MEMBESAR pada 1990-an, bermain permainan video bersama rakan-rakan sudah menjadi rutin harian bagi Andrew Cheong, 38.
Ketika itu, tidak pernah terlintas di fikirannya aktiviti sedari kecil tersebut akan berlarutan sehingga dewasa, malah telah membuka satu laluan kerjaya yang luar biasa baginya.
Kini bekas pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Cochrane di Kuala Lumpur itu menggalas tanggungjawab sebagai pengurus pasukan kebangsaan e-Sukan Malaysia yang untuk bertanding di Sukan SEA Kemboja 2023.
BACA LAGI: Raih kejuaraan 4 penjuru, SADA di landasan terbaik julang acara e-sports SBAM 2025
BACA LAGI: Atlet bertaraf dunia tapi Malaysia ketinggalan dalam industri e-Sukan
Tidak pernah terlintas di fikiran Andrew aktiviti bermain permainan video sejak kecil kini mengubah laluan kerjayanya.
Bermula sebagai pemain permainan video kasual di kafe siber, Andrew sudah menjelajahi pelbagai cabang e-sukan termasuk sebagai pencipta kandungan, pengulas, penganalisis, jurulatih dan juga pensyarah universiti di Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman.
Apa yang dahulunya dianggap hobi, kini berubah menjadi kerjaya yang realistik dan memuaskan.
"Ia benar-benar terasa seperti mimpi," katanya.
Bercerita lanjut, Andrew mengakui untuk terlibat sepenuhnya dalam dunia e-sukan, tidak pernah menjadi cita-citanya sebelum ini.
Semuanya berlaku secara kebetulan. Pada usia 13 tahun, dia menemui kafe siber dan mula bermain permainan seperti Counter-Strike.
"Sudah menjadi budaya pada 1999 untuk kita ramai-ramai berkumpul di kafe siber dan bermain permainan bersama-sama," ujar penerima anugerah Creative Talent di Golden Bullet Awards 2021 dan Caster of the Year di Malaysia Esports Awards 2023 itu.
Minatnya terhadap permainan video terus berkembang apabila dia menemui Dota.
"Saya jatuh cinta dengannya, lagipun saya mempunyai banyak stamina pada masa itu dan akan bermain hingga ke awal pagi, sepanjang kolej dan juga dalam kehidupan bekerja," jelasnya.
Minat Andrew terhadap permainan video terus berkembang apabila dia menemui Dota.
Utamakan pendidikan
Andrew memulakan karier dalam memberi perkhidmatan kepada pelanggan semasa dirinya masih menuntut di sebuah kolej.
Pada usia 21 tahun, dia sudah mengetuai satu pasukan di VADS Berhad sebelum diserap untuk berkhidmat di bahagian sumber manusia syarikat berkenaan.
Akuinya lagi, disebabkan bekerja tanpa memiliki ijazah ketika itu, jadi agak sukar untuk dirinya dinaikkan pangkat.
"Titik perubahan dalam hidup saya bermula dari tempoh itu. Saya beritahu diri sendiri, saya tidak mahu kekurangan dari segi pendidikan menjadi halangan untuk saya menambah baik kehidupan saya," tuturnya.
Kini, dia memiliki Diploma dalam Komunikasi Massa dari Kolej TAR (kini dikenali sebagai Universiti Tunku Abdul Rahman), Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Sumber Manusia dari Open University Malaysia (OUM).
Malah Andrew juga sedang melanjutkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Psikologi.
Andrew menerima pelbagai pengiktirafan susulan sumbangannya dalam dunia komentar e-sukan.
Pada 2018, dia mula menghasilkan kandungan berunsurkan pendidikan mengenai Dota 2 untuk membantu pemain memahami permainan yang rumit itu.
Usahanya itu berjaya menarik perhatian ramai khususnya komuniti e-sukan hingga akhirnya dia mula berinteraksi dengan penonton menerusi platform penstriman langsung Facebook.
Ini membuka jalan baginya untuk menjadi pengulas e-sukan profesional, yang membawanya ke pentas besar seperti PUBG Mobile Professional League.
Dikenali sebagai Sir Cloud dalam kalangan pemain tempatan, Andrew merupakan satu nama besar dalam dunia komentar e-sukan, selain memiliki laman sesawang dan saluran YouTube sendiri dengan lebih 4,4500 pelanggan setakat ini.
Figura berkenaan kini memainkan peranan penting dalam membangunkan komuniti e-sukan di Malaysia.
Dia turut berkongsi kemahiran dan pengalaman hidupnya dalam buku berbahasa Melayu bertajuk Esports Selamatkan Hidup Aku, diterbitkan oleh Rabak-Lit dan dilancarkan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024.
Dengan pengalamannya yang luas dan kepakaran dalam pelbagai permainan, Andrew terus menjadi inspirasi kepada generasi pemain e-sukan baharu yang ingin menjadikan minat mereka sebagai kerjaya kelak. — The Star/ANN MARIE CHANDY
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram