EVOLUSI indusri fesyen menyaksikan abaya bukan lagi sejenis pemakaian yang asing dalam kalangan wanita di Malaysia.
Abaya Lubnaa, yang diasaskan pada 2018 menjadi antara jenama pilihan para penggemar fesyen, termasuk kerabat diraja hingga golongan selebriti.
Hanya menggunakan material terbaik, ilham daripada Abaya Lubnaa sentiasa dihiasi perincian serba mewah bagi menepati selera wanita masa kini yang menitikberatkan kualiti tinggi.
Menurut pengasasnya, Syahruban Mohamad, cita rasa wanita Malaysia agak berbeza apabila menyaksikan penjualan himpunan daripada warna-warna pastel mendapat sambutan berbanding hitam yang sememangnya sinonim dengan konsep pemakaian abaya khususnya wanita Asia Barat.
BACA LAGI: Mayat mangsa lemas di Sungai Subong ditemukan
BACA LAGI: Siap belajar bertanam 2 minggu, petani B40 di Putrajaya bakal tuai hasil cili cecah RM1.2 juta
Ikuti wawancara bersama Syahruban yang berkongsikan perjalanannya dalam mencipta dan mengukuhkan jenama Abaya Lubnaa dalam arena fesyen tempatan.
Bagaimana boleh timbulnya idea untuk memulakan bisnes abaya?
Saya bukan berasal daripada arena fesyen, namun latar belakang saya agak pelbagai. Dahulu pernah menjawat jawatan jurutera sistem dan kemudiannya mencuba nasib bersama syarikat penerbangan Emirates sebagai kru kabin. Selain itu, pernah berkhidmat untuk keluarga diraja.
Apabila masa lebih banyak diluangkan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu dan bergaul dengan golongan berstatus seperti kerabat diraja, saya mendapati mereka amat menggemari abaya potongan, perincian dan kualiti tertentu. Dari situ saya melatih mata dan cita rasa untuk menilai jenis abaya yang mewah, selaras permintaan kelompok elit wanita Asia Barat.
Setiap kali pulang ke Malaysia, saya pasti membawa bersama seleksi abaya dari Dubai dan ramai menyukainya. Saya sendiri gemar menyarung abaya dan kebanyakan memuji sehingga meminta mengirimkan rekaan sama. Akhirnya sudah menjadi rutin untuk membawa balik berhelai-helai abaya atas permintaan.
Menyedari minat orang ramai, akhirnya saya nekad memulakan perniagaan menjual abaya secara serius. Memang waktu itu, abaya bukanlah pilihan fesyen arus perdana buat wanita Malaysia... tetapi, mengapa tidak? Saya beranikan diri mencuba dan Abaya Lubnaa pun memasuki pasaran sekitar 2019.
Syahruban mengakui dia sememangnya gemar menyarung abaya.
Apakah rahsia Abaya Lubnaa mampu bertahan meskipun jenama hanya mulai dijual sewaktu dunia memasuki ambang pandemik Covid-19?
Abaya Lubnaa ibarat perintis untuk jenama fesyen yang berteraskan abaya, malah boleh dikatakan pencetus trend abaya di Malaysia. Hampir semua peminat tempatan fesyen ini mengenali jenama kami. Walaupun sudah ada banyak jenama abaya lain pada hari ini, namun saya sentiasa melihat situasi ini sebagai suatu persaingan sihat.
Dahulu saya pernah menjadi stokis premium jenama Naelofar dan memiliki butik fizikal sendiri di Ipoh, Perak. Di dalam butik sama, saya turut menjual koleksi abaya. Hanya apabila saya berhasrat berhijrah ke Kuala Lumpur, semua transaksi jualan abaya dilakukan secara dalam talian.
Waktu itu semasa Covid-19 melanda, banyak perniagaan jatuh merudum. Syukur, jualan Abaya Lubnaa mencanak naik. Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila semua diarahkan duduk rumah, kami banyak melakukan jualan secara langsung di platform media sosial dan sesungguhnya terkejut dengan sambutan luar jangkaan. Saya masih ingat lagi koleksi pleated Abaya Lubnaa yang begitu popular dan tiba-tiba menjadi tular.
Saya gembira apabila orang ramai berkongsi tindak balas positif mengenai kualiti dan ciri-ciri rekaan Abaya Lubnaa. Para pelanggan setia juga terus memberi sokongan padu atas keyakinan mereka dengan kualiti Abaya Lubnaa yang terus konsisten di samping kepelbagaian rekaan dari satu musim ke musim lain.
Abaya Lubnaa memperkenalkan banyak ciptaan rona nude yang sehingga kini menerima permintaan tinggi.
Dari pemerhatian anda, bagaimanakah selera wanita Malaysia apabila memilih abaya?
Abaya sangat universal. Ia selesa, sederhana dan memiliki aura kemewahan sukar untuk dirungkaikan. Jika di Dubai, para pereka mengetahui pelanggan lebih menggemari rona gelap khususnya hitam. Wanita sana tidak begitu menyukai perincian seperti renda, apatah lagi warna cerah.
Berlainan dengan wanita Malaysia jauh lebih berani menggayakan warna terang. Abaya Lubnaa memperkenalkan banyak ciptaan rona nude yang sehingga kini menerima permintaan tinggi. Saya juga meminta pereka kami membuat sedikit perubahan dari segi saiz agar lebih serasi dengan tubuh badan dan ketinggian wanita tempatan.
Butik Abaya Lubnaa yang terletak di Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor.
Apakah pemakaian abaya dalam kalangan wanita Malaysia dianggap bermusim dan hanya timbul permintaan pada musim keramaian?
Tentu sekali tidak! Permintaan pelanggan sentiasa ada. Orang sarung abaya tidak mengira musim, malah ia selesa untuk dipakai setiap hari sebagaimana baju kurung. Tidak perlu tunggu hari Jumaat atau acara tertentu. Malahan, sekarang ini sudah ramai memilih abaya sebagai busana ke resepsi perkahwinan.
Oleh kerana saya turut memiliki pelanggan elit, pada masa hadapan saya merancang memperkenalkan tempahan eksklusif. Busana abaya itu akan dihasilkan daripada bahan dan perincian bermutu tinggi, potongan mengikut saiz tubuh dan ketinggian pelanggan, di samping memberikan perkhidmatan terbaik sebagaimana atelier terkemuka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,