Hanya 12 keluarga di Belgium setia teruskan tradisi 700 tahun nelayan berkuda di Laut Utara


  • Bizz
  • Selasa, 24 Sep 2024

Debruyne memasuki perairan Laut Utara bersama kudanya, Kelly. — Agensi

SETIAP pagi pada Julai, kedengaran bunyi tapak kuda milik Gregory Debruyne, Kelly, yang berlari melalui lorong-lorong hijau di Oostduinkerke di barat pesisir pantai Belgium, Eropah Barat.

Kelihatan Kelly sedang menarik sebuah kenderaan yang dipenuhi dengan peralatan menangkap udang, dengan Debruyne duduk di atasnya.

Destinasi dituju semestinya ke pantai berpasir di Laut Utara untuk menangkap udang.

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global

WhatsApp Image 2024-09-23 at 02.10.36 (6)

Aktiviti menangkap udang dengan menunggang kuda di Oostduinkerke menarik minat pelancong dari dalam dan luar Belgium, terutamanya semasa musim panas. — Agensi

Tahukah anda? Di bandar tersebut, wujud satu tradisi unik yang digunakan nelayan untuk memperoleh hasil laut.

Menangkap udang menggunakan kuda, dan Debruyne ialah salah seorang daripada mereka.

Berabad-abad lamanya tradisi itu tetap sahaja diteruskan. Berbanding bot, penduduk masih akan turun ke laut dengan kuda untuk menangkap udang.

Penangkapan udang di situ biasanya dilakukan pada musim panas, yakni April hingga Oktober, apabila tiada ais di laut.

Apabila air laut mulai surut, nelayan akan turun menggunakan kuda mereka selama satu atau dua jam sebelum air surut sepenuhnya.

"Saya belajar menangkap udang dengan kuda daripada ayah ketika berumur 11 tahun," kata Debruyne yang kini berusia 27 tahun, kepada Al Jazeera, sambil mempersiapkan Kelly untuk memancing berhampiran laut.

Berpuluh-puluh pelancong berkumpul di sekeliling mereka, dengan penuh minat memerhati Debruyne menyelimuti Kelly dengan selimut hangat dan memasang dua bakul coklat di kedua-dua sisi belakangnya. Dia juga mengikat jaring berantai pada ekor haiwan itu.

WhatsApp Image 2024-09-23 at 02.10.36 (5)

D’Hulster berkata, mengamalkan tradisi itu membuatkan dirinya seolah-olah 'raja dunia'. — Agensi

“Dengan menggunakan kekuatan belakangnya, Kelly akan meredah ombak cetek Laut Utara sehingga air laut sampai ke dadanya, menarik jaring yang mempunyai rantai di bahagian bawahnya.

"Tarikan itu menghasilkan getaran di perairan cetek yang menyebabkan udang akan melompat ke dalam jaring,” jelas Debruyne.

Empat lagi nelayan dan kuda mereka turut menyertai Kelly dan Debruyne di kampung, pada ketika itu.

Semua nelayan udang berkuda mengenakan jaket kuning terang kalis air dan but getah hitam, menuju ke Laut Utara dengan kuda masing-masing.

"Saya harap dapat kembali selepas kira-kira satu jam dengan tangkapan yang memadai," jerit Debruyne ketika penonton melihat dia dan Kelly menuju ke laut.

Sejak Disember 2013, penangkapan udang berkuda di Oostduinkerke telah disenaraikan oleh Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Warisan Budaya Kemanusiaan kerana penghormatannya terhadap persekitaran laut dan nilai kebudayaan kepada masyarakat setempat.

Walaupun ia juga diamalkan di Belanda, Perancis dan sebahagian England Selatan, hanya 12 keluarga di Belgium yang masih meneruskan tradisi tersebut.

WhatsApp Image 2024-09-23 at 02.10.36

Pemancing udang menunggang kuda mengharungi perairan Laut Utara. — Agensi

Pada tahun 1502, terdapat sebuah biara di Koksijde (kini di Belgium) dan para rahib memerlukan udang dan ikan untuk dimakan.

Permintaan itu dengan senang hati dipenuhi oleh masyarakat setempat.

“Petani tempatan yang memiliki kuda memutuskan pergi ke laut dan menangkap udang serta ikan untuk diberikan kepada rahib.

"Ini adalah permulaan kepada amalan memancing udang berkuda,” jelas Eddy D’Hulster, yang menjadi nelayan udang berkuda selama 56 tahun.

Dalam era ini, nelayan udang berkuda seperti Debruyne juga terpaksa bekerja di kapal untuk menampung kehidupan. Di atas kapal, mereka turut menangkap ikan lain selain udang.

D’Hulster sendiri pernah bekerja sebagai nelayan di kapal, tetapi dia lebih suka menangkap udang dengan berkuda kerana percaya udang coklat dari Laut Utara lebih sedap rasanya.

WhatsApp Image 2024-09-23 at 02.10.36 (4)

Debruyne memunggah hasil tangkapannya setelah selesai memancing di Laut Utara. — Agensi

Kisah cinta

Mengenakan topi biru laut dengan simbol seorang nelayan udang berkuda, D’Hulster yang berusia 81 tahun memerhatikan jaket kalis air kuning terang yang dipakai oleh Debruyne dan nelayan-nelayan lain bersama kuda mereka di laut, sambil mengenang kembali pengalaman kali pertama dia menangkap udang dengan cara sedemikian.

Sambil tertawa kecil, D’Hulster membuka cerita, kuasa cinta membuatkan dirinya mulai terjebak dengan aktiviti menangkap udang menggunakan berkuda.

"Saya bertemu seorang gadis cantik di kampung dan mendapat tahu bahawa ayahnya adalah seorang nelayan udang berkuda.

"Saya mula belajar tradisi tersebut daripada bapanya ketika berusia kira-kira 18 tahun, dengan tujuan untuk memikat hati si anak, hingga tidak lama kemudian kami pun berkahwin," ceritanya tersipu malu.

Ini juga, kata D’Hulster, adalah permulaan kepada kisah cinta yang lebih besar dalam hidupnya, yang membuatkan dirinya serasa seperti raja dunia, iaitu menangkap udang dengan berkuda!

WhatsApp Image 2024-09-23 at 02.10.36 (3)

Debruyne, ketika mempersiapkan Kelly untuk sesi memancing di pinggir Oostduinkerke, Belgium. — Agensi

Udang yang ditangkap oleh nelayan di Laut Utara berwarna kelabu coklat yang dipanggil udang coklat.

Mereka hanya boleh ditemukan di perairan laut cetek dan rakyat Belgium menganggapnya sebagai udang paling sedap di dunia kerana rasa manis dan masinnya.

"Ketika saya mula memancing, ia adalah permulaan musim bunga dan Laut Utara ketika itu dipenuhi dengan udang coklat.

"Dengan meredah ombak cetek di laut, kami dengan mudah menangkap sekitar 20 hingga 30 kilogram (kg) udang dan mencari nafkah melalui tradisi ini," ujarnya.

Walaupun hasil tangkapan dan wang yang diperoleh boleh menjadi pendorong untuk golongan muda di Oostduinkerke menangkap udang dengan berkuda, jelas D'Hulster, cinta kepada kuda dan lautan juga berjaya menarik minat masyarakat mengekalkan tradisi itu.

Akuinya, sebagai nelayan berkuda, perlu ada semangat untuk belajar mencintai kuda dan laut.

"Ketika mula memancing, perkara yang paling saya sukai adalah kuda saya, Mina. Dia berumur kira-kira 10 tahun yang saya beli daripada bapa mertua. Kami belajar menangkap udang bersama," katanya.

Mina mati ketika berumur 20 tahun dan D'Hulster memerlukan enam bulan untuk melatih seekor kuda lain untuk memancing.

"Mina mengajar saya untuk mencintai laut. Saya merinduinya, tetapi keluarga saya kini memiliki sekitar 10 hingga 20 ekor kuda yang dilatih untuk memancing di laut," kongsi D’Hulster.

Oktober adalah musim memancing, yang mana hampir setiap hari mereka akan turun ke laut.

Mereka biasanya menangkap sekitar lima hingga enam kilogram udang, yang kemudian dimasak dan dijual kepada rakan-rakan serta keluarga.

WhatsApp Image 2024-09-23 at 02.10.36 (2)

Peralatan memancing dibilas di perairan Laut Utara di Oostduinkerke, Belgium. — Agensi

"Udang ini hanya tahan sekitar dua hari dan perlu dimakan segera.

"Oleh kerana hasil tangkapan tidak banyak, kami tidak menjualnya di pasaran. Bertahun-tahun dahulu, anda boleh menangkap 30kg dan memperoleh pendapatan daripadanya, namun hari ini ia hanya untuk pelancongan," tambah Debruyne.

Kedudukan berhampiran dengan laut membuatkan mereka memikirkan tentang bagaimana perubahan iklim boleh menjejaskan ekosistem Laut Utara, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap masa depan memancing udang.

"Populasi udang semakin berkurangan. Jika kami mula menangkap kurang daripada tiga kg udang, saya tidak pasti bagaimana kami akan terus memancing.

"Mungkin kami akan menjadi nelayan berkuda yang menangkap spesies ikan lain," katanya.

Hari ini menyaksikan nelayan udang berkuda tidak dapat bergantung sepenuhnya pada pendapatan daripada hasil menangkap udang berkuda.

Mereka bekerja di kapal komersial, terlibat dalam perniagaan pembinaan atau sektor pertanian pada hari-hari lain.

"Saya membeli Kelly dengan harga yang mahal iaitu sekitar 3,000 euro (lebih RM14,000) di Brussels, selain itu penjagaannya juga memerlukan wang yang banyak

"Dengan memancing udang berkuda, saya hanya boleh memperoleh sekitar 100 euro (RM469) sehari. Tetapi saya bukan sahaja sayang kepada kuda, malah aktiviti menangkap udang.

"Jadi, saya tidak kisah melakukan pekerjaan lain untuk menyokong minat saya bagi meneruskan tradisi ini," tuturnya.

WhatsApp Image 2024-09-23 at 02.10.36 (1)

Sekumpulan pengunjung menyaksikan Debruyne ketika dia membawa masuk jaring ikan dari air di Oostduinkerke. — Agensi

Perubahan iklim

Perubahan iklim turut menyumbang pada penurunan jumlah udang di kawasan berkenaan, menurut pakar.

Menurut Agensi Alam Sekitar Eropah pula, Belgium mengalami gelombang haba selama beberapa tahun kebelakangan ini, dan suhu permukaan Laut Utara meningkat sekitar 0.3 darjah Celsius setiap dekad sejak tahun 1991.

Saintis perikanan dan pengarah sains di Institut Pertanian, Perikanan dan Penyelidikan Makanan (ILVO) di Oostende, Belgium, Hans Polet menjelaskan, perubahan iklim dan populasi pemangsa semula jadi udang di Laut Utara telah menjejaskan populasi udang secara keseluruhan. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram