan seindustri, dia berupaya mengembangkan empayarnya secara berperingkat sehingga menjadi jenama yang lebih kukuh dan dipercayai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram