BUKAN sekadar pelari ultra maraton, Jassica Lintanga, 40, juga dikenali sebagai pembuat seni kraf logam yang menggunakan elemen bagi menggambarkan suku kaum Dusun Tobilung dalam setiap hasil karya kreatifnya.
Dengan semangat untuk membangkitkan kesedaran tentang kekayaan warisan budaya, Jassica menggabungkan kecintaannya terhadap larian dengan kreativitinya.
Sedari kecil, wanita berusia 40 tahun itu mengagumi hasil kerja ibunya, Sainah Mading, yang juga seorang tukang jahit.
BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global
Jassica (kiri) menjadikan ibunya yang juga seorang tukang jahit sebagai inspirasi dalam hidupnya. — Instagram/jessboubie
“Saya masih dengan bangganya memakai pakaian tradisional Dusun Tobilung yang dijahit oleh ibu,” katanya.
Menyedari pentingnya mempromosikan komuniti Dusun Tobilung, wanita dari Penampang, Sabah tersebut kerap berbahasa dalam bahasa ibundanya semasa menghadiri wawancara meskipun di acara antarabangsa.
“Kami tidak ramai, kurang daripada 20,000 orang dan sangat sedikit yang mengetahui tentang budaya, makanan dan tradisi kami,” ujarnya.
Sebagai seorang ibu tunggal, larian telah menjadi sumber ketenangan mental bagi Jassica.
Mengakui pada asalnya dia bukanlah seorang atlet, namun pada tahun 2015, dia menemui kebahagiaan dalam sukan selepas mengharungi pelbagai cabaran dalam hidupnya.
Wanita ini menemukan kegembiraan yang tidak disangka-sangka ketika bersukan. — Instagram/jessboubie
“Saya bukan seorang atlet, bahkan tidak aktif di sekolah. Namun, tahun 2015 adalah titik mencabar dalam hidup, yang mana saya berdepan dengan beberapa masalah peribadi.
"Saya ingin dilihat dan didengari dan saya menemukan kegembiraan yang tidak disangka-sangka dalam sukan, hingga mengubah perspektif diri ini tentang dunia,” refleksi ibu tunggal yang telah menjadi pelari ultra maraton selama hampir satu dekad.
Sejak itu, Jassica aktif menyertai pelbagai perlumbaan jarak jauh merangkumi antara 50 kilometer (km) hingga 100km.
Antaranya termasuk di Sabah, Borneo Ultra Trail Marathon di Kiulu Valley dan The Most Beautiful Thing (TMBT) di Tamparuli, selain MesaStila Peak Challenge di Indonesia dan Asia Trail Master Championship di Thailand.
Jassica berharap lebih ramai wanita akan menceburi bidang pembuatan logam kerana ia adalah terapi untuk minda. — Instagram/jessboubie
'Buang angin'
Pada tahun sama,dia memutuskan untuk mendalami seni membuat perhiasan tembaga sebagai sumber pendapatan tambahan.
Di bawah bimbingan artis logam terkenal Sabah, Adam Kitingan, yang turut dikenali dengan gelaran Sang Tukang, Jassica mendalami kemahiran tersebut selama tiga bulan, malah dirinya juga nekad mahu memecahkan stereotaip gender.
Jassica menyatakan bahawa pertukangan logam adalah bidang yang secara tradisinya didominasi oleh lelaki.
Tanpa menghiraukan stereotaip gender, wanita berkenaan sepenuh hati menerokai seni kraf tersebut.
Setiap aksesori tembaga yang dihasilkan dengan teliti adalah bukti tekadnya Jassica untuk mencabar norma dan menolak persepsi bahawa pekerjaan itu hanya sesuai dilakukan golongan lelaki.
“Walaupun terdapat wanita lain yang belajar daripada Sang Tukang, kebanyakan mereka melakukannya hanya kerana minat dan tidak berniat untuk serius dalam industri ini.
"Sebagai pelopor wanita dalam pembuatan aksesori tembaga, saya berharap lebih ramai wanita akan menceburi bidang ini pada masa akan datang kerana ia adalah terapi untuk minda dan juga merupakan cara untuk menyokong diri sendiri,” ujarnya.
Jassica dalam misi untuk mengangkat warisan budayanya ke dalam seni karyanya. — Instagram/jessboubie
Ibu kepada tiga anak lelaki berusia antara 11 hingga 16 tahun itu juga percaya bahawa pembuatan logam berupaya membantu memelihara budaya warisan untuk generasi akan datang.
Sejak kecil, kata Jassica, dia diajar oleh ibu bapa tentang manfaat memakai perhiasan tembaga untuk kesihatan, kerana ia dikatakan dapat menyeimbangkan mineral dalam badan.
“Orang kampung sering kata ia membantu untuk ‘buang angin’. Yang lebih penting, tembaga adalah logam penting dalam budaya Dusun kerana ia berfungsi sebagai penghubung antara manusia dan roh di alam lain.
“Dalam dunia moden hari ini, adalah biasa bagi orang untuk menyesuaikan diri dengan cara-cara moden.
“Namun penyesuaian ini kadangkala boleh mengakibatkan kita kehilangan pengetahuan budaya yang penting, yang diwarisi daripada generasi tua ke muda,” tutur wanita yang dilahir dan dibesarkan di Kota Belud, Sabah itu.
Jassica berkata, kombinasi sukan dan seni membolehkan dirinya menjalani kehidupan penuh bermakna. — Instagram/jessboubie
Dia menambah, kegiatan membuat perhiasan daripada logam menawarkan ketenangan kepadanya, dalam masa sama turut menjadi platform untuk dirinya mengekspresikan emosi.
Sementara itu, berlari pula membantunya untuk kekal fokus dan menguruskan tekanan.
“Sebagai seorang atlet dalam sukan ekstrem ini, mengambil masa untuk mencipta perhiasan membawa jenis ketenangan yang berbeza,” jelasnya.
Berkongsi dengan lebih lanjut, Jassica mengakui berbangga melihat kebanyakan aksesorinya diilhamkan oleh motif tradisional Sabah, terutamanya daripada komuniti Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR).
Kebanyakan aksesorinya diilhamkan oleh motif tradisional Sabah, terutamanya daripada komuniti KDMR. — Instagram/jessboubie
Dia juga menggabungkan reka bentuk yang lebih kontemporari bagi menarik minat generasi muda memakai aksesori berkenaan.
Harga permulaan untuk aksesori tembaganya adalah RM30 dan kebanyakan ciptaannya turut dikongsikan menerusi laman Instagram, jessboubie.
“Saya tidak pernah menyangka hobi ini akan menarik minat begitu ramai orang.
“Ia bermula sebagai saluran terapi peribadi, namun kini menjadi satu inisiatif untuk berhubung dengan komuniti secara lebih meluas, termasuk pelari maraton dan peminat seni,” kongsi anak kedua daripada lapan beradik itu.
Proses itu pastinya memakan masa dan sepanjang perjalanan, individu kreatif ini terpaksa menanggung banyak luka dan calar pada tangan dan tapak tangannya akibat bekerja dengan alat seperti tukul, pahat dan penjepit.
Jassica melihat pertukangan logam sebagai hobi sambilan yang membawa kebahagiaan dan pendapatan tambahan. — Instagram/jessboubie
“Berhati-hati adalah sangat penting dalam pekerjaan ini kerana ia melibatkan logam panas, alat tajam dan api.
"Penting untuk memberi perhatian yang teliti bagi mengelakkan kemalangan,” kata Jassica, yang mengambil masa kira-kira dua jam untuk menyiapkan satu penyepit rambut tembaga.
Walaupun tuntutan tugas ini mencabar, Jassica melihat pertukangan logam sebagai hobi sambilan yang membawa kebahagiaan dan pendapatan tambahan.
Secara peribadi ujarnya, menceburi bidang tersebut secara ketara dapat membantu dalam menangani kesihatan mental, prestasi sukan dan cara dia menguruskan keluarganya.
"Cabaran utama saya adalah keletihan kerana saya masih mengamalkan cara tradisional dalam pembuatan dan prosesnya memakan masa.
“Selain itu, saya menghadapi cabaran dari segi pemasaran dalam talian untuk meyakinkan pembeli tentang kualiti produk buatan tangan saya,” jelas Jassica yang mula membuat tutorial melalui video dan dimuat naik di laman YouTube. — The Star/SHEELA CHANDRAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram