BERMULA dengan hobi, kini wanita Sabah ini mengubah hasil kutipan sisa plastik sebagai salah satu sumber rezekinya.
Bekas wartawan dan juga subeditor dari Kota Kinabalu ini mengumpul sisa plastik daripada pembuat bakul di seluruh Sabah, memberikan kehidupan baharu kepada bahan-bahan yang terbuang dengan menghasilkan anting-anting yang ada kaitan dengan etnik-etnik di negeri itu.
Sejak 2016, Saila Saidie, 34, mula membuat barang perhiasan.
BACA LAGI: Jejaka lulusan IUKL mulakan bisnes mover di Nilai, Lembah Klang, mudah proses pemindahan
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Saila mula membuat barang kemas hiasan dari rumah sejak 2016.
Aktiviti yang bermula sebagai hobi secara perlahan-lahan berkembang menjadi perniagaan dari rumah yang dipanggil Lifetime Jewellery Design (LJD) untuk menambah pendapatannya.
“Saya mula mencipta aksesori foto dengan gambar bunga yang disalut damar. Kakak-kakak saya menyukainya dan tidak lama kemudian, rakan-rakan mereka meminta loket foto dan anting-anting.
“Itulah permulaan LJD, yang mana saya buat barang-barang ini pada waktu siang dan menyunting artikel berita pada waktu malam,” katanya.
Saila berada di bandar untuk menghadiri bengkel selama seminggu yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bersama Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia.
Usaha wanita berketurunan Dusun dari Penampang itu yang cuba menggabungkan minatnya, iaitu menghasilkan aksesori dalam masa sama mengadaptasi gaya hidup lestari boleh disatukan.
Menggunakan bahan plastik yang dikitar semula untuk membuat anting-anting adalah cara yang baik dan mesra alam untuk mengurangkan sisa dan pencemaran.
Kongsinya lagi, minat terhadap kelestarian tercetus pada 2019 sewaktu memandu melalui kampung terapung Kampung Air di Sembulan, Kota Kinabalu. Alangkah terkejutnya wanita itu melihat jumlah botol plastik yang terapung di air.
“Ini menimbulkan keinginan untuk menangani isu sisa plastik. Tidak lama selepas itu, saya menyertai program keusahawanan sosial yang dianjurkan oleh Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah di Kota Kinabalu.
“Di sana, saya bertemu dengan beberapa usahawan sosial yang memberi inspirasi dan nasihat untuk memulakan LJD, yang memberi fokus kepada sisa plastik. Saya memperoleh pengetahuan yang berguna tentang cara menjana keuntungan sebagai usahawan sosial.
“Detik penting inilah yang membawa saya untuk komited sepenuhnya kepada LJD,” kata pemegang ijazah dalam sains sukan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Reka bentuk etnik Sinumandak ini dihasilkan tanda penghormatan kepada komuniti Murut di Sabah.
Tinggalkan dunia media
Pada 2020, Saila meninggalkan industri media untuk memberikan sepenuh tumpuan terhadap perniagaannya, di samping menangani pencemaran plastik.
Usahawan itu tidak menafikan, ketidakstabilan kewangan adalah ketakutan terbesar yang menjadi isu utama, saat dia memutuskan untuk berhenti kerja.
Fikirnya, adakah perniagaan itu berupaya menjana pendapatan yang mencukupi buat menyara kehidupannya selepas ini?
"Dengan pinjaman rumah yang perlu dibayar setiap bulan, kehilangan pendapatan tetap sepenuh masa adalah risiko besar yang perlu diambil.
"Selepas memikirkannya, saya memutuskan bahawa saya ingin mengejar sesuatu yang baharu dan memuaskan.
“Saya sanggup mengambil risiko kerana percaya bahawa bisnes ini berpotensi memberi ganjaran yang melebihi risikonya,” jelas ibu kepada seorang anak perempuan yang berusia dua tahun.
Saila berupaya menggaji enam ibu tunggal dari Kampung Sinungkalangan, Tambunan.
Keputusan untuk berhenti kerja tidak sia-sia apabila pada 2022, wanita tersebut memenangi program Sabah Shell LiveWIRE, yang menawarkan bengkel percuma dan pembiayaan kepada usahawan muda.
Dia memperoleh geran sebanyak RM10,000 yang membolehkannya membeli mesin pemampat kertas.
Bagi mengembangkan perusahaan sosialnya, dia juga menerima pembiayaan kira-kira RM250,000 daripada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), perusahaan sosial dan organisasi korporat.
“Saya juga berkolaborasi dengan pensyarah Akademi Seni dan Teknologi Kreatif Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Lilian Lee Shiau Gee, yang membimbing saya tentang cara menentukan arah dan fokus perniagaan.
"Secara perlahan-lahan, LJD berkembang daripada perniagaan aksesori foto menjadi perusahaan sosial yang menghasilkan produk pelancongan daripada sisa plastik dan bekerja dengan komuniti terpinggir di Sabah,” jelasnya.
Sisa plastik daripada pembuat bakul di seluruh Sabah, memberikan kehidupan baharu kepada bahan-bahan yang terbuang.
Dari sisa ke aksesori
Kini, Saila berupaya menggaji enam ibu tunggal dari Kampung Sinungkalangan, Tambunan, dengan menawarkan mereka bayaran yang bersesuaian untuk hasil kerja tangan mereka.
“Keputusan saya untuk bekerja dengan ibu tunggal adalah sesuatu yang sangat peribadi.
"Saya dibesarkan oleh ibu tunggal dan faham cabaran dan halangan yang dihadapi oleh wanita-wanita ini.
"Saya berharap perusahaan ini dapat memberikan ibu-ibu tunggal peluang pekerjaan dan sokongan, seterusnya meringankan beban kewangan mereka,” ujarnya.
Saila berkata, setiap individu memperoleh RM10 untuk sepasang anting-anting yang dibuat.
Tambah anak sulung daripada lima beradik ini lagi, pendapatan mereka biasanya dalam anggaran antara RM300 hingga RM500 sebulan, namun ia juga bergantung kepada jumlah pesanan dan kadar pengeluaran,” katanya.
Kampung Sinungkalangan, katanya, dipilih kerana ia merupakan tempat ibunya membesar dan dia mengenali beberapa wanita yang kurang bernasib baik di sana.
Saila (kiri) secara aktif mengurangkan jumlah plastik yang berakhir di tapak pelupusan.
Ke arah kelestarian
Plastik sinonim dengan masalah alam sekitar, ditambah lagi dengan salah tanggapan umum tentang kebolehkitarannya.
Kajian terkini menunjukkan bahawa satu liter air botol mengandungi kira-kira suku juta zarah mikroplastik yang tidak kelihatan.
“Orang ramai secara tidak sedar menelan mikroplastik ini melalui apa yang kita makan, minum dan sedut, yang boleh meningkatkan kerentanan kita terhadap penyakit jantung, kanser dan penyakit lain.
“Syukur terdapat banyak teknologi kitar semula plastik yang membolehkan sisa plastik diubah menjadi sumber yang berharga daripada dibuang sebagai sampah,” kata Saila. — The Star/SHEELA CHANDRAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram