"LUQMAN kau jangan langgar 'dinding', angah dah tolong susun untuk kau."
Demikian antara pesanan penting yang dititipkan kepada pengasas Ayam Goreng Furaido, Muhammad Luqman Roslan, sebelum dia menjalankan perniagaan pada Mei lalu.
Berpegang kepada 'amaran' abang keduanya yang mesra disapa Abu Isa, 30, Muhammad Luqman tahu, ini bukan masanya untuk dia bermain-main lagi.
@nazrullnaemm Gila ke sehari dorang boleh jual sampai 100-200 ekor. Tapi memang dia punya ayam sedap sangat sangat lagi lagi japnese sos dia memang kena #makanlokal #FoodLah #makanmakan #foodie #ayamgorengfuraido ♬ original sound - naemm
Langkah yang diatur kini perlu senada dengan kepercayaan yang diberi kepada anak ketujuh daripada 12 beradik itu.
Muhammad Luqman memulakan perniagaan ayam goreng pada usia muda, tepatnya pada umur 21 tahun.
Bercerita kepada Majoriti, pemuda tersebut memberitahu, berbekalkan niat untuk membantu menambah baik ekonomi keluarga menjadi penguat semangat untuk dia menerokai dunia penuh risiko itu.
"Saya memang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan kerana saya yakin dengan berniaga dapat membantu keluarga membina kehidupan lebih baik pada masa akan datang.
"Memiliki abang yang bergiat aktif dalam bidang ini juga satu peluang untuk saya mempelajari selok-belok dunia perniagaan secara lebih praktikal.
"Abang banyak memberi tunjuk ajar tentang cara membina dan menguruskan sesuatu bisnes," katanya.
Anak muda ini yakin berniaga dapat membantu keluarganya membina kehidupan lebih baik pada masa akan datang.
Kongsi anak kelahiran Beruas, Perak ini lagi, dia dan abangnya mengambil masa hampir empat bulan untuk membuat kajian pasaran sebelum mempertimbangkan produk yang sesuai untuk diketengahkan.
Ujar Muhammad Luqman, pelbagai kaedah dilaksanakan termasuk membuat analisis melalui beberapa platform dagangan di internet.
"Dari platform tersebut, kita boleh nilai sendiri jenis pasaran kewangan yang mencatatkan peratusan tinggi, bermakna industri mana yang sedang meningkat naik.
"Ketika itu, jualan ayam antara yang merekodkan peratusan perdagangan tinggi, jadi kami memutuskan untuk menjual ayam goreng.
"Kakak ipar yang juga merupakan bekas cef membantu dari segi membuat olahan resipi ayam goreng yang boleh diterima ramai," jelas bekas pelajar di Sekolah Menengah Agama Yayasan Khairiah di Kupang, Baling, Kedah itu.
Ayam Goreng Furaido terkenal dengan saiz ayamnya yang besar dan berjus.
Jual 3,000 ketul ayam sehari
Memiliki keluarga yang begitu mendukung cita-citanya, dia bersyukur perjalanan dalam industri makanan dan minuman (F&B) dipermudahkan biarpun perniagaannya baru mencecah usia setahun jagung.
Muhammad Luqman sering diingatkan abangnya bahawa perniagaan memerlukan ilmu dan perancangan yang teliti, bukan sekadar bergantung kepada keyakinan diri.
Pesan Abu Isa yang dipegang sehingga kini, dia perlu ada ilmu, barulah perjalanan perniagaan menjadi cantik dan paling penting, jangan meniaga syok sendiri.
Muhammad Luqman (kiri) sentiasa berpegang kepada pesanan abangnya dalam menghadapi selok-belok dunia perniagaan.
"Kata-kata abang saya terbukti apabila perniagaan ayam goreng yang dibuka berjaya mencapai kejayaan memberangsangkan, syukur Alhamdulillah.
"Pada hari pertama pembukaan sahaja, gerai saya berhasil menjual 400 ketul ayam goreng hanya dalam masa tiga jam.
"Kini, setelah empat bulan beroperasi, Ayam Goreng Furaido merekodkan jualan hampir 3,000 ketul sehari," ujarnya sambil memberitahu ayam goreng jenamanya dijual pada saiz besar dengan setiap ekor ayam mentah dipotong kepada lapan bahagian.
Keluarga menjadi tulang belakang kepada Muhammad Luqman (kiri) untuk menempa kejayaan dalam bisnes yang diusahakannya sejak empat bulan lalu.
Usahawan muda itu mengorak langkah dengan bermodalkan RM680 untuk membeli bekalan ayam mentah pada peringkat awal.
Kini, Ayam Goreng Furaido semakin berkembang dengan pembukaan lima cawangan fizikal setakat ini, iaitu di Perak terdapat di Batu Gajah, Meru, Medan Gopeng dan Manjoi, sementara Pulau Pinang pula dibuka di Kepala Batas.
"Kami dalam perancangan untuk menambah tiga lagi cawangan di Kedah, Selangor dan Johor dalam tahun ini.
"Perjalanan ini bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi dengan perancangan yang rapi dan bimbingan abang, saya berharap agar diri ini dapat mengelak daripada melakukan banyak kesilapan.
"Pesan abang lagi, jangan langgar dinding berkali-kali seperti angah. Angah susun untuk kau ini hasil daripada banyak kali terlanggar dinding," katanya yang turut percaya kejayaan dalam perniagaan bukan hanya tentang modal, tetapi juga ilmu yang tepat dan mentor yang baik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram