Sanggup berguru di serata Kedah, Mohd Rizal kekalkan identiti budaya Melayu dalam bisnes kopi di Sungai Petani


  • Bizz
  • Selasa, 24 Sep 2024

Minat dalam bidang F&B membawa Mohd Rizal mengorak langkah, sedikit demi sedikit bagi merealisasikan impiannya untuk membuka bisnes.

KONSEP unik menggabungkan elemen kemelayuan dan estetik vintaj berjaya menarik perhatian pengunjung untuk singgah ke kedai yang diberi nama Kafe Kek dan Kopi.

Menampilkan tulisan Jawi pada papan tanda sebagai satu inisiatif untuk pemiliknya, Mohd Rizal Mohd Radzi, 35, menonjolkan identiti Melayu lama, dengan sentuhan kreativiti tersendiri.

"Huruf K pada ejaan Kafe Kek dan Kopi digantikan dengan huruf kaf (tulisan jawi), bagi menampilkan elemen kemelayuan tersebut.

"Saya memang mahukan rekaan sebegitu kerana jiwa Melayu menebal dalam diri saya, dalam masa sama kita nak nampakkan kelainan di situ," katanya ketika dihubungi Majoriti.

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

BACA LAGI: Dari mekanik jadi tauke kopi terkemuka, Muhamad Zamry mahu Richiamo Coffee tembusi pasaran antarabangsa

WhatsApp Image 2024-09-22 at 22.09.40 (1)

Siti Nurdiana membantu suaminya menyediakan air kopi di kedai mereka.

Beroperasi di Laman Selera Penghulu Him, Sungai Petani, Kedah, kedai yang dibuka setiap hari bermula pukul 3 petang hingga 10 malam itu diusahakan Mohd Rizal bersama isteri tercinta, Siti Nurdiana Ahmad, 34, sejak 4 Mei lalu.

Minat dalam bidang makanan dan minuman (F&B) membawa pengurus cawangan di sebuah syarikat tarikan pelancongan di Padang Kota, Pulau Pinang itu mengorak langkah, sedikit demi sedikit bagi merealisasikan impiannya.

Tidak seperti peniaga lain, Mohd Rizal mengambil pendekatan enggan tergesa-gesa dalam meraih populariti, sebaliknya menambah baik kualiti menjadi keutamaan anak kelahiran Kota Kuala Muda, Kedah itu.

"Saya tak mahu kedai saya tiba-tiba tular, tetapi kualiti hidangan 'out'.

"Sebab itu kami nak pastikan kualiti yang ditawarkan kepada pelanggan adalah baik kerana kualiti lebih penting berbanding kuantiti," tegasnya.

Meskipun sambutan yang diterima pada awal pembukaan agar perlahan, namun usaha dan semangat keusahawanan yang menebal dalam diri bapa kepada sepasang cahaya mata itu membuahkan hasil, apabila perniagaannya kini berada dalam keadaan stabil, dengan keuntungan bersih mula mencecah sebanyak RM500 sebulan.

WhatsApp Image 2024-09-22 at 19.03.23

Kafe Kek dan Kopi beroperasi di Laman Selera Penghulu Him, Sungai Petani, Kedah, sejak lima bulan lalu.

Bagai cendawan tumbuh

Bercerita lebih lanjut, Mohd Rizal berkata, sebelum terjun ke dunia F&B, dia terlebih dahulu menjalankan bisnes pakaian terpakai di bazar sekitar Sungai Petani dan secara dalam talian selama tiga tahun.

Bagaimanapun, bisnes tersebut mengalami kemerosotan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menyebabkan anak ketujuh daripada lapan beradik itu akhirnya memutuskan untuk beralih fokus kepada minatnya dalam F&B.

Meskipun masih bekerja sepenuh masa sebagai pengurus cawangan, pemegang Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial di Universiti Sains Malaysia (USM) ini cekal membahagikan masa untuk melaksanakan tugas hakiki, di samping mengembangkan bisnesnya.

Tidak dinafikan, berniaga aneka jenis kopi di negeri Jelapang Padi, tidaklah mudah.

Apatah lagi, perniagaan kopi atau kafe kecil-kecilan di Kedah mulai tumbuh bagaikan cendawan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Namun, realiti itu sama sekali tidak menjatuhkan semangat Mohd Rizal untuk meneruskan minatnya menerokai dunia pembuatan kopi.

Untitled design (17)

Kedai milik Mohd Rizal turut menawarkan pelbagai jenis waffle.

"Saya mula belajar selok-belok proses pembikinan kopi serta memulakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di rumah, termasuk cara menghasilkan kek dan waffle, sebelum membuka kedai.

"Saya ambil masa kira-kira sebulan untuk belajar jenis-jenis kopi yang ada dan cara pembuatan, termasuk langkah mengendalikan mesin kopi.

"Selain internet, sehingga sekarang saya menggagahkan diri untuk mendalami ilmu daripada penjual-penjual kopi di serata Kedah, untuk meluaskan lagi pengalaman dalam industri yang semakin meningkat naik ini," katanya.

Kongsi usahawan ini lagi, dalam menghadapi persaingan dunia kopi yang semakin sengit, dia cuba mencipta kelainan melalui pendekatan unik terhadap penyediaan kopi yang 'kaw'.

Mohd Rizal menekankan bahawa kualiti dan rasa asli kopi menjadi faktor utama yang membezakan kedainya berbanding jenama tempatan lain.

"Terdapat banyak jenama kopi di pasaran yang berasal dari pelbagai negara termasuk cara panggangan yang tersendiri. Namun saya memilih kopi dari Brazil dengan tahap panggang sederhana untuk mendapatkan satu rasa dan aroma kuat serta sesuai untuk penggemar kopi di Malaysia khususnya," ujarnya sambil memberitahu modal yang dikeluarkan untuk memulakan bisnes tersebut adalah sebanyak RM5,000 termasuk membeli mesin kopi.

WhatsApp Image 2024-09-23 at 14.04.10 (1)

Mohd Rizal menampilkan tulisan Jawi pada papan tanda sebagai satu cara untuk menonjolkan identiti Melayu lama.

Mohd Rizal bagaimanapun tidak hanya bergantung pada kuantiti espreso semata-mata, tetapi turut menitikberatkan penjagaan kualiti dan rasa.

"Kopi tidak boleh masam, ia mesti ada rasa pahit, tapi pahit yang sedap dan boleh diterima oleh tekak pelanggan. Kalau pahitnya sampai ada rasa masam, itu dah kira salah teknik penyediaan.

"Kita tidak mahulah jual kopi tapi tak tahu apa-apa tentangnya," tambahnya sambil memberitahu kedainya turut menawarkan pelbagai jenis waffle seperti waffle aiskrim dan waffle sosej, yang kini menjadi antara menu paling hangat.

Sebagai usahawan yang berpandangan jauh, Mohd Rizal menyuarakan keyakinan bahawa pendekatan yang perlahan tetapi mantap adalah kunci kejayaan dalam bisnes, khususnya sektor F&B yang kompetitif.

"Bisnes ini bukan sekadar menjual kopi, tetapi juga menghidupkan semula jiwa Melayu dan mempersembahkannya kepada generasi moden.

"Besar harapan saya agar dapat mencipta nama sebagai usahawan kopi tempatan yang berjaya, sambil mengekalkan identiti budaya dalam setiap langkah perniagaan," akhirinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram