Produk susu badam keluaran anak jati Negeri Sembilan tembus pasaran Korea, Uzbekistan


  • Bizz
  • Khamis, 03 Okt 2024

Mohd Khairil berkata, Dalucia diwujudkan hasil tinjauan keperluan pasaran global ketika belajar di luar negara.

DENGAN sasaran menembusi 10 negara untuk pasaran antarabangsa dan 10,000 kedai runcit di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, jenama minuman susu kacang badam, Dalucia yakin visi tahun 2024 itu mampu dicapai.

Sebagai pelopor minuman berasaskan susu badam di negara ini, Ketua Pegawai Eksekutif The Dalucia Sdn Bhd, Mohd Khairil Khider berkata, biarpun kini banyak jenama pesaing, namun kualiti produknya yang dijamin asli memiliki nilai tambah menarik hati pengguna.

Diperkenalkan sejak 2017, jenama produk tempatan itu sudah menembusi pasaran runcit antarabangsa termasuk Korea, Bangladesh, China dan Uzbekistan.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan

Jelas usahawan berusia 35 tahun tersebut, setiap tahun Dalucia mencapai sasaran apabila jualan meningkat kira-kira 20 peratus dan mencatat hasil jualan lebih RM5 juta sepanjang enam tahun beroperasi.

Selain itu, beliau juga memberitahu, Dalucia menggunakan konsep sasaran pasaran runcit sebanyak 80 peratus dan 20 peratus pula sistem ejen dengan menerapkan sistem perniagaan berbeza.

“Saya lebih selesa menguasai sistem peruncitan tempatan dan antarabangsa berbanding menggunakan sistem ejen kerana ia agak ‘rapuh’ dan keuntungan produk minuman rendah.

“Jenama ini boleh didapati di pasar raya seperti Hero, Giant, Mydin dan AEON, selain rantaian runcit tempatan.

“Untuk promosi, kami banyak menyertai acara jualan antarabangsa bertujuan memperluaskan jaringan sosial dan memperkukuhkan pasaran jenama,” katanya.

Snapinsta.app_337185564_170840179137352_6998993390385861804_n_1080

Kualiti produk Dalucia yang dijamin asli memiliki nilai tambah menarik hati pengguna.

Mengimbas perjalanan produk itu, graduan Ijazah Jurutera Mekanikal Universiti Sunderland, United Kingdom menjelaskan bahawa Dalucia diwujudkan hasil tinjauan keperluan pasaran global ketika belajar di luar negara.

“Salah satu strategi untuk kekal dalam perniagaan adalah menjalankan kajian demografi dan keperluan pasaran semasa.

“Saya mendapati produk susu kacang badam keluaran tempatan masih rendah dan kekurangan ini menarik perhatian untuk menghasilkannya, sekali gus membantu meningkatkan kualiti hidup,” tutur anak kelahiran Negeri Sembilan itu.

Menurut Mohd. Khairil hasil kajian mendapati hampir tujuh daripada 10 individu di seluruh negara mengalami masalah laktosa intoleransi. Tanpa disedari keadaan berkenaan sedikit sebanyak menjejaskan rutin harian.

“Mereka yang alah pada susu berisiko mengalami sakit perut dan masalah kesihatan lain.

“Jadi, antara solusi ideal adalah dengan menikmati susu kacang badam sebagai pilihan alternatif selain kacang soya,” ujarnya.

Snapinsta.app_421906074_810786911062255_6819020551473964593_n_1080

Produk susu kacang badam mula mendapat perhatian dan kepercayaan ramai.

Menggunakan kacang badam yang diimport dari Kanada, Dalucia memfokuskan kepada penghasilan produk plant-based untuk membantu meningkatkan amalan pengambilan minuman sihat sejajar permintaan semasa.

“Pada mulanya sukar meyakinkan pengguna kerana masyarakat tempatan tidak menitikberatkan pengambilan susu sebagai minuman tambahan yang umum mengetahui ia membantu memberikan khasiat pada tubuh.

“Dengan kerjasama pelbagai pihak dan kempen kesedaran yang dijalankan produk susu kacang badam mula mendapat perhatian dan kepercayaan ramai.

“Menarinya, pelanggan kini boleh menikmati empat pilihan susu badam iaitu coklat, original, strawberi dan unsweetened (bebas gula) dalam saiz 300 mililiter setiap botol,” katanya lanjut.

Selain itu, bagi memberi pilihan kepada pengguna Dalucia turut menawarkan produk minuman sampingan seperti jus kurma asli dan jus delima yang kaya khasiat tersendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram