SUASANA sibuk tidak asing lagi bagi Tan Jay Wvin yang sedari kecil menyaksikan bapanya, Tan Jau Wey bertungkus lumus mengusahakan perniagaan restoran makanan laut Cina, Green View yang cukup terkenal.
Beroperasi di Petaling Jaya, Selangor, Green View ditubuhkan dua tahun selepas kelahiran Jay Wvin. Jadi secara dasarnya, lelaki itu membesar dengan perniagaan tersebut.
"Sewaktu di bangku sekolah rendah dan menengah, saya sentiasa membantu keluarga pada hujung minggu serta musim perayaan.
“Justeru, industri makanan dan minuman (F&B) adalah sesuatu yang sangat dekat dengan saya,” katanya.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Tiram hidup yang diimport dari Amerika Syarikat itu hanya dimasak mengikut tempahan. — Instagram/galahgala_seafoodrestaurant
Seorang yang pintar dan berkebolehan, Jay Wvin kemudiannya melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan aeronautik. Pun begitu, dia pernah terfikir untuk ke luar negara demi meneruskan minatnya, namun akhirnya memutuskan untuk melibatkan diri dalam perniagaan keluarga.
“Saya satu-satunya anak lelaki dalam keluarga dan terfikir lambat-laun, saya akan kembali untuk membantu perniagaan ayah. Jadi, sekitar 2014, saya menyertai syarikat itu secara kekal menguruskan perniagaan keluarga,” ujarnya.
Berlatar belakang kejuruteraan, Jay Wvin menerapkan proses dan teknik moden pada perniagaan berusia tiga dekad itu.
Antaranya menggunakan sistem baharu, mengawal selia resipi dan melantik pasukan pengurusan yang muda.
Usahawan itu mengambil masa selama setahun bagi mempelajari seni masakan Cina bagi memastikan dirinya mahir dan faham selok-belok.
Restoran itu menyajikan makanan laut Cina yang disahkan halal. — Instagram/galahgala_seafoodrestaurant
Pelanggan Melayu
“Kadang-kadang kami mempunyai beberapa pelanggan Melayu yang memesan hidangan makanan laut untuk dibawa pulang.
"Jadi, dari situ saya melihat ada permintaan bagi hidangan makanan laut Cina halal,” jelasnya lanjut.
Bertitik tolak daripada pemintaan itu, akhirnya dia bersama isteri, Beatrice Tey membuka Galah Gala pada 2023.
Beroperasi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur, restoran itu menyajikan makanan laut Cina yang disahkan halal.
Jay Wvin dan pasukannya mendapatkan bekalan makanan laut terbaik dari seluruh dunia. Menu ditawarkan adalah daripada menu asal Green View, namun ditambah baik melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) baharu untuk mencerminkan pensijilan halal Galah Gala.
Mi sang har misalnya, adalah hidangan signatur berharga RM95 untuk setiap ekor udang. Ia merupakan salah satu hidangan utama di Green View sejak 1993 dengan lebih 1.5 juta udang harimau dijual sejak penubuhan restoran berkenaan.
Jay Wvin dan pasukannya mendapatkan bekalan makanan laut terbaik dari seluruh dunia. — Instagram/galahgala_seafoodrestaurant
Udang, tiram import
Salah satu sebab hidangan mi itu dijual pada harga tersebut adalah kerana udang air tawar yang digunakan diimport dari India.
Jelasnya, untuk mencapai saiz diperlukan, udang perlu membesar hingga sembilan bulan.
Lazimnya, kaedah itu tidak dilakukan oleh kebanyakan nelayan kerana menuntut pelaburan masa yang sangat besar.
Bagaimanapun, proses tersebut tetap berisiko kerana udang-udang berkenaan cenderung memakan antara satu sama lain. Jadi, jumlah udang yang bersaiz besar sangat sedikit.
Restoran Galah Gala hanya menggunakan udang bersaiz U2 dan U3. Ia bermaksud setiap udang mempunyai berat antara 300 gram(g) hingga 500g dan mempunyai banyak telur, sekali gus memberi tekstur berkrim pada mi sang har.
Sajian itu juga dimasak menggunakan stok yang direbus lebih enam jam manakala mi akan digoreng untuk mendapatkan tekstur rangup yang tidak berminyak.
Jay Wvin melakukan sekurang-kurangnya lima percubaan untuk memastikan versi halal Galah Gala mencapai standard yang diingini.
Hidangan tersebut digandingkan dengan rasa sos lazat menyerlahkan lagi rasa akuatik udang.
Sementara itu, menu tiram keju bakar dijual pada harga RM28. Tiram hidup yang diimport dari Amerika Syarikat itu hanya dimasak mengikut tempahan. Keju menambah tarikan dramatik pada hidangan tanpa mengubah rasa semula jadi tiram.
Sotong Madu House Special berharga RM25 pula menampilkan sotong goreng pedas manis. Ia digoreng sempurna untuk mengekalkan rasa rangup ketam lumpur hidup yang dijual pada harga RM200 sekilogram.
Jay Wvin melakukan sekurang-kurangnya lima percubaan untuk memastikan versi halal Galah Gala mencapai standard yang diingini. — Instagram/galahgala_seafoodrestaurant
Masakan Nyonya
Sama seperti ketam cili yang terkenal, hidangan itu menampilkan ketam besar yang beratnya sekurang-kurangnya 700g setiap satu. Ini digandingkan dengan sos pedas manis yang tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair, selain rasa manis dan masam.
Dalam pada itu, Kapitan Mixed Seafood in Sizzling Plate (RM55) salah satu menu kegemaran pelanggan.
Menggunakan 13 bahan berbeza, sajian tersebut adalah warisan masyarakat Nyonya terdiri daripada isi kerapu, sotong, udang laut, kacang panjang dan petai.
Ia sedikit berkuah dengan rasa sedikit pedas dan kemerah-merahan daripada rempah ratus dan herba seperti pucuk bunga kantan dan serai.
Tutur Jay Wvin, dia berharap dapat mengembangkan empayar Galah Gala ke pusat beli-belah di Lembah Klang, supaya lebih ramai warga kota berpeluang menikmati hidangan makanan laut halal ala Cina.
Walaupun perniagaan keluarganya bermula secara kecil-kecilan, ibu bapanya amat berbangga dengan hala tujunya.
“Saya fikir semua ibu bapa mempunyai impian kecil agar anak-anak meneruskan legasi perniagaan mereka dan terus mengembangkannya. Saya juga sangat berterima kasih kepada ayah kerana banyak memberikan sokongan.
“Pada pengamatan saya kebanyakan pengendali F&B generasi kedua tidak dibenarkan membuat keputusan. Namun, ayah saya sebaliknya, dia tidak pernah berhenti menyokong saya,” ungkapnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram