Dari mekanik jadi tauke kopi terkemuka, Muhamad Zamry mahu Richiamo Coffee tembusi pasaran antarabangsa


  • Bizz
  • Selasa, 06 Ogos 2024

Muhamad Zamry menzahirkan impian untuk meluaskan pasaran Richiamo Coffee sehingga ke peringkat antarabangsa. — Instagram/richiamocoffee

BERGELAR Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo Sdn Bhd, Muhamad Zamry Abu Samah menggalas tanggungjawab yang cukup besar pada bahunya.

Mengetuai lebih 1,000 kakitangan yang bertugas di seluruh 222 cawangan kedai kopi premium terkenal negara itu pastinya ia bukan satu tugas mudah.

Pun begitu, berbekalkan semangat untuk memberi kehidupan buat para pekerjanya, Muhamad Zamry nekad menyusun perancangan demi kesinambungan masa depan jenama Richiamo Coffee.

BACA LAGI: Selesai akad nikah, imam masjid minta pasangan tular urus nasab anak

BACA LAGI: Sanggup lupakan hobi kumpul setem, simpan emas jauh lebih lumayan

WhatsApp Image 2024-08-05 at 21.59.00

Muhamad Zamry Abu Samah

"Jujurnya, kehidupan saya dalam dunia bisnes bermula dari bawah. Saya mula makan gaji dengan kerjaya pertama sebagai junior mekanik di Hong Leong Yamaha Motor pada 1993, sejurus menamatkan pengajian di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra, Kedah.

"Sejak itu, saya terus memandang ke hadapan dan mula menapak satu demi satu tangga kejayaan dalam dunia permotoran termasuk jawatan terakhir sebagai Pengarah Urusan MV Agusta Malaysia Sdn. Bhd," katanya.

Ironinya, salah satu kelebihan lelaki berusia 53 tahun itu dalam meraih kejayaan adalah dek kemahirannya menguasai bahasa Mandarin dan Kantonis ketika bersaing dalam industri permotoran yang banyak dikuasai kaum Cina.

"Apa yang boleh saya katakan, komitmen sangat penting dalam mencapai kejayaan diimpikan. Bayangkan, dalam tempoh bekerja makan gaji, sijil sakit (MC) saya kurang 10 hari.

"Walaupun sakit, jika masih punya kudrat, saya tetap datang bekerja. Dalam erti kata lain, saya sentiasa komited melaksanakan tugas," ujar Muhamad Zamry lagi.

Justeru, tidak hairanlah beliau berjaya memenangi World Muslimpreneur Award bagi kategori Brand of The Year 2022 dan terbaharu, Malaysia Industri Award 2023 melalui jenama perniagaan Richiamo Coffee yang diasaskan sejak 2015 itu.

Menurut anak kelahiran Jelebu, Negeri Sembilan itu, dalam dunia perniagaan disiplin kewangan perlu kuat untuk memastikan keseimbangan kewangan syarikat. Disebabkan itulah ketika berlakunya pandemik Covid-19 yang berkuatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tiada seorang pun pekerja Richiamo Coffee dibuang kerja walaupun perniagaan agak terjejas.

Snapinsta.app_295068613_1172243750038186_7115466080563330586_n_1080

Richiamo Coffee kini menjadi antara jenama paling digemari rakyat Malaysia. — Instagram/richiamocoffee

Cipta Kelainan

Berpengalaman lebih tiga dekad dalam industri permotoran, Muhamad Zamry berani mengambil cabaran baharu dan mencipta kelainan. Beliau memulakan perniagaan dalam bidang makanan dan minuman (F&B) melalui penubuhan Richiamo Coffee, dengan outlet pertamanya terletak di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah pada September 2016.

"Tawaran ruang berniaga ketika itu membuatkan saya tidak mahu melepaskan untuk mencuba sesuatu yang baharu. Alhamdulillah, percaturan kami berjaya apabila jenama Richiamo Coffee semakin mendapat tempat dalam kalangan peminatnya yang ketika itu disasarkan kepada golongan pelajar universiti.

"Selepas membuka cawangan di UUM, kami mendapat tawaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Selangor pula, diikuti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Kuala Lumpur. Kemudian barulah keluar ke pasaran sebenar dengan membuka outlet di lobi-lobi bangunan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) dan sebagainya.

"Alhamdulillah, kini Richiamo Coffee tidak gentar untuk bersaing dengan jenama kopi antarabangsa yang lain kerana memiliki kelebihan tersendiri," jelas bapa kepada empat cahaya mata itu.

Snapinsta.app_432661168_18388002685074692_3845314379313287740_n_1080

Kini Richiamo Coffee tidak gentar untuk bersaing dengan jenama kopi antarabangsa yang lain. — Instagram/richiamocoffee

Malah, beliau turut menyifatkan Richiamo Coffee adalah perniagaan keluarga memandangkan dua anaknya bertanggungjawab membantu pengurusan syarikat, selain bersyukur kerana dapat meneruskan legasi kedai kopi yang pernah diusahakan arwah bapanya di kampung dahulu.

Ditanya harapannya dalam tempoh beberapa tahun akan datang, Muhamad Zamry menzahirkan impian untuk meluaskan pasaran Richiamo Coffee sehingga ke peringkat global.

"Setakat ini kami sudah mempunyai cawangan di Siem Reap, Kemboja. Jika diizinkan ALLAH, kami merancang mahu membuka cawangan di Indonesia. Brunei, Kazakhstan dan Mekah serta Madinah.

"Pada 17 dan 18 Ogos ini, Richiamo akan menyertai pameran di Melbourne, Australia. Kemudian pada 18 hingga 21 November pula kami akan menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Dubai.

"Pihak kami telah mengenal pasti beberapa prospek dari Uzbekistan dan Qatar yang akan mengambil Master Franchise.

"Insha-Allah dgn izin-Nnya tahun 2025 merupakan permulaan yang sangat positif untuk mengembangkan lagi jenama Richiamo di pentas antarabangsa," ungkap beliau.

Richiamo Mart

Richiamo Mart

Sehingga kini sudah enam cawangan Richiamo Mart dibuka di seluruh negara.

Mengulas lanjut tentang penubuhan Richiamo Mart pada Mei lalu, Muhamad Zamry memberitahu, premis yang sudah memasuki enam cawangan itu ditubuhkan untuk memberi peluang kepada produk-produk tempatan dijual di cawangan tersebut.

Ini kerana beliau berpandangan, agak sukar untuk kebanyakan produk tempatan menembusi kedai lain sebelum ini.

"Sehingga kini sambutan amat menggalakkan terutama pelanggan mula melihat banyak produk tempatan yang tiada di tempat lain boleh didapati di Richiamo Mart," tuturnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram