Bekas cef Singapura kembali ke JB teruskan legasi cakoi sejak 1996, perisa savuri suntik kelainan


  • Bizz
  • Selasa, 01 Okt 2024

Mohd Shamsul Ariffin membuat pengubahan semula formula supaya adunan doh sesuai untuk meletak pelbagai perisa di bahagian atas.

JIKA dahulu kuih cakoi biasanya enak dimakan bersama sos cili cair dan kaya, Mohd Shamsul Ariffin Fadhil, cuba menghidupkan semula hidangan tradisional masyarakat Cina itu ke satu peringkat yang lebih menarik dan moden.

Beroperasi menggunakan sebuah kenderaan saji atau food truck berwarna hitam, cakoi di bawah jenama Golden Stick itu dijual di sekitar Lembah Klang, termasuk di Pasar Malam Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Bandar Tun Hussein Onn, Cheras; Pasar Bandar Baru Ampang dan Pasar Malam Jelatek.

Kelainan yang dicipta bapa tunggal itu meraih perhatian banyak pihak, sehingga pengunjung sanggup beratur panjang semata-mata ingin merasainya.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan

Memulakan cerita, usahawan berusia 38 tahun itu memberitahu, makanan diperbuat daripada adunan tepung yang cukup lembut ini diusahakan bagi meneruskan legasi keluarganya, Mr Sam You Char Kway yang beroperasi sejak 1996 di Johor.

Selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia mengambil keputusan untuk berpindah dari Bandar Baru UDA, Johor Bharu, Johor ke Kuala Lumpur bagi mengembangkan bisnesnya.

Ditanya bagaimana usaha mencipta cakoi aneka perisa itu bermula, Mohd Shamsul Ariffin memberitahu, idea tercetus ketika dirinya menjalankan perniagaan tersebut berdekatan sebuah sekolah di Johor Bharu,

Pada awalnya, bapa kepada lima cahaya mata itu hanya mencari jalan untuk menarik minat pelajar-pelajar di situ.

Ketika itu katanya, hanya tiga jenis perisa ditawarkan iaitu coklat, kacang dan chicken floss, namun sambutan luar biasa yang diterima menyebabkan terhasillah beberapa perisa lain bagi memenuhi permintaan pelanggan.

"Saya membuat pengubahan semula formula supaya adunan doh sesuai untuk meletak pelbagai perisa di bahagian atas dengan mengurangkan minyak dan memastikan teksturnya tidak lembik," ujarnya yang turut aktif mempromosikan jualannya menerusi aplikasi TikTok, @goldenstickmy.

6330247805771299879

Cakoi di bawah jenama Golden Stick itu dijual di sekitar Lembah Klang, termasuk di Pasar Malam TTDI.

Lebih 20 variasi cakoi

Pada awalnya, dia menawarkan kira-kira 20 variasi cakoi berperisa manis seperti coklat dan kacang, sebelum mengambil langkah lebih berani dengan mencipta cakoi berkonsepkan savuri pada 2016.

Percaturannya membuahkan hasil apabila produk makanannya menjadi tular dan mendapat perhatian ramai.

"Daripada cakoi biasa yang manis, kami ubah kepada pelbagai perisa atau savuri, sekali gus memberikan lebih banyak pilihan buat pelanggan," kata pewaris generasi ketiga perniagaan itu.

Bermula dari harga RM3 sahaja, Golden Stick menawarkan cakoi berperisa jumbo sosej, telur mayo, tuna spesial, daging kurma, ayam lada hitam, daging lada hitam dan kambing merah.

Ujarnya, kambing merah, daging lada hitam dan sosej jumbo, yang menawarkan rasa lembut daging, merupakan antara menu yang menjadi pilihan ramai.

"Selain menu savuri tersebut, kami juga menghidangkan cakoi asli yang dimakan bersama kaya dan sambal kacang.

"Sambutan yang diterima menyebabkan saya mampu menghabiskan lebih 2,500 cakoi bersamaan 38 kilogram (kg) tepung dalam tempoh sehari sahaja," ceritanya lagi.

Untitled design (20)

Cakoi ayam lada hitam dan cakoi daging lada hitam antara menu tarikan pengunjung.

Keluarga cef

Berkongsi lebih lanjut, bagi anak kelima daripada 10 beradik ini, pengalaman selama lapan tahun sebagai seorang cef di Singapura turut memainkan peranan besar dalam evolusi produk itu.

"Sebelum ini saya bekerja sebagai cef di Singapura, namun pada usia 28 tahun, saya mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia dan meneruskan perniagaan keluarga.

"Walaupun meninggalkan kerjaya stabil di Singapura, dengan pendapatan sekitar SGD8,000 (RM26,000) sebulan, saya tidak menyesal dengan keputusan ini," jelasnya.

Mohd Shamsul Ariffin berkata, berbanding kerja makan gaji, pendapatan dalam bidang perniagaan sebenarnya lebih mendatangkan keuntungan, asalkan rajin dan tidak sesekali berputus asa.

Dengan menjual cakoi di sekitar Lembah Klang, peniaga itu bersyukur dirinya kini mampu menjana nilai jualan mencecah lebih RM50,000 sebulan.

Seiring perkembangan perusahaan cakoi yang dijalankan dengan bantuan anak-anak, cakoi Golden Stick bukan sahaja terkenal di sekitar Johor, tetapi juga semakin menjadi sebutan warga kota.

IMG_20240922_195745

Daripada cakoi biasa yang manis, Mohd Shamsul Ariffin mengubah makanan itu kepada pelbagai perisa atau savuri bagi memberikan lebih banyak pilihan buat pelanggan.

Usahawan tersebut malah turut merancang untuk mengembangkan perniagaannya melalui konsep francais.

"Insya-ALLAH, tahun ini saya akan buka francais di Pavilion Bukit Bintang dengan nama yang baharu," katanya sambil berkongsi serba sedikit perancangan masa depannya.

Bercerita tentang perjalanan dalam dunia masakan, Mohd Shamsul Ariffin mengakui, darah sebagai tukang masak sememangnya sudah mengalir dalam tubuhnya.

Apatah lagi apabila dilahirkan dalam keluarga yang kesemuanya mempunyai latar belakang kulinari termasuk bapa dan sembilan lagi adik-beradiknya.

Sejak kecil juga, dia sudah membantu bapanya berniaga cakoi, jadi 'bermain' dengan adunan tepung bukanlah satu pekerjaan yang asing baginya.

"Sejak usia sembilan tahun saya sudah membantu keluarga menjalankan perniagaan cakoi.

"Pengalaman bertahun-tahun ini menjadikan cakoi yang dihasilkan bukan sahaja enak, tetapi mempunyai tekstur lembut di dalam dan rangup pada bahagian luar," katanya sambil memberitahu cakoi buatannya mampu bertahan selama dua hingga tiga hari.

Dengan francais yang bakal dilancarkan dan semangat yang tidak pernah luntur, usahawan ini yakin bahawa legasi keluarganya akan terus berkembang dalam dunia perniagaan moden. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram