PASANGAN suami isteri berasal dari Pokok Sena, Kedah, tidak menyangka idea menjalankan perniagaan berkonsepkan kabin sejak Februari tahun ini semakin mendapat tempat dalam kalangan pencinta kopi.
Bermula dengan bisnes rempeyek dan kedai makan yang beroperasi selama kira-kira empat tahun lalu, mereka kini memutuskan untuk beralih ke perniagaan kabin yang lebih unik, dengan mengetengahkan konsep seolah-olah dalam perkhemahan.
Pemilik Jouls&Sons, Faizul Eqwan Rosli, 31, berkata, selepas menutup kedai makan, mereka memutuskan untuk menerokai konsep kabin setelah melakukan tinjauan di kawasan sekitar lain.
Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Minat terhadap aktiviti perkhemahan menyebabkan dirinya tergerak hati untuk menyediakan suasana tempat makan yang santai.
"Dengan keadaan ekonomi yang mencabar, kami cuba mencari alternatif untuk mengurangkan kos operasi seperti sewa kedai dan bil elektrik yang tinggi.
"Jadi selepas berbincang dan mengambil kira pelbagai faktor, kami menampilkan konsep menjamu selera seperti berada dalam perkhemahan dan menawarkan suasana santai," katanya kepada Majoriti.
Kabin yang beroperasi dari pukul 5 petang hingga 12 tengah malam setiap hari kecuali Isnin itu terus menarik perhatian bukan sahaja penduduk setempat, malah turut menerima kunjungan pelancong dari luar Kedah.
Untuk pengunjung luar kebiasaannya, ujar Faizul Eqwan, mereka mengetahui tentang kewujudan kabin tersebut menerusi media sosial, khususnya TikTok, yakni apabila mereka melakukan pencarian lokasi-lokasi menarik di sekitar Pokok Sena.
Kerabu maggi dan oden antara hidangan ringan yang disediakan di kabin tersebut.
Difahamkan, kabin dengan konsep bisnes seperti itu merupakan yang pertama dibina di kawasan Pokok Sena, sebelum muncul beberapa perniagaan lain yang turut mengikut jejak langkah mereka.
Dengan kapasiti antara 30 hingga 40 pelanggan dalam satu-satu masa, usahawan yang juga jurufoto itu menjelaskan, mereka kebiasaannya akan menyediakan makanan yang mudah disediakan bagi tujuan menjimatkan masa dan tenaga.
Ujar lulusan Diploma Hiasan Dalaman dari Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Langat itu lagi, mereka menggunakan peralatan mudah alih dan memasak dengan kaedah yang tidak memerlukan minyak atau kerja-kerja berat, bagi mengekalkan keselesaan dalam ruang yang terhad.
Kabin Joul&Sons menampilkan konsep menjamu selera seperti berada dalam perkhemahan dan menawarkan suasana santai.
"Selain aneka kopi, hidangan yang disajikan juga lebih ringan seperti kerabu maggi dan oden (hidangan tradisional Jepun yang terdiri daripada bahan seperti kek ikan, tofu dan cendawan).
"Kami menyediakan kopi premium dengan harga mampu milik kerana ingin memberi peluang kepada golongan remaja dan keluarga untuk menikmati menu yang berkualiti tanpa membebankan," tambah bapa kepada dua cahata mata lelaki itu.
Dengan modal permulaan sebanyak RM10,000, Faizul Eqwan tanpa lelah membangunkan kabin tersebut secara berperingkat.
Kongsi anak bongsu daripada empat beradik itu, dia bersyukur apabila perniagaan kabin tersebut berjaya mencatatkan nilai jualan antara RM10,000 hingga RM20,000 sebulan.
Kabin tersebut beroperasi dari pukul 5 petang hingga 12 tengah malam setiap hari kecuali Isnin.
Akuinya, walaupun keuntungan sedikit nipis, strategi dari segi harga yang ditawarkan sebenarnya berupaya menarik pelbagai lapisan masyarakat untuk mengunjungi kabin berkenaan.
"Kami mahu semua orang dapat merasa makanan dan minuman berkualiti tanpa mengira status kewangan mereka," katanya sambil memberitahu minumannya dijual bermula dengan harga RM8.
Faizul Eqwan berkongsi, menguruskan perniagaan kabin turut membawa cabaran tersendiri buat mereka.
Ujarnya, selain makanan tidak terjual, pihaknya turut berdepan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.
"Cabaran utama berniaga makanan ialah risiko makanan rosak kalau tidak habis, terutama dalam ketidaktentuan cuaca seperti hujan.
"Ruang tempat duduk di bawah bumbung terhad dan jika hujan turun, pelanggan tidak dapat menikmati makanan di kawasan terbuka.
Kabin Joul&Sons menampilkan konsep menjamu selera seperti berada dalam perkhemahan.
"Selain itu kami juga berisiko menghadapi keadaan di luar jangka. Salah satu insiden yang tidak dapat dilupakan adalah ketika berlaku angin kuat hingga mematahkan payung besar yang baru sahaja dipasang.
Malah kerusi dan meja turut dibawa angin. Mujurlah kabin kami kukuh, jadi selamatlah kami di dalamnya," jelasnya yang turut aktif mempromosikan bisnes menerusi akaun TikTok @joulnsons.
Ditanya sama ada ingin melebarkan sayap ke kawasan lain, Faizul Eqwan turut menyuarakan hasrat untuk mengembangkan perniagaan, namun fokus utamanya kini adalah untuk menstabilkan operasi di lokasi sedia ada sebelum memikirkan langkah seterusnya.
"Perancangan untuk berkembang itu ada, tetapi buat masa sekarang kami fokus dulu untuk stabilkan (bisnes) di sini," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram