MINATNYA terhadap dunia fesyen tidak pernah padam. Meskipun mewarisi empayar kosmetik yang cukup kukuh daripada ibunya, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya, namun Rita Sosilawati tidak pernah duduk dalam zon selesa.
Bahkan, keterujaannya meneroka pelbagai aspek gaya hidup sentiasa membara. Pemilik nama sebenar Erni Dekritawati Yuliana Bukhari, 39, ini tidak menunggu lama untuk menceburi segmen beg tangan.
Sebagai pengasas jenama beg tangan mampu milik, Victoria Sloane, koleksi yang diketengahkan sejak 2018 itu sesuai untuk semua peringkat usia.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
“Pada peringkat awal, saya mengilhamkan lima jenis beg tangan,’’ kata Rita yang mahu meneruskan legasi Allahyarham ibunya yang begitu mementingkan pengayaan diri. Lima koleksi pertama itu adalah Warwick, Essex, Holborn, Abbey dan Kew.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni (Tekstil) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu berkata, beg mampu milik tersebut mendapat sentuhan terperinci gabungan Asia dan Itali.
Harga yang ditawarkan kurang daripada RM200, dengan setiap koleksi adalah terhad dan tiada ulangan,” ujarnya jumlah beg tangan yang dikeluarkan terhad antara 500 hingga 1,000 unit sahaja.
Menurut Rita, Victoria Sloane menampilkan kriteria berbeza baik dari segi pilihan warna mahupun rekaannya. Koleksi beg tangan ini boleh didapati secara dalam talian di platform media sosial seperti Instagram, Tiktok mahupun landasan beli-belah seperti Shopee.
Antara koleksi beg tangan di bawah jenama Victoria Sloane.
Mengetengahkan koleksi rona terang seperti kuning dan merah, kecintaan beliau terhadap tas tangan antara pencetus minat untuk tampil dengan jenama sendiri.
“Saya tidak memilih jenama fesyen berkelas tinggi sebagai koleksi utama sebaliknya memilih untuk memberi sokongan kepada pereka tempatan.
“Sebagai seorang penggemar fesyen, beg tangan adalah pelengkap gaya. Tidak ramai dalam kalangan pereka tempatan yang menawarkan rekaan menakjubkan dalam pasaran,” ujarnya menggabungkan elemen praktikal dengan rekaan kekal malar bagi memberikan kelainan dalam setiap koleksi.
Berkongsi pengalaman selama lapan tahun dalam industri beg tangan, katanya, untuk kekal dalam industri fesyen bukan perkara mudah kerana sektor itu bergerak pantas mengikut peredaran semasa.
Rita mengakui penelitian sangat penting justeru, beliau mengambil masa tiga bulan untuk mencorak rekaan yang ditampilkan.
Beg tangan Victoria Sloane mengetengahkan koleksi rona terang seperti kuning dan merah.
Menggunakan material kulit sintetik premium, beliau mengakui perancangan amat penting untuk memastikan perniagaan yang dijalankan kekal bertahan.
“Setiap perniagaan ada cabaran tersendiri. Saya pula sangat menitik beratkan tentang kos yang dikeluarkan untuk menghasilkan sesuatu produk.
“Andai kata satu koleksi beg tangan tidak terjual dalam tempoh enam bulan, saya akan jual pada harga rendah kerana mahukan pulangan modal,” katanya yang menjadikan suami dan anak-anak sebagai pendorong semangatnya.
Beliau mengakui perancangan amat penting untuk memastikan perniagaan yang dijalankan kekal bertahan.
Menyentuh tentang perancangan akan datang, beliau juga mahu menghasilkan satu modul perniagaan khusus untuk membantu wanita.
Kini, beliau melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) bagi jurusan Perniagaan Antarabangsa di Universiti Utara Malaysia (UUM) Kampus Kuala Lumpur.
“Walaupun tidak bergelar tenaga pengajar tetapi saya tetap mahu berkongsi ilmu dan kemahiran menerusi seminar keusahawanan,” katanya yang pernah bercita-cita sebagai pensyarah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram