KERAJAAN menerusi pembentangan Bajet 2025 diharapkan dapat memberi peruntukan yang secukupnya kepada pihak sekolah bagi menampung kos operasi yang ditanggung institusi pendidikan negara itu.
Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Juhari Mohamad Nor berkata, peruntukan tersebut masih belum cukup untuk memastikan operasi semasa berjalan dengan baik.
Justeru, beliau menyuarakan harapan supaya kerajaan dapat menyemak semula jumlah peruntukan bagi geran Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) agar bersesuaian dengan kadar pada hari ini.
BACA LAGI: Tak terperap dalam rumah, taman riadah beri banyak manfaat sosial kepada masyarakat — Pakar
"Kesatuan berharap Bajet 2025 kali ini memberi peruntukan yang cukup untuk mengurangkan beban ditanggung guru dan sekolah.
"Selain itu, inisiatif tersebut juga berupaya menjadi motivasi kepada guru untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada sekolah," katanya kepada Majoriti.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas berkenaan dakwaan segelintir guru yang terpaksa membuat dan mencetak nota sejarah sendiri untuk kegunaan anak muridnya.
Perkara tersebut dikongsikan menerusi satu hantaran di Facebook Kami Guru Malaysia pada Selasa.
"Guru terpaksa fotostat nota galus (sejarah) setiap bab, bagi kepada setiap pelajar. Okay ke macam itu? Jadi budak tak payah buat nota di buku tulis.
"Sebab ada ibu bapa yang minta nota/modul khas. Nak harapkan budak buat nota sendiri hmm... Berkesan (atau) tidak kaedah macam itu untuk membantu murid skor?" soalnya.
Mengulas lanjut, Juhari berkata, meskipun ada peruntukan tertentu daripada pihak sekolah dan PIBG, sokongan kewangan itu terutamanya bagi kelas peperiksaan masih tidak mencukupi.
Beliau juga tidak menafikan bahawa dalam banyak keadaan, guru-guru sering menggunakan dana peribadi untuk pelbagai tujuan, termasuk membawa pelajar menyertai pertandingan luar sekolah.
"Walaupun perkara ini menjadi kebiasaan dalam kalangan pendidik, situasi tersebut berupaya memberi tekanan kepada guru, yang seharusnya mendapat sokongan kewangan lebih baik dari pihak sekolah," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram