'Dialah pengasas, dialah promoter,' gadis asal Kedah tolak rasa malu turun padang ke pasar raya, sekolah promosi produk minuman sendiri


  • Bizz
  • Ahad, 22 Sep 2024

Nurfatin Diana komited turun padang untuk melakukan promosi jenama minuman Origina di karnival, pasar raya mahupun sekolah. — Instagram/fatindianaa

DIDEDAHKAN dengan selok-belok dunia perniagaan sedari kecil membolehkan Nurfatin Diana Mohd Zain memberikan fokus 100 peratus terhadap perniagaan minuman Origina yang dikendalikan kira-kira lapan tahun lalu.

Berdedikasi dalam membangunkan empayar perniagaan sendiri, pengasas berusia 30 tahun itu tidak malu bermula dari bawah sebagai promoter semata-mata untuk mempromosikan jenama produknya itu.

Mengimbau kembali lapan tahun lalu, usahawan itu mengakui jenama minuman Origina tidak begitu dikenali, jadi dirinya perlu mengetepikan soal malu, sebaliknya komited turun padang untuk melakukan promosi di karnival, pasar raya mahupun sekolah.

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global

“Tanpa pasukan kerja yang kuat ketika itu saya memberi idea kepada ayah, Ir Mohd Zain Harun supaya mempromosi produk ini di peringkat sekolah di Shah Alam, Selangor. Alhamdullilah, kami berjaya menembusi kira-kira 1,000 buah sekolah.

“Bukan itu sahaja, saya juga pernah menjadi eksekutif jualan ketika produk Origina menyertai pameran makanan dan minuman di Dubai, Amsterdam, Rusia dan Vietnam.

"Lagipun, semasa melanjutkan pengajian di Australia saya sentiasa berkongsi input bersama ayah dari semasa ke semasa,” kata anak sulung daripada dua beradik itu.

Snapinsta.app_420591940_18310736095135828_934177896239726317_n_1080

Origina mencetuskan fenomena sebagai minuman dalam pouches. Instagram/origina_hq

Ibarat tunjang penggerak jenama, Nurfatin Diana sentiasa mengekalkan prinsip workaholic bagi memastikan visi perniagaannya membuahkan hasil dan direalisasikan sesuai rencana.

Usahawan berasal dari Kedah dan dibesarkan di Selangor itu menjelaskan bahawa beliau juga meneruskan legasi perniagaan keluarga di bawah syarikat PS Food & Beverage Sdn Bhd, di Klang, Selangor.

Bicaranya, perniagaan jenama Origina kini dikemudi sepenuhnya oleh beliau bersama ibu tersayang.

“Bukan mudah membangunkan jenama yang masih dianggap hijau. Tapi percaturan-NYA dan sokongan ibu bapa sehingga hari ini telah membuahkan hasil.

“Jika dulu Origina di bawah kawalan ayah berkonsepkan Business To Business (B2B). Namun begitu, sejak saya ambil alih ia berubah menjadi Business To Consumer (BTC).

“Kini ayah fokus dalam urusan pengilangan dan kualiti produk, sementelah saya pula berdiri posisi hadapan menguatkan jenama,” tuturnya.

Meneruskan cerita, graduan Sarjana Muda Bidang Perniagaan dan Pengkhususan Dalam Pengurusan serta Pemasaran dari Universiti Monash di Melbourne, Australia itu menambah, pada fasa awal, bapanya bertindak sebagai perintis dalam memperkenalkan produk minuman di dalam pek kantung (pouches).

Snapinsta.app_265288715_1536850349989409_5143137436759943201_n_1080

Perniagaan jenama Origina kini dikemudi sepenuhnya oleh Nurfatin Diana (duduk kiri) bersama ibu tersayang. Instagram/fatindianaa

Sebelum ini kitarannya daripada pembekal kepada pelbagai jenama antarabangsa, sehingga Origina mencetuskan fenomena sebagai minuman dalam pouches.

“Kemudian, saya lakukan rombakan dan penjenamaan semula. Bahkan, tahun 2019 buat kali pertama kami memperkenalkan konsep duta dengan melantik selebriti, Remy Ishak.

“Impaknya jenama semakin dikenali secara meluas. Pun demikian, kontrak bersama Remy kini sudah tamat,” ujarnya lanjut.

Katanya, bagi strategi pemasaran jenama dirinya selesa mengambil pendekatan merendah diri, namun seiring peredaran semasa beliau optimis untuk lebih ke depan.

Akui Nurfatin Diana, bagi kaedah pemasaran beliau sebaik-baiknya mahu mengelak sebarang kontroversi atau menayangkan kemewahan harta benda.

“Mungkin cara dibesarkan membuatkan saya lebih fokus kepada perkara diingini berbanding hal lain seperti media sosial. Matlamat utama hanya ingin melihat bisnes diusahakan terbang tinggi.

“Kadangkala dek terlalu sibuk saya tiada masa kemas kini entri gambar atau video di akaun media sosial. Ralit kerja saja,” jelasnya yang pernah dianugerahkan sebagai 100 Top Young CEO 2021 di Malaysia, anjuran IKON Malaysia.

Snapinsta.app_258873783_2643907749088164_8881612304400424067_n_1080

Nurfatin Diana dianugerahkan sebagai 100 Top Young CEO 2021 di Malaysia. Instagram/fatindianaa

Ingat pesan Tun M

Kini minuman itu diedarkan di lebih 20,000 outlet seluruh negara sehingga menjadi jenama minuman dipercayai baik dalam kalangan pengguna tempatan mahupun di beberapa negara Asia Tenggara.

Ditanya pengalaman manis sepanjang berada dalam landasan perniagaan, Nurfatin Diana menzahirkan bahawa kunjungan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke kilang PS Poly Pack Sdn Bhd dan PS Food & Beverage Sdn Bhd, adalah momen terbaik terpahat dalam memori.

“Saya membesar dengan melihat ketokohan dan kepimpinan Tun M yang dikenali sebagai Bapa Pemodenan susulan kejayaan mengubah Malaysia dari negara pertanian kepada perindustrian moden.

“Tentunya kenangan indah bersua muka atas kunjungan hormat itu satu detik berharga yang saya tidak akan lupa sampai bila-bila,” ujarnya.

Kongsinya lagi, syarikat minuman Origina juga pernah menjadi penaja bagi TM Piala Malaysia 2022 dan Liga Malaysia 2023.

“Origina dihasilkan untuk menghilangkan dahaga yang sesuai dinikmati untuk kanak-kanak hingga ke dewasa.

“Ia menjadi minuman ideal dalam membantu memberi kesegaran bukan sahaja kepada pemain bola sepak, malah atlet negara yang komited menjalani latihan intensif dalam meningkatkan tahap prestasi permainan mereka,” katanya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram