GELAK tawa dan keriangan mengiringi Siti Nurul Liyana Mohamud usai menerima sijil dalam sulaman kelingkan, menerusi Projek The Silver Lining (TSLP) anjuran Majlis Kraf Malaysia yang dibiayai bersama oleh Yayasan Hasanah Khazanah Nasional dan Kementerian Kewangan di Kuala Lumpur, pada November tahun lalu.
Bersama empat lagi rakan sekelas di bengkel berkenaan, gadis berusia 23 tahun itu dengan gembira mengambil gambar swafoto dan swafoto bersama guru mereka, Nik Marhammah Nik Megat, 51.
Nik Marhammah dan ibu saudaranya, Nik Rahimah Nik Idris, 83, yang merupakan bekas tukang jahit diraja untuk Istana Balai Besar di Kota Bharu, Kelantan, adalah satu-satunya pembuat kelingkan yang masih ada untuk memastikan warisan paling berharga itu masih terus tersemai.
Siti Nurul Liyana (dua dari kiri) dan rakan-rakan sekelasnya di bengkel bergambar bersama guru mereka, Nik Marhammah (tengah). — Amirul Muhammad
Siti Nurul Liyana yang berasal dari Kubang Pasu di Kelantan, menghadiri kursus latihan kelingkan selama enam bulan di rumah Nik Marhammah di Kampung Taman Uda Murni, Kota Bharu.
"Saya sangat gembira kerana berjaya menamatkan kursus ini. Selepas tamat tingkatan lima, saya melakukan pelbagai pekerjaan antaranya sebagai pencuci, pembantu di kilang biskut dan kerja-kerja kecil di kampung.
"Namun saya hanya boleh meraih pendapatan antara RM500 hingga RM1,000 sebulan.
"Sekarang setelah mempelajari kraf ini, saya dapat meningkatkan hasil pendapatan, tetapi lebih penting, saya juga mampu memelihara tradisi yang semakin pudar," katanya selepas selesai majlis graduasinya di Kuala Lumpur.
Salah satu matlamat TSLP adalah untuk memelihara kraf warisan di Kelantan, terutamanya kelingkan dan tenunan songket.
Akui Siti Nurul Liyana, mempelajari kemahiran baharu amat penting kerana ia boleh membuka lebih banyak peluang untuk seseorang memulakan perniagaan dari rumah suatu hari nanti.
Kelingkan yang dihiasi dengan benang logam emas sering digayakan oleh kenamaan, kerabat dan bangsawan di Kelantan.
Dengan mempelajari kemahiran kelingkan, dia berharap dapat memperbaiki kehidupan dirinya dan insan tersayang.
"Saya bimbang akan masa depan dan (saya juga) sering tertanya-tanya bagaimana diri ini boleh menambah baik keadaan kewangan?
"Saya selalu berminat dalam kraf terutama jahitan dan sulaman, jadi apabila ditawarkan peluang untuk menyertai TSLP, saya rebut peluang itu untuk memperoleh kemahiran baharu ini.
"Sekarang, saya dapat melihat masa depan yang lebih baik untuk diri saya," jelas anak bongsu daripada dua beradik itu lagi.
Nik Marhammah dalam pada itu juga mengakui berbangga melihat perkembangan Siti Nurul Liyana, selain turut memuji bakat dan semangat anak muda tersebut terhadap sulaman tradisi Melayu kelingkan.
Menggambarkan anak didiknya sebagai seorang yang berdedikasi, rajin dan kreatif, sifatnya yang cepat 'tangkap' membuatkan proses pengajaran itu menjadi lebih mudah.
"Jahitannya juga kemas. Jika dia mengekalkan semangat ini, dia akan menjadi salah seorang daripada segelintir penenun kraf warisan tradisi kita," tambahnya.
Kelingkan adalah sejenis sulaman yang mana jalur benang logam dijahit pada kain atau selendang seperti sutera, voile dan satin.
Kurang tukang sulam mahir
Kelingkan adalah sejenis sulaman yang mana jalur benang logam dijahit pada kain atau selendang seperti sutera, voile dan satin.
Di Sarawak, ia juga dikenali sebagai keringkam. Pada masa lalu, sulaman tangan ini dipakai oleh golongan diraja dan bangsawan Melayu.
Pahit untuk ditelan, namun realitinya, kelingkan kini berdepan cabaran dari segi kekurangan tukang sulam yang mahir, ditambah kos pengeluaran yang tinggi dan permintaan yang terhad.
Kekurangan bahan rujukan dan dokumentasi tentang seni berkenaan juga menyumbang kepada faktor yang menyebabkan penerokaannya dalam kalangan generasi muda semakin pudar.
Berdasarkan kertas penyelidikan 2022 berjudul Warisan Seni Sulaman Kelingkan di Malaysia: Sejarah dan Perkembangan, yang diterbitkan dalam Jurnal Antarabangsa Penyelidikan Akademik dalam Perniagaan dan Sains Sosial, hanya tiga negeri, yakni Sarawak, Selangor dan Kelantan yang masih mempunyai tukang sulam yang aktif membuat kelingkan.
Walaupun mahal dan memakan masa untuk dipelajari, Nik Marhammah percaya terhadap nilai budaya dan artistik sulaman kelingkannya.
Peluang keusahawanan
Siti Nurul Liyana telah memulakan perjalanan dalam bidang keusahawanannya, setelah menerima beberapa pesanan untuk selendang kelingkan hasil sulamannya.
Dia mengakui bahawa membuat kelingkan adakalanya meletihkan kerana ia memakan masa yang agak lama.
Kongsi usahawan itu lagi, dia mengambil masa kira-kira sebulan untuk menyiapkan satu selendang yang dijual dengan harga sekitar RM1,000.
Dia juga sering mengalami kesakitan di bahu dan berasa tidak selesa selepas sesi sulaman yang panjang.
"Leher saya sering sakit selepas sehari menghabiskan masa menyulam. Secara purata, saya hanya dapat meluangkan masa empat hingga lima jam sehari untuk menyulam kelingkan kerana ia juga memberi tekanan pada mata.
"Walaupun mencabar, saya merasai kepuasan yang mendalam setelah menyiapkan setiap projek. Saya menikmati keseluruhan proses menyulam barang-barang ini," tuturnya lanjut.
Nik Marhammah (kiri) dan ibu saudaranya Nik Rahimah merupakan tukang sulam kelingkan terakhir di Kelantan. — Amirul Muhammad
Penjaga warisan
Mengimbau perjalanan Nik Marhammah dalam industri kraf ini pula, katanya, beliau mendalami ilmu dalam sulaman kelingkan daripada ibu saudaranya ketika berusia 33 tahun.
Ceritanya lagi, beliau sebelum itu, sama sekali tidak berminat dengan kelingkan, malah menganggapnya satu pekerjaan yang rumit dan memakan masa.
"Saya mempunyai diploma dalam jurusan Reka Bentuk Fesyen di International Fesyen Traning Centre Kuala Lumpur dan pernah memiliki butik pakaian di Shah Alam yang diusahakan selama bertahun-tahun.
"Pada tahun 2007, saya melancong ke Kota Bharu untuk percutian singkat dan secara kebetulan, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) telah menganjurkan bengkel kelingkan, yang mana ibu saudara saya bertindak sebagai tenaga pengajar.
"Tiga pelajar mendaftar untuk kursus berkenaan, tetapi pada hari bengkel, dua pelajar menarik diri. Ibu saudara memujuk saya untuk menggantikan mereka. Namun pada mulanya, saya agak keberatan," kenang Nik Marhammah.
Penggiat seni sulaman itu tidak pernah menyangka dirinya akan dapat mempelajari kemahiran itu tetapi, yang lebih mengejutkan, beliau berjaya menguasai seni itu dalam tempoh masa yang singkat.
"Mungkin kerana darah seni kraf sudah mengalir dalam diri ini dan lama-kelamaan, saya mula menyukai kraf ini," ujarnya.
Cinta baharu terhadap kelingkan telah mengubah haluan hidup Nik Marhammah apabila beliau memutuskan untuk menutup butiknya dan berpindah ke Kota Bharu bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada kelingkan serta memulakan perniagaan jahitannya.
Kini beliau menghasilkan produk kelingkan rumit, yang biasanya memakan masa antara tiga minggu hingga sebulan untuk disiapkan, menggunakan benang logam yang diperolehnya dari Sarawak.
Nik Marhammah (kanan) berharap lebih ramai pelajar seperti Siti Nurul Liyana (kiri) dapat menceburi bidang sulaman kelingkan pada masa depan.
Kraf ini, kata Nik Marhammah, menuntut kesabaran dan penelitian yang tinggi dan bahan-bahannya juga mahal, katanya, kerana satu gulung benang emas berharga RM220.
Menyedari bahawa kelangsungan hidup kraf tersebut bergantung kepada kepakaran yang diturunkan, Nik Marhammah berhasrat ingin mewariskan ilmunya.
Jelasnya, beliau akan menyambut sesiapa sahaja yang berminat untuk belajar kelingkan dengan tangan terbuka demi memastikan teknik sulaman tradisional Melayu itu terus subur untuk generasi akan datang.
"Saya tidak memilih sesiapa untuk diajar. Saya ingin berkongsi kemahiran ini dengan seramai mungkin orang," ujarnya.
Dalam tempoh 15 tahun lalu, Nik Marhammah sudah menurunkan ilmu dan kemahirannya kepada 15 wanita, walaupun akuinya tidak semua orang berminat untuk mempelajarinya.
"Ramai yang terbantut (niat untuk belajar) disebabkan kos dan kerumitan kelingkan dan ramai yang lebih suka mencari pekerjaan dengan tawaran gaji lebih baik," kata beliau.
Nik Marhammah bagaimanapun menekankan kepentingan memelihara seni ini, terutamanya kerana dia dan ibu saudaranya juga tidak boleh terus mengajar buat selama-lamanya.
Wanita itu juga percaya kelingkan mempunyai nilai budaya dan artistik tersendiri biarpun dalam dunia moden hari ini.
Nik Marhammah berharap agar lebih ramai pelajar dapat menceburi bidang kelingkan pada masa hadapan, menghasilkan bukan sahaja selendang yang cantik tetapi juga produk lain, dan mungkin juga mengkomersialkan seni tradisional tersebut.
"Ia mengenai bagaimana kita nak mengekalkan legasi dan memastikan golongan muda menyedari kepentingan budaya kelingkan.
"Selain itu, kita juga mahu memberi peluang kepada wanita untuk memperoleh pendapatan hanya dengan bekerja dari rumah," katanya sebelum menutup bicara. — The Star/SHEELA CHANDRAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram