[VIDEO] Satu-satunya piza gaya Neapolitan versi 'pop-up' di Melaka bikin ramai terliur, turut tarik perhatian selebriti dan pemimpin negara


  • Bizz
  • Rabu, 09 Okt 2024

Pasangan suami isteri ini sepakat untuk mengusahakan perniagaan piza pada penghujung Disember tahun lalu bagi menambah baik kedudukan ekonomi keluarga.

OKTOBER 2023, Saiful Bakhtiar Othman, 37, mengambil keputusan untuk berhenti kerja selepas lebih 10 tahun berkhidmat di salah sebuah syarikat perladangan terbesar di Malaysia.

Keputusan berat itu memaksanya berdepan dengan satu fasa mencabar dalam hidup, namun anak jati Melaka itu tahu, berputus asa bukanlah jalan penyelesaian kepada permasalahan yang ditanggung.

Memiliki minat dan kemahiran dalam bidang fotografi kemudian digunakan sebaiknya untuk Saiful Bakhtiar memperoleh pendapatan bagi menampung kehidupan keluarganya.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan

"Saya PJJ (perhubungan jarak jauh) dari Selangor ke Melaka hampir 10 tahun, jadi saya memutuskan untuk berhenti kerja kerana berhasrat untuk meluangkan lebih banyak waktu bersama keluarga.

"Fasa itu sangat mencabar. Setelah berhenti kerja, tiada lagi gaji bulanan dan saya hanya bergantung kepada kerja sebagai jurugambar bebas, yang pendapatannya tidak menentu.

"Selepas tiga bulan berlalu tanpa sebarang peluang pekerjaan baharu, beban kewangan keluarga kami mulai kritikal," katanya kepada Majoriti.

Tekanan ekonomi yang semakin mencabar emosi, apatah dengan peningkatan harga barangan dalam negara menyebabkan bapa kepada empat cahaya mata itu lantas mencari solusi lain untuk menambah pendapatan.

Diskusi mendalam bersama isteri, Erlina Roslan, 38, pada Disember tahun lalu, akhirnya membawa kepada satu kesepakatan, yakni untuk menerokai dunia perniagaan piza.

Bermulalah perjalanan pasangan suami isteri ini, membawa cita rasa piza Neapolitan kepada penduduk tempatan dan juga pelancong dengan berkonsepkan pop-up (tepi jalan) di Pantai Eye On, Melaka.

WhatsApp Image 2024-10-08 at 11.23.20

Saiful Bakhtiar menjalankan operasi berkonsepkan gerai pop-up di Pantai Eye On, Melaka.

Ditanya pemilihan piza sebagai menunya, pemegang Ijazah Sarjana Pengurusan Pengetahuan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu menjelaskan, tidak dinafikan jualan piza sememangnya bukanlah suatu bisnes yang asing di Melaka.

Bagaimanapun berdasarkan pengetahuannya, setakat ini masih belum ada lagi peniaga di negeri berkenan yang menawarkan piza gaya Neapolitan.

"Pada satu malam, sambil membelek telefon pintar terlintas idea untuk menjual piza.

"Lagipun, kami terfikir untuk buat piza kerana ketika itu, isu boikot terhadap produk luar negara masih kuat dan tiada peniaga di Melaka yang menawarkan piza Neapolitan atau piza Itali asli,” ujarnya.

Pasangan tersebut tidak menunggu lama untuk memulakan penyelidikan mengenai peralatan dan bahan yang diperlukan, termasuk membeli ketuhar khas.

Saiful Bakhtiar mengakui, dia dan isteri menelaah resipi penyediaan pizza Neapolitan melalui pembacaan di internet sahaja.

WhatsApp Image 2024-10-08 at 11.23.23 (1)

Supreme and Lamb Pizza antara lapan menu yang ditawarkan di Bakkah Pizza.

Mereka mula menjalankan perniagaan seawal Januari tahun ini, hanya seminggu selepas idea tercetus, walaupun proses untuk mencapai hasil piza yang sempurna mengambil masa sehingga enam bulan.

"Kami ubah sedikit demi sedikit termasuk kesesuaian suhu ketuhar sehingga cara peraman doh, semuanya memainkan peranan penting untuk menghasilkan doh yang lembut dan sedap.

"Ketika itu, kami belum berkemampuan untuk menyertai kelas dan latihan, jadi kami belajar semuanya melalui internet.

"Selain itu, kami turut membuat penyelidikan dan pembangunan (RnD) secara berperingkat dengan mengambil kira komen dan tunas rasa keluarga, kenalan serta pelanggan," ujarnya.

WhatsApp Image 2024-10-08 at 11.23.15

Pelanggan tetap sanggup datang dari Muar, Johor untuk merasai piza buatan tangan Saiful Bakhtiar.

Sanggup redah hujan

Biarpun tidak mengikuti sebarang kelas masakan secara rasmi dek kekangan kewangan, Saiful Bakhtiar dan isterinya berjaya menjual piza yang disukai ramai melalui pendekatan try and error.

Mereka turut mengadaptasi menu mengikut cita rasa rakyat Malaysia, termasuk memperkenalkan variasi seperti Hawaiian pizza, yang menggabungkan elemen fusion antara rasa Itali dan tempatan.

Usia setahun jagung nampaknya bukan penghalang untuk bisnes mereka berkembang maju, seiring sambutan hangat yang diterima bukan sahaja dalam kalangan penduduk Melaka, malah pengunjung luar.

Strategi pemasaran secara siaran langsung setiap hari tanpa gagal menerusi aplikasi TikTok @bakkahpizza begitu membuahkan hasil, apabila semakin ramai pelanggan sanggup datang ke Pantai Eye On di Melaka semata-mata untuk merasai kelembutan doh dengan campuran sos tomato itu.

WhatsApp Image 2024-10-08 at 17.33.58

Pengunjung boleh mendapatkan Oriental Duck Pizza (kanan) dan Hawaiian Chicken Pizza di Bakkah Pizza.

"Alhamdulillah siaran langsung di media sosial memang sangat membantu dari segi peningkatan jualan.

"Ada yang sanggup datang dari Pulau Pinang, Johor, Kuala Lumpur dan beberapa lagi sebab mereka menonton kandungan video kami.

"Selain pernah seorang warga emas datang ke sini hanya selepas cucunya melihat kami di TikTok, pengalaman suami sanggup meredah hujan untuk membeli piza buat isteri mengidam juga menjadi antara momen yang tidak dapat dilupakan sepanjang mengusahakan bisnes ini.

"Sokongan daripada pelangganlah yang membuatkan saya bersemangat untuk mengembangkan lagi perniagaan hingga ke hari ini," tuturnya sambil memaklumkan mereka menyediakan lapan jenis topping yang berbeza.

WhatsApp Image 2024-10-08 at 11.23.19 (1)

Bakkah Pizza turut mendapat perhatian pemimpin tempatan seperti Adam Adli.

Tidak hanya itu, hasil tangan Saiful Bakhtiar turut meraih perhatian individu terkemuka dan beberapa ahli politik negara.

Antaranya termasuk Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau Altimet; Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

WhatsApp Image 2024-10-08 at 11.23.18

Altimet (kiri) ketika berkunjung ke gerai pop-up Bakkah Pizza.

Mengapa Bakkah Pizza?

Berkongsi lanjut mengenai pemilihan nama Bakkah Pizza sebagai jenamanya, Saiful Bakhtiar berkata, nama itu diilhamkan bersempena nama Makkah, melalui pembacaan sebuah buku sirah Nabi Muhammad SAW.

"Nama lain atau nama lama bagi Makkah ialah Bakkah. Kebetulan piza kami juga dibakar menggunakan api, dan nama saya juga ada sebutan 'Bakh' (Bakhtiar) yang seolah-olah seirama, jadi saya melihat nama itu sesuai," jelasnya.

Dengan modal permulaan sekitar RM35,000, pasangan usahawan itu kini menjalankan perniagaan mereka melalui konsep pop-up, menghidangkan piza yang hangat kepada pelanggan.

Hanya mengambil masa selama satu minit untuk proses pembakaran, piza bersaiz 13 inci buatan Saiful Bakhtiar menggunakan bahan premium dan segar bagi menghasilkan rasa yang berkualti tinggi.

WhatsApp Image 2024-10-08 at 11.23.18 (1)

Piza gaya Neapolitan itu turut berjaya menarik perhatian pelancong dari luar negara.

“Saya mula berniaga dari pukul 6 petang hingga 12.30 tengah malam dan hasil jualan sehari mencecah antara 30 hingga 50 biji piza, dengan nilai jualan boleh mencecah sekitar RM30,000 hingga RM35,000 sebulan.

"Namun sebenarnya kos penyediaan piza ini juga tinggi kerana kami hanya menggunakan bahan premium seperti nanas segar, lada benggala dan daging berkualiti," katanya yang menjadikan ibunya yang juga usahawan sebagai idola dalam bidang perniagaan.

Dengan perancangan masa depan untuk terus berkembang, usahawan itu berharap dapat memperkenalkan lebih ramai individu kepada piza Italia yang asli dan berkualiti tinggi, sambil mengekalkan keunikan perniagaan tepi jalannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram