Kebanggaan rakyat Kelantan, tauke kilang plastik ceburi bisnes sabun, kekal harum 2 minggu, warna pakaian tidak luntur


  • Bizz
  • Rabu, 16 Okt 2024

Muhd Azizul (kiri) memastikan Sabun Glazze menggunakan botol plastik yang baharu, selaras dengan standard ISO dan pelbagai sijil keselamatan.

DARAH usahawan terus mengalir dalam diri Pengarah Urusan Optaplus Sdn Bhd, Muhd Azizul Rahman Ruslan selepas menempa kejayaan demi kejayaan khususnya dalam industri pembuatan barangan plastik.

Mewarisi minat dan kemahiran berniaga daripada arwah bapanya, Ruslan Abd Wahab, Muhd Azizul Rahman bersama-sama bapanya menubuhkan syarikat Optaplus Sdn Bhd pada 1995.

Memulakan oeprasi di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, dengan hanya satu mesin, syarikat peneraju industri plastik tempatan itu kini mampu menjalankan operasi pembuatan barangan plastik selama 24 jam sehari dengan mesin berteknologi tinggi.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan

Syarikat milik Bumiputera itu juga sudah menembusi pasaran dalam beberapa industri penting seperti farmaseutikal, automotif, pemakanan, perubatan, perladangan dan pembuatan bahan kimia.

Meskipun permintaan terhadap barangan plastik keluaran Optaplus semakin mendapat perhatian masyarakat global, perjalanan yang diatur tidaklah semudah disangka.

Sebagai generasi kedua perniagaan ini, Muhd Azizul mengakui, dia dan bapanya menempuh perjalanan yang berliku sebelum mampu membawa Optaplus berada pada tahap ini.

Menjangkau usia hampir 30 tahun, pastinya cabaran yang ditempuhi untuk mengekalkan legasi anak-beranak itu penuh warna-warni.

WhatsApp Image 2024-10-15 at 18.47.19

Muhd Azizul (kiri) membangunkan Optaplus bersama arwah bapanya (kanan) sejak 1995.

Krisis ekonomi 1998

Kemelesetan ekonomi yang melanda negara pada 1998-1999 nampaknya masih segar dalam ingatan usahawan berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu.

Optaplus yang baru beroperasi selama tiga tahun pada ketika itu menjadi antara syarikat yang terkesan dek krisis kewangan itu.

Meskipun tidak sampai ke tahap perlu gulung tikar, mereka perlu berdepan dengan risiko kenaikan harga bahan mentah secara mendadak, hingga menjejaskan trend pembelian produk plastik.

"Akibat keadaan ini, kami terpaksa menanggung kerugian yang amat besar," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2024-10-15 at 14.58.02

Optaplus mula menembus pasaran bagi menawarkan produk plastik untuk kegunaan klinik dan hospital pada tahun 2002.

Bebanan yang dipikul sama sekali tidak memadamkan semangat keusahawanan anak sulung daripada tiga beradik ini.

Syukur, luahnya, bantuan pihak berkepentingan dan kerajaan seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan & Industri (MITI), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan agensi lain, membolehkan Optaplus meniti masa depan perniagaan yang lebih cerah.

Untuk menghidupkan semula bisnes, Optaplus mula menembus pasaran bagi menawarkan produk plastik untuk kegunaan klinik dan hospital pada tahun 2002.

Lama-kelamaan, syarikat yang menawarkan bahan berasaskan plastik itu semakin meraih kepercayaan ramai.

Dugaan Muhd Azizul nampaknya tidak berakhir di situ, selepas 10 tahun, dia dihimpit lagi dengan kemunculan krisis ekonomi pada 2008, situasi yang turut menjejaskan masyarakat di seluruh dunia.

“Kami menerima bantuan berbentuk sewaan premis dan modal pusingan daripada kerajaan, selain perkongsian ilmu bisnes berhubung selok-belok pemasaran serta pengurusan kewangan," tuturnya sambil menambah, Optaplus juga merupakan ahli Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

WhatsApp Image 2024-10-15 at 14.49.53

Sabun Glazze menggunakan teknologi terbaharu dan mempunyai keunikan tersendiri.

Bangunkan formulasi sabun

Penularan pandemik Covid-19 memberi kesan kepada operasi kilang plastik, meskipun perniagaan dibenarkan beroperasi, pelbagai kekangan menyebabkan syarikat terpaksa memberhentikan kakitangan.

Muhd Azizul bagaimanapun enggan membiarkan pandemik mematahkan semangatnya untuk memulakan formulasi baharu.

"Sewaktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), saya nampak peluang untuk menghasilkan produk sabun, jadi saya mengikuti beberapa kursus untuk mempelajari cara membuat sabun.

"Melalui R&D (penyelidikan dan pembangunan) selama setahun, saya berjaya menghasilkan formula sabun yang mula dipasarkan sejak awal Oktober tahun ini," katanya yang kini menerima sudah pesanan sabun dari Kelantan, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, meskipun baru sahaja beroperasi.

Sabun Glazze, yang dihasilkan di bawah Nouvella Industries menggunakan teknologi terbaharu dan mempunyai keunikan tersendiri.

"Kami menggunakan teknologi terkini untuk memerangkap bau dalam kapsul kecil semasa basuhan dan hanya dibebaskan apabila pakaian dijemur dan dilipat.

"Teknologi ini memastikan pakaian kekal harum sehingga dua minggu. Selain itu, sabun ini juga berfungsi sebagai penyingkir kotoran yang cepat dan tidak melunturkan warna asal pakaian," jelasnya.

Untitled design (24)

Muhd Azizul (kiri) dibantu isteri dalam mengusahakan bisnes tersebut.

Dibantu isteri tercinta dalam mengusahakan bisnes tersebut, syarikat berkenaan turut menekankan kepentingan penghasilan produk yang selamat dan bersih.

Dia dalam pada itu turut mendedahkan isu yang timbul melibatkan penggunaan botol plastik kitar semula yang digunakan dalam penjualan produk sabun, oleh segelintir pengeluar tempatan.

"Terdapat beberapa kilang didapati menggunakan botol plastik kitar semula yang asalnya digunakan di hospital untuk pesakit hemodialisis.

"Botol tersebut tidak sepatutnya digunakan semula untuk produk sabun kerana ia mungkin mengandungi bakteria berbahaya," tegasnya sambil memberitahu modal sebanyak setengah juta diperlukan untuk memulakan bisnes sabun ini.

Menawarkan hanya yang terbaik untuk pelanggan, usahawan itu memastikan Sabun Glazze menggunakan botol plastik yang baharu, selaras dengan standard ISO dan pelbagai sijil keselamatan termasuk Material Safety Data Sheet (MSDS).

Tindakan itu katanya, memberikan kelebihan dari segi kepercayaan dan kualiti produk.

"Walaupun sabun merupakan barangan keperluan yang cepat laris, namun tanpa strategi pemasaran yang kukuh, sukar untuk memperkenalkan jenama kami kepada pengguna.

"Namun saya yakin dengan usaha gigih dan inovasi yang dilaksanakan, sabun ini akan mendapat tempat dalam pasaran tempatan dan mungkin juga antarabangsa, insya-ALLAH," ujarnya menutup bicara.

Setakat ini, Glazze sudah mempunyai 15 pengedar termasuk di Kelantan, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur, dengan perancangan untuk memperluas pasaran ke Sabah dan Sarawak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram