PERNIAGAAN bermusim adalah perusahaan unik yang mudah membangun pada musim atau tempoh tertentu. Lazimnya, peniaga yang menjalankan strategi berkenaan ingin meraih keuntungan pada kadar segera.
Ia disebabkan permintaan sangat tinggi terhadap sesuatu produk yang sedang dicari ramai dalam tempoh tertentu. Biasanya, ia dikaitkan dengan sesuatu yang tular di media sosial.
Pengasas jenama pakaian Abstrax, Profesor Madya Dr Faiz Izwan Anuar berkongsi mengenai trend perniagaan bermusim berdasarkan pengalamannya dalam bidang perniagaan sejak 15 tahun lalu.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Faiz Izwan berkongsi bagaimana jenama pakaiannya menjadi pencetus kepada perniagaan bermusim sedekad lalu.
Faiz Izwan yang juga pensyarah keusahawanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor turut berkongsi bagaimana jenama pakaiannya menjadi pencetus kepada perniagaan bermusim sedekad lalu.
Pandangan anda mengenai perniagaan bermusim adakah ia menjadi satu kesalahan kerana dilihat seolah-olah meniru produk orang lain?
Ia adalah lumrah buat peniaga atau usahawan untuk mengikut trend dan bagi saya tidak salah kerana masing-masing ingin hidup. Apabila kita menjadi usahawan, pereka fesyen dan pencetus, masyarakat tidak dapat lari daripada mengikut arus perdana.
Misalnya, makanan tular seperti cromboloni, semua kedai akan menjualnya. Ia adalah jalan pintas usahawan mencari dana untuk meneruskan kelangsungan hidup. Ia bukan amalan yang salah tetapi kebiasaan sedia ada yang selalu diulang-ulang oleh ramai usahawan.
Ini terjadi atas beberapa faktor seperti kekangan semasa. Mereka mengambil keputusan membuat perniagaan berteraskan trend itu kerana kelangsungan dalam menjalankan perniagaan. Seandainya tidak mengikut trend mereka rasa ketinggalan.
Majoriti peniaga begitu, cuma ada beberapa jenama menjadi penanda aras untuk menjadi pencetus. Misalnya, 10 tahun lalu Abstrax menjadi pelopor pasaran jersi dengan tular baju kolaborasi bersama syarikat penerbangan, Malaysia Airlines.
Abstrax kini sudah menjangkau usia 15 tahun.
Sebelum itu, tiada jenama tempatan yang menghasilkan jersi dan hingga kini kita boleh lihat trend jersi ada masa naik dan ada masanya turun. Pihak yang menjadi pelopor kepada trend itu adalah Abstrax.
Namun kami tidak boleh kata orang lain tidak boleh tiru kerana kebebasan berkarya, kreativiti adalah fasa pembangunan sesebuah jenama atau syarikat. Ia hanya menjadi isu apabila terlalu ramai menggunakan jalan pintas berkenaan.
Bagi sesebuah jenama sama ada mereka mahu mengikut trend atau tidak, ia perlu untuk penjenamaan. Misalnya di TikTok, orang buat apa-apa trend pun kita ikut, ia tidak salah kerana sedang mengikut arus.
Faiz Izwan mencipta kelainan bagi menarik minat orang ramai untuk datang.
Bagaimana anda melihat kebaikan dan keburukan ini?
Dari sudut kebaikan ia bagus untuk ekonomi kerana membantu kelangsungan hidup sebuah organisasi tetapi buruknya ia adalah jalan pintas dengan mencipta produk yang mengikut trend. Ia tidak akan kekal lama.
Misalnya, kita hasilkan jenama baju Melayu yang hanya gembar-gembur dalam tempoh sebulan sahaja kemudian ia mati selepas 11 bulan. Kita tidak boleh kata tidak ingin ikut trend, jika tidak ikut dikhuatiri kita akan tenggelam.
Bagi saya tiada salahnya trend ini kerana ada sesetengahnya menjadikan ia sebagai strategi pemasaran untuk sebuah syarikat. Ia disebabkan ada syarikat hasilkan produk mengikut apa yang popular pada masa itu. Ia mula menjadi fenomena selepas wujudnya media sosial.
Tempoh masa sesuatu produk itu bertahan bergantung pada keadaan semasa. Setiap individu saling bergantung dengan apa yang masyarakat lain lakukan. Ia boleh jadi singkat dan boleh bertahan lama, segalanya bergantung kepada sentimen orang ramai pada waktu itu.
Jenama Abstrax perlu berinovasi untuk mendapat kepercayaan pelanggan.
Perniagaan yang anda asaskan pernah menjadi ikutan peniaga lain. Bagaimana Abstrax melakukannya?
Apabila saya hasilkan sesuatu produk, saya mahu belajar apa yang produk itu boleh beri. Seperti kami hasilkan jersi, apa produk yang boleh dicapai menerusi jersi.
Maka, kami keluarkan baju bersaiz besar, windbreaker (jaket kain tipis yang direka untuk menahan angin sejuk dan hujan tidak lebat) dan pelbagai lagi, lalu menjadi pelopor. Kami bukan mengikut trend, tetapi menjadi pencetus trend.
Abstrax sudah berusia 15 tahun. Kami tidak hidup menjadi jenama yang mengikut trend, tetapi kami suka belajar perkara baharu yang jenama lain tidak buat dan menjadi pencetus kepada perkara itu.
Misalnya, kini kami mempunyai sebuah kedai menjual pakaian jenama tempatan tetapi ada kafe. Jadi, sebagai sebuah jenama juga perlu menjadi pencetus kreativiti. Mungkin konsep ini akan jadi ikutan.
Abstrax boleh membantu pelajar memahami bagaimana untuk menjadi seorang usahawan.
Kita kena gunakan segala kepakaran. Seandainya tiada kita boleh berkolaboratif bersama pihak lain untuk cipta suatu identiti, kita perlu lakukan perubahan dalam tempoh masa tertentu bagi menarik khalayak datang ke kedai.
Abstrax bukannya sebuah pasar raya dan bukan kedai yang sentiasa dipenuhi ramai pelanggan, jadi kami perlu mencipta kelainan bagi menarik minat orang ramai untuk datang. Ini termasuklah program komedi di ruang atas premis kami.
Abstrax pernah ditutup sebelum ini, adakah kerana cita rasa pelanggan sudah berubah?
Faktor ia ditutup kerana tempoh perniagaan terlalu lama, pada masa yang sama keletihan. Saya perlu alih perhatian sebentar kepada perkara lain kerana mengajar adalah sesuatu yang sangat ekstensif dan memerlukan tenaga yang banyak. Berniaga dan mengajar perlu seimbang.
Mungkin pada masa sama juga berlaku fasa pelanggan mula beralih arah. Sebagai sebuah jenama, kami perlu berinovasi. Sebab itulah apabila kami buat kemunculan semula, kami buat kafe, program komedi, perkenal produk perkhemahan dan sebagainya.
Apabila berada di zon selesa dan tidak memahami kehendak pelanggan mereka akan lari ke jenama lain. Sebab itu, pentingnya sesuatu jenama untuk berinovasi dan perlu kreatif.
Pada masa sama, pelanggan setia makin meningkat usia dan pelanggan baharu pula mempunyai cita rasa serta kehendak yang berbeza. Jadi, usahawan perlu mencari kaedah yang relevan untuk mencipta produk bersesuaian.
Pelanggan baharu mempunyai cita rasa dan kehendak yang berbeza.
Sebagai pensyarah, adakah anda mempraktikkan ilmu mengajar dengan pengalaman dalam perniagaan di dalam kelas?
Saya mengajar dalam bidang pemasaran media sosial, keusahawanan dan inovasi produk pelancongan. Jadi, apa yang saya lakukan di Abstrax saya ajar kepada pelajar. Ada ilmu daripada buku dan ada juga ilmu yang tidak boleh bergantung sepenuhnya pada buku.
Jika pensyarah itu tidak mempunyai perniagaan, mereka hanya akan bercakap semata-mata tanpa ada pengalaman atau berdepan hakikat yang sebenar. Ini kerana ada masanya apa yang tertulis dalam buku tidak dapat dipraktikan atau tidak sesuai digunakan.
Penting sebenarnya mempunyai pengalaman dalam industri dan ini adalah tugas saya. Saya dibenarkan oleh UiTM untuk menjadi pensyarah, di samping ada pekerjaan di Abstrax boleh membantu pelajar memahami bagaimana untuk menjadi seorang usahawan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram