Inovasi resipi nenek, produk pisang sejuk beku suami isteri tembus pasaran Vietnam, China


  • Bizz
  • Isnin, 23 Sep 2024

Membesar bersama nenek di Rantau Abang, Terengganu, menyebabkan Juhaida sudah terbiasa menjual pisang goreng sejak berumur lima tahun lagi.

TIDAK dinafikan, jualan makanan boleh dikatakan antara bisnes yang mendapat permintaan tinggi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengambil peluang itu, Ketua Pegawai Operasi Pisango Sdn Bhd (Pisango), Juhaida Muda memutuskan untuk menjalankan perniagaan makanan.

Berkongsi kepada Majoriti, sebelum terjun ke dalam dunia makanan, usahawan berusia 43 tahun itu terlibat dalam penyelenggaraan kuarters kediaman untuk industri minyak dan gas, khususnya di pelantar minyak yang berpusat di Kemaman, Terengganu.

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global

WhatsApp Image 2024-09-22 at 12.26.19

Kios Pisango yang terletak di Setia Alam turut mendapat sambutan pengunjung.

Bagaimanapun ujarnya, penularan wabak Covid-19 menyebabkan banyak projek terpaksa dihentikan.

Bermula dari situlah, Juhaida bersama suaminya yang berperanan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pisango, Tunku Faris Tunku Khalil, 43, memerah idea untuk memastikan perniagaan mereka dapat bertahan dalam tempoh getir.

"Perancangan untuk membuka beberapa cabang bisnes sebenarnya sudah lama kami rancang, cuma belum ada kesempatan.

"Namun semasa PKP, kami lihat trend ketika itu, makanan menjadi antara perniagaan yang paling senang 'hidup'. Jadi di situ kami ambil peluang yang ada," katanya ketika ditemui di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kongsi anak kelahiran Dungun, Terengganu itu lagi, sewaktu mula-mula memikirkan idea makanan yang ingin dijual, pisang goreng nenek adalah yang terlintas di fikirannya.

Membesar bersama nenek di sebuah kampung dekat Rantau Abang, Dungun, Terengganu, menyebabkan dirinya sudah terbiasa membantu menjual pisang goreng sejak berumur lima tahun lagi.

"Pisang goreng sudah lama relevan dalam kalangan masyarakat, ia boleh dinikmati semua golongan tanpa mengira status umur dan tahap ekonomi.

"Saya memutuskan untuk menjual pisang goreng sahaja, tetapi saya nak naikkan makanan ini ke satu tahap yang lebih tinggi tanpa mengganggu pasaran peniaga kecil di kampung," ujar lulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.

WhatsApp Image 2024-09-22 at 12.26.19 (3)

Syarikat itu menjalinkan kerjasama dengan peladang tempatan untuk membekalkan pisang kepada mereka.

Pisango dihasilkan menggunakan konsep resipi tradisional orang kampung, dengan sedikit modifikasi dan inovasi moden untuk menjadikannya berbeza daripada yang lain.

"Saya cuba ingat semula resipi yang nenek buat. Cara kampung biasanya kita akan guna bancuhan telur itik, tapi untuk mengelakkan isu bekalan tidak mencukupi, jadi saya buat inovasi supaya tidak perlu pakai telur," ujar ibu kepada tujuh cahaya mata itu.

Produk berasaskan pisang

Pisango menjalankan perniagaan pemprosesan makanan berasaskan pisang menggunakan konsep produk sejuk beku dan kerepek pisang pelbagai rasa.

Syarikat yang beroperasi di Klang, Selangor itu bukan sahaja menjalankan perniagaan pemprosesan makanan berasaskan pisang, malah membuka dan menjualnya di kios sendiri, yang terletak di Meru, Klang; Setia Alam dan di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Kuala Lumpur.

Tidak hanya menawarkan pisang goreng, jenama yang dilancarkan pada November 2022 itu turut memperkenalkan produk berasaskan pisang sejuk beku seperti cekodok, donat dan jejari.

"Untuk cekodok dan donat kita guna pisang baka kacuk daripada beberapa jenis pisang yang diberi nama pisango.

"Sementara untuk pisang goreng dan jejari, kita guna pisang abu dan awak," kongsinya yang menjadikan ibu, Fatimah Awang, yang juga seorang peniaga makanan, sebagai idola dalam bisnes.

Lebih membanggakan, meskipun baru dua tahun menapak dalam industri, jenama makanan sejuk beku itu sudah boleh didapatkan di pasaran runcit seperti rangkaian Rosyam Mart, Richiamo Mart dan myNEWS.

Bagi Juhaida, berjaya menembusi rangkaian runcit berkenaan menjadi antara kejayaan terbesar buat mereka.

WhatsApp Image 2024-09-22 at 12.28.12

Juhaida (kiri) dan Tunku Faris bergambar di hadapan pejabat Pisango yang terletak di Klang, Selangor.

"Melihat produk tempatan seperti pisang goreng diterima oleh rangkaian besar seperti itu amat memuaskan hati.

"Sambutan yang diterima pelanggan juga sangat menggalakkan, terutamanya produk pisang goreng sejuk beku yang mendapat permintaan tinggi.

"Sementara itu, di kios pula kita ada menu tambahan seperti popia pisang atau melto, Pisango bites dan sambana iaitu pisang goreng yang dimakan bersama sambal (resipi dari Sabah dan Filipina)," jelasnya sambil memaklumkan mereka kini membuka peluang kepada orang ramai untuk menjalankan francais di bawah jenama Pisango.

Ditanya jumlah pengeluaran yang dihasilkan, anak keempat daripada tujuh beradik itu memberitahu, setiap hari mereka menghasilkan satu tan bersamaan 1,000 kilogram (kg) pisang merangkumi semua jenis produk.

"Saya menyasarkan untuk tempoh beberapa tahun lagi, kilang perlu menghasilkan kira-kira 17 tan produk pisang sehari untuk disalurkan ke kios, tidak termasuk rangkaian kedai runcit," katanya.

Berbicara lebih lanjut, Juhaida menjelaskan, buat masa ini, cabaran utama mereka adalah kekangan dari segi mendapatkan sumber tenaga kerja, terutama golongan muda yang kurang berminat untuk terlibat dalam kerja-kerja berat seperti memproses bahan mentah.

"Golongan muda sekarang saya dapati mereka agak memilih pekerjaan. Di kilang saya sendiri, ada staf yang masuk kerja hanya setengah hari sahaja, kemudian hilang (berhenti). Mungkin mereka tak biasa dengan kerja macam ini," katanya yang turut aktif mempromosikan Pisango menerusi aplikasi TikTok, PISANGO.

WhatsApp Image 2024-09-22 at 16.56.51

Tunku Faris ketika mempromosikan Pisango di Pameran Pertanian Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) edisi 2024 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

Usahawan itu turut memberitahu bahawa pihaknya dalam perancangan untuk membuka lebih banyak kios dan francais bagi mereka yang berminat untuk berkongsi kejayaan bersama.

Meskipun baru setahun jagung, jenama Pisango sudah mula melebarkan sayap ke pasaran global, dengan Vietnam sebagai percubaan pertama.

"Kami berharap agar kejayaan ini terus berkembang ke pasaran Thailand dan negara-negara lain," ujarnya sambil memberitahu mereka akan berangkat ke Nanning, China dalam masa terdekat untuk mengembangkan produk.

Ditanya sama ada mereka menghadapi kekangan dalam mendapatkan bekalan pisang, Juhaida berkata, Pisango Sdn Bhd turut menjalinkan kerjasama dengan peladang tempatan seperti di Rawang dan Kedah untuk memajak pisang mereka dan dijual kepada syarikatnya.

"Buat masa ini memang tidak ada masalah untuk mendapatkan bekalan pisang.

"Kami juga mengalu-alukan peladang yang ada tanah untuk kami bekalkan benih pokok pisang kepada mereka. Pisang tersebut kemudian akan dijual kepada kami," jelasnya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram