'Part-time' sejak umur 14 tahun, graduan Taylor’s College kini generasi ke-4 famili kendali 37 kedai buah seluruh Lembah Klang


  • Bizz
  • Khamis, 24 Okt 2024

Mei Yee menggalas tanggungjawab dalam membantu bapanya mengendalikan kedai buah di bawah jenama MBG Fruits Shop.

SEBAGAI anak sulung daripada enam beradik, Nur Lee Mei Yee menggalas tanggungjawab dalam membantu bapanya, Adnan Lee Chong Fatt mengendalikan kedai buah di bawah jenama MBG Fruits Shop.

Sejak usianya mencecah 14 tahun lagi, wanita itu sudah sibuk membuat kerja sambilan di rantaian kedai buah milik keluarganya.

Tugasnya kemudian beralih ke fasa seterusnya apabila dia diberi amanah untuk mengendalikan kerja-kerja berkaitan pemborongan dan pengedaran buah-buahan.

BACA LAGI: [VIDEO] Satu-satunya piza gaya Neapolitan versi 'pop-up' di Melaka bikin ramai terliur, turut tarik perhatian selebriti dan pemimpin negara

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

Nur Lee, generasi keempat MBG Fruits Sdn Bhd for Sukses. — AZLINA ABDULLAH/The Star

Mei Yee (kiri) menggalas tanggungjawab membantu bapanya (kanan) mengendalikan MBG Fruits Shop.

Kini menginjak usia 22 tahun, Mei Yee mengambil alih peranan sebagai pengurus import bagi perkhidmatan menguruskan, merancang perkapalan dan penyimpanan barangan dan buah-buahan.

Merupakan generasi keempat meneruskan perniagaan keluarga, dia mengakui laluan dilalui bukan mudah seperti dibayangkan ramai pihak kerana segala-segalanya perlu bermula dari bawah.

“Memang sejak kecil saya sudah membantu bapa di kedai. Macam-macam kerja dilakukan antaranya mengangkat barang dan menyusun buah.

“Saya sedikitpun tidak rasa terbeban kerana minat berniaga. Tambahan pula saya memasang impian membantu meneruskan perniagaan keluarga ini,” katanya.

Cabar diri

Jika bapanya, memegang jawatan Pengarah Urusan MBG Fruits Shop yang berkemahiran dalam pengurusan operasi dan penjenamaan, Mei Yee pula selesa menyesuaikan diri di bahagian logistik dan pengedaran.

Memulakan karier sebagai kakitangan bawahan sebelum memegang jawatan pengurus, akui usahawan wanita tersebut, sukar buatnya untuk berada pada fasa itu tanpa sokongan dan bimbingan daripada bapa dan rakan sekerja.

“Secara asasnya, untuk mengendalikan dan memegang tanggungjawab adalah dua perkara berbeza. Bapa sangat tegas dalam soal pengurusan perniagaan,” jelasnya.

Graduan jurusan Diploma Perniagaan di Taylor’s College, Bandar Sunway, Selangor berkenaan memberitahu, tempoh dua tahun menyandang jawatan pengurus import memberinya pelbagai pengalaman suka dan duka.

Nur Lee, generasi keempat MBG Fruits Sdn Bhd for Sukses. — AZLINA ABDULLAH/The Star

Sejak usianya mencecah 14 tahun lagi, wanita itu sudah sibuk membuat kerja sambilan di rantaian kedai buah milik keluarganya.

Satu daripadanya adalah apabila berdepan situasi keadaan mata wang negara tidak stabil sehingga menjejaskan harga jualan dan pasaran buah-buahan import.

“Sukar untuk menidakkan pasaran buah pada hari ini. Ia sangat mencabar kerana adanya persaingan daripada pengedar lain yang menjualnya pada harga lebih rendah.

“Apatah lagi, terdapat dalam kalangan pengguna tidak membeli buah import yang kami tawarkan kerana harganya tinggi,” ujarnya.

Enggan membiarkan operasi bisnes terjejas, Mei Yee proaktif mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan sistem perniagaan tidak lumpuh dan kualiti buah di 37 rantaian MBG Fruits Shop sekitar Lembah Klang kekal dalam kategori terbaik.

Jelasnya lanjut, tugas dipertanggungjawabkan bukan mudah kerana setiap negara yang mengimport buah-buahan mempunyai syarat tertentu. Selain itu, dia juga perlu berurusan dengan pengedar mengikut waktu kerja berbeza-beza negara berkenaan.

“Selain perbincangan, saya juga akan menghantar nota harian kawalan produk kepada pengedar dan membuat nota kredit untuk barangan dipulangkan,” tuturnya yang sentiasa berkomunikasi dan bertukar pandangan bersama pelanggan dan pengedar buah di negara ini.

Nur Lee, generasi keempat MBG Fruits Sdn Bhd for Sukses. — AZLINA ABDULLAH/The Star

Mei Yee proaktif mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan kualiti buah di bawah jenama MBG Fruits Shop kekal dalam kategori terbaik.

Buka kafe

Katanya, sejak MBG Fruits Shop diperkenalkan sekitar 1990-an, pelbagai produk berasaskan buah-buahan tropikal dan eksotik dihasilkan demi kepuasan pelanggan.

Selain menjual buah segar diimport antaranya dari Korea, Australia dan Afrika Selatan para pelanggan juga boleh membeli bakul dan kotak buah untuk dijadikan sebagai bungkusan hadiah.

Perkhidmatan penghantaran turut diketengahkan sebagai pemudah cara, selain kemudahan pelanggan boleh membeli secara dalam talian di kedai runcit MBG Fruits Shop.

Berbicara mengenai visinya, Mei Yee memilih cabang berbeza sebagai langkah mengembangkan sayap perniagaan keluarganya itu.

Nur Lee, generasi keempat MBG Fruits Sdn Bhd for Sukses. — AZLINA ABDULLAH/The Star

MBG Fruits Shop memiliki 37 rantaian di sekitar Lembah Klang setakat ini.

Jika tahun lalu MBG Fruit Shop membuka kedai di IOI Mall Putrajaya, maka 2024 dia berhasrat mengusahakan kafe di bawah jenama sama dalam masa terdekat.

Keterujaannya semakin membuak apabila idea tersebut mendapat persetujuan bapanya. Kini perancangannya adalah untuk merealisasikan idea itu dengan baik demi jenama syarikat.

“Selain sibuk menguruskan perihal import, saya juga sedang merancang konsep dan menu untuk kafe yang dijangka beroperasi Jun depan di salah sebuah pasar raya di Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

“Mungkin saya terapkan menu konsep buah-buahan dan senarai jus menarik,” tuturnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram