[VIDEO] 'You tak geli ke urut badan orang?' 'confinement lady' asal KL tak layan stigma negatif kenalan sekeliling


  • Bizz
  • Selasa, 08 Okt 2024

Keinginan untuk berdikari dan mempunyai pendapatan sendiri menjadi faktor utama yang mendorong Nor Shahida ke arah perniagaan rawatan pantang.

"You tak geli ke urut badan orang?". Itu antara soalan yang diterima Nor Shahida Abd Razak, 34, sewaktu awal pembabitannya dalam industri perbidanan kira-kira empat tahun lalu.

Enggan mengambil peduli cakap-cakap orang, anak jati Kuala Lumpur itu menganggap ia hanyalah sekadar 'usikan manja' daripada insan di sekelilingnya.

Malah ujar usahawan itu lagi, kata-kata negatif sedemikian yang menaikkan semangatnya untuk mengembangkan bisnes urutan perbidanan dan rawatan spa kecantikan.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan

SMP01136

Ruang untuk rawatan sauna infrared di The Ruumah Spa.

"Masa awal saya buat perkhidmatan rumah ke rumah, bisnes kecil jadi mungkin persepsi orang agak negatif.

"Dari situ, saya buktikan pekerjaan mengurut sebenarnya meliputi pelbagai cabang, tidak semestinya kita akan jadi tukang urut untuk selama-lamanya.

"Kita jangan sempitkan pemikiran, bekerja dalam bidang ini boleh sahaja melibatkan peranan dari segi operasi, pengurusan, kewangan dan ahli terapi bertauliah.

"Saya ingin buktikan kepada mereka di luar sana bahawa kerja sebagai tukang urut juga berupaya menjana pendapatan yang lumayan sehingga ada yang mampu membina empayar sendiri," katanya kepada Majoriti.

IMG_20240914_094907

Mandian dalam tab mandi yang didekorasi dengan indah menjadi antara tarikan pengunjung di spa ini.

Berpantang anak kedua

Terdetik hati Nor Shahida untuk memulakan bisnes dalam bidang itu apabila dia mengupah seorang confinement lady bagi membantu menguruskan dirinya dalam tempoh berpantang anak kedua pada 2020.

"Saya bayar servis tersebut dengan harga RM1,700 bagi tempoh seminggu. Saya terfikir macam mana dia boleh dapat pendapatan sebegitu? Bagi saya, ia satu bisnes yang sangat menguntungkan untuk tempoh masa yang singkat.

"Jadi saya tergerak hati nak mulakan perniagaan ini, dengan bantuan ibu yang pada awalnya akan menemani saya pergi rumah ke rumah.

"Disebabkan masih baharu, jadi saya perlukan teman untuk membantu saya membiasakan diri," ujarnya tertawa kecil sambil mengimbau momen lalu.

Memfokuskan pada perkhidmatan perbidanan yang lazimnya dipanggil sebagai confinement lady, wanita berusia 34 tahun itu sama sekali tidak menyangka pekerjaan itu membuka satu lembaran baharu dalam kamus hidupnya.

Berkongsi mengenai perjalanan awal kariernya, usahawan itu memberitahu, dia bermula dengan menawarkan servis penjagaan berpantang bergerak (mobile spa) di sekitar Lembah Klang.

Menggunakan ilmu dan kemahiran yang pernah dipelajari di sebuah syarikat peneraju rawatan spa usai menamatkan persekolahan, rawatan urutan perbidanan yang dijalankan ibu kepada dua cahaya mata ini lebih kepada penjagaan ibu dan anak.

Selain itu, pengasas The Ruumah Spa itu turut menyertai pelbagai kelas dan latihan termasuk mendapatkan sijil berkaitan untuk memastikan dirinya mempunyai ilmu yang cukup sebelum diaplikasikan terhadap pelanggan.

SMP02156

The Ruumah Spa menawarkan rawatan premium dengan harga mampu milik.

Daripada dunia korporat ke tukang urut

Berpindah daripada kerjaya dalam sektor korporat kepada dunia keusahawanan, Nor Shahida mendapati keinginan untuk berdikari dan mempunyai pendapatan sendiri menjadi faktor utama yang mendorongnya ke arah perniagaan rawatan pantang.

"Saya dulu bekerja dalam bidang korporat, tetapi selepas berkahwin, saya tak buat apa-apa, hanya duduk di rumah.

"Suami memang beri nafkah yang cukup, namun saya melihat ada keperluan untuk mempunyai pendapatan sendiri.

"Wanita perlu ada pendapatan sendiri. Kita tidak tahu apa yang bakal terjadi pada masa depan. Jadi perlu ada persediaan untuk diri sendiri dan keluarga kita," tambahnya.

Kesedaran ini menguatkan tekad wanita berkenaan untuk mempelajari kemahiran rawatan pantang secara serius.

Meskipun memulakan perniagaan dalam tempoh pandemik Covid-19, ia sama sekali tidak menghalang perniagaan rawatan pantang yang diusahakannya untuk berkembang pesat dalam tempoh sukar tersebut.

“Saya sendiri yang mengurut pelanggan, bermula dengan pelanggan pertama seorang doktor, kemudian permintaan urutan semakin tinggi dalam kalangan penjawat awam,” bicaranya.

Kepercayaan yang diperoleh dalam kalangan profesional ini memberi dorongan besar untuk dirinya terus mengembangkan perniagaannya.

Dengan mengendalikan spa bergerak sahaja, pemegang diploma dalam jurusan Kesetiausahaan Eksekutif dari Kolej Stamford Petaling Jaya itu berjaya menjana pendapatan sebanyak RM5,000 sebulan.

Seiring meningkatnya permintaan, dia mula mengupah pekerja dan mencapai pendapatan bulanan antara RM7,000 hingga RM11,000.

SMP00472

Seiring meningkatnya permintaan, Nor Shahida mula mengupah pekerja dan mencapai pendapatan bulanan antara RM7,000 hingga RM11,000.

Memiliki suami yang turut berperanan sebagai rakan kongsi perniagaannya, mendorong wanita itu untuk terus mengembangan bisnes.

Pada 2020 hingga 2022, pasangan tersebut menguruskan rawatan pantang yang menawarkan perkhidmatan dalam radius 10 kilometer (km) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Sementara itu, suaminya, Quadri Abdullah Zaki, 43, memberitahu, melihat rekod pertumbuhan yang baik, mereka berjaya mendapatkan pinjaman daripada bank untuk membuka The Ruumah Spa yang beroperasi di Petaling Jaya, Selangor pada Mei 2022.

"Bermula dengan spa fizikal pertama, perniagaan terus berkembang dan pada November 2022, kami melabur dalam francais Family Wellness Center di kompleks beli-belah Ampang Point, Selangor,” katanya sambil menyatakan nilai jualan syarikat itu kini mencecah kira-kira RM100,000 sebulan.

Ujar Quadri yang sebelum ini pernah berkecimpung dalam bidang pembinaan selama 17 tahun, mereka sepakat untuk menghadiri kursus di Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) bagi menambah pengetahuan bukan sahaja dalam perniagaan, tetapi juga penjagaan dan rawatan untuk ibu selepas bersalin (postnatal).

"Selepas menamatkan kursus di INSKEN, kami ditawarkan pula untuk memberikan latihan kepada peserta di institusi tersebut sehingga kini mengenai perniagaan dan juga penjagaan rawatan berpantang.

"Tidak terhenti di situ, perancangan masa depan kami termasuk membuka kedai Qaarya, khusus menjual produk-produk untuk wanita selepas bersalin seperti minyak panas dan barangan rawatan pantang," tuturnya sambil menambah francais tersebut akan dilancarkan pada Disember tahun ini.

Bercerita tentang pemilihan nama spa berkenaan, Nor Shahida menjelaskan, inspirasi nama The Ruumah Spa datang secara spontan ketika dia diminta memberikan nama untuk spa oleh seorang guru dalam kelas.

"Disebabkan saya buat urutan rumah ke rumah, jadi kita letak sahaja nama The Ruumah Spa dan jenama ini kekal sehingga kini," jelasnya yang pernah berkhidmat dalam sektor logistik dan menjalankan beberapa jenis perniagaan lain.

The Ruumah Spa terus mendapat pengiktirafan atas pencapaiannya dalam industri kecantikan dan rawatan kesihatan dengan meraih beberapa anugerah dan pengiktirafan terkemuka yang mengukuhkan reputasinya sebagai peneraju dalam perkhidmatan rawatan ibu selepas bersalin.

Antaranya termasuk peserta terbaik bagi INSKEN Postnatal, Kohort 2 pada 2022 dan theAsianparents Parents Choice Award (2024).

Pencapaian yang dikecapi Nor Shahida dan suaminya berjaya menepis stigma segelintir pihak yang beranggapan kerja mengurut seolah-olah satu karier yang bersifat konvensional dan tiada masa hadapan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram