KIRA-KIRA enam tahun lepas, Rose Petrus Payak mengambil langkah berani untuk mengubah hidupnya dengan menceburi bidang pertanian halia.
Pada 2018, usahawan berasal dari Tambunan, Sabah itu menyertai Women Support Group Tambunan Enterprise (WSGTE), sebuah perusahaan sosial yang ditubuhkan untuk membantu wanita menjana pendapatan sambil berjuang menentang keganasan berasaskan gender.
Memulakan cerita, Rose, 61, mengakui bahawa selama ini dia bergantung kepada suaminya, seorang buruh, untuk menyara kehidupan mereka.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Rose (kanan) amat menekankan kerjasama antara wanita dalam mencapai kebebasan kewangan dan mengatasi penindasan.
Namun, keadaan mula berubah selepas ibu kepada sembilan anak tersebut menyertai WSGTE dengan harapan dapat memberikan kehidupan yang lebih baik untuk keluarganya.
"Saya menyertai WSGTE kerana ingin menjana pendapatan sendiri. Saya ingin keluarga menjalani kehidupan yang lebih selesa," kata Rose, yang berasal dari Kampung Lubong di Tambunan.
Pada 2020, Rose menjadi petani halia melalui projek sosial Everything Tambunan (ET) yang dijalankan oleh Good Shepherd Services (GSS) dengan sokongan Yayasan Hasanah.
Projek berkenaan membantu petani wanita di Tambunan untuk meningkatkan pendapatan mereka melalui hasil jualan halia.
Kini, dia yang juga Naib Presiden WSGTE mampu menjana hampir RM150 sebulan daripada hasil pertanian halia.
Kepingan halia dijemur sebelum dibungkus dan dijual secara dalam talian.
Walaupun jumlah itu mungkin kecil bagi sesetengah orang, bagi wanita itu, ia merupakan satu perubahan besar.
"Saya bersyukur kerana akhirnya dapat menjana pendapatan sendiri. Wang tambahan ini dapat membantu membiayai sebahagian perbelanjaan kolej anak-anak saya," katanya.
Tambunan, sebuah bandar pertanian di pedalaman Sabah, terkenal dengan hasil pertaniannya, termasuk halia dan sayur-sayuran.
Pengarah Eksekutif GSS, Chin Poh Choo menjelaskan bahawa sebelum projek ET dimulakan, wanita-wanita di daerah itu hanya memperoleh kurang RM30 sebulan daripada jualan produk berasaskan halia.
Kini, pendapatan mereka meningkat sehingga RM100 sebulan.
Poh Choo berkata, sebelum projek ET dimulakan, wanita-wanita di daerah itu hanya memperoleh kurang RM30 sebulan.
"Di Tambunan, 80 peratus wanita terlibat dalam aktiviti ekonomi berkaitan pertanian, namun kerja mereka sering tidak diiktiraf walaupun mereka adalah penyumbang utama kepada keselamatan makanan bagi keluarga dan komuniti," katanya.
ET didasarkan pada konsep kolektivisme yang melibatkan kerjasama wanita dari 18 kampung untuk menghasilkan produk berasaskan halia seperti serbuk halia, kepingan halia, serunding halia liar dan serunding halia.
Selain menjana pendapatan, ET juga berfungsi sebagai platform untuk advokasi menentang keganasan seksual dan berasaskan gender, yang mana sebahagian pendapatan digunakan untuk kempen kesedaran mengenai isu ini.
Kerjasama wanita dari 18 kampung di Tambunan menghasilkan produk berasaskan halia seperti serbuk dan kepingan halia.
Rose dan petani wanita lain turut mendapat manfaat daripada pelbagai kursus yang disediakan termasuk pengurusan kewangan.
Usahawan itu dalam masa sama juga menekankan betapa pentingnya wanita untuk berdiri bersama dan saling memperkasakan.
“Wanita harus bangkit, menunjukkan bakat mereka dan bersinar. Jangan hanya berada di belakang. Kerjasama antara wanita sangat penting dalam mencapai kebebasan kewangan dan mengatasi penindasan," tegasnya.
Produk-produk daripada wanita Tambunan kini boleh didapati menerusi platform Shopee dan Instagram, sekali gus menandakan pencapaian besar bagi komuniti wanita petani di daerah itu. — The Star/SHEELA CHANDRAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram