SELAMA 16 TAHUN tahun menghiasi industri fesyen tempatan, jenama terkemuka tanah air, Mimpikita terus cekal mengorak langkah menjadi salah satu jenama pakaian tempatan terkemuka, sekali gus menunaikan impian fesyen gadis semasa.
Pakaian sopan yang direka secara eksklusif bukan hanya cetakan semata-mata, sebaliknya setiap himpunan Mimpikita direka teliti dan membawa kisah yang tersendiri.
Jadi tidak hairanlah jika setiap satu busana dicipta agar kekal timeless, klasik dan sesuai digayakan dari semasa ke semasa.
BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global
Dari kiri: Nurul Afidah, Fatimah Ani Syahira dan Amirah Hanis Zulkifli, tiga tonggak di sebalik jenama Mimpikita.
Diusahakan oleh tiga beradik iaitu Nurul Afidah Zulkifli, Fatimah Ani Syahira Zulkifli dan Amirah Hanis Zulkifli, mereka tidak lokek berkongsikan liku-liku yang perlu ditempuhi dalam proses membangunkan jenama yang semakin menempah kedudukan dalam hati penggemar fesyen tempatan khususnya.
Siapa sangka, Mimpikita hanya bermula dengan perniagaan kecil-kecilan yang dipasarkan secara dalam talian dan bazar hujung minggu.
Berkongsi lebih lanjut, Pereka Kreatif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Mimpikita, Nurul Afidah memaklumkan bahawa meniti perjalanan hampir dua dekad itu bukan satu usaha yang enteng.
Pelakon, Elfira Loy menggayakan rekaan busana Aisha Embroidered Kurung daripada jenama Mimpikita. — Instagram/mimpi_kita
“Sepanjang 16 tahun ini terdapat pelbagai momen naik dan turun. Tidak dinafikan ada waktu berasa sedih dek dunia perniagaan yang sangat kompetitif.
“Saingan memang banyak, namun itu satu perkara yang tidak dapat dielakkan. Pergilah ke mana-mana industri sekali pun, situasi sebegitu tetap akan wujud.
"Bagaimanapun, kami tahu perlu tahu kekuatan jenama sendiri, keunikan di sebalik rekaan dan memberikan sepenuh fokus pada bahagian berkenaan,” katanya.
Jelas Nurul Afidah, dia bersama adik-beradik akan sentiasa mencuba untuk memperbaiki dan menyesuaikan jenama, sekali gus mencari ruang serta peluang bagi menghasilkan himpunan busana yang segar.
Stail berbeza
Sementara itu, tambah Amirah Hanis pula, dia yakin kombinasi gabungan idea dan stail yang berbeza daripada tiga beradik perempuan, adalah sesuatu yang tidak ada pada jenama lain.
Ditanya tentang cara membentuk sinergi sebagai satu pasukan, Syahira memberitahu bahawa momentum itu dicapai selepas beberapa tahun mempelajari karakter masing-masing.
Setiap himpunan koleksi Mimpikita direka teliti dan membawa kisah yang tersendiri. — Instagram/mimpi_kita
“Beberapa tahun awal memang agak sukar dalam membuat keputusan, kami adik-beradik masing-masing mempunyai pendapat sendiri.
“Ketika itu kami masih tidak mengetahui hala tuju dan kekuatan sebagai satu pasukan. Justeru, kami sepakat menilai kembali kelebihan dan kelemahan.
“Selepas itu, kami membahagikan tugas mengikut kepakaran masing-masing dan menjalankan sesi sumbang saran sebelum menggabungkan semua elemen,” ujarnya.
Amirah Hanis turut memaklumkan bahawa Mimpikita juga tidak terkecuali menghadapi dugaan terbesar demi memastikan setiap produksi berjalan lancar, baik untuk alam sekitar dan mampu bersaing dalam pasaran.
“Kadangkala kami menganggap bahawa himpunan atau busana yang dikeluarkan itu cukup sempurna, namun tidak menepati cita rasa pembeli. Penerimaan dalam kalangan peminat perlu diambil kira dan dititikberatkan.
“Setiap cetakan mempunyai kisah tersendiri jadi ia memakan masa yang agak lama dan menjadi salah satu cabaran kami di Mimpikita,” tambahnya.
Mimpikita mengambil pendekatan menghasilkan busana yang kekal timeless, klasik dan sesuai digayakan dari semasa ke semasa. — Instagram/mimpi_kita
Jelas Nurul Afidah kembali, mereka cuba sedaya upaya untuk tidak mengganggu proses dan unit setiap adik-beradik. Setiap ‘kepala’ juga akan diberikan ruang membuat keputusan bagi jabatan masing-masing.
Selain itu, katanya, bersikap terbuka perlu sentiasa diamal dan diterapkan dalam pekerjaan.
“Kami bertiga sudah melalui pelbagai cabaran, jadi kini kami menetapkan sebarang tindakan itu perlu ikhlas, selain yakin setiap kesusahan akan mendapat ganjaran besar. Berikan yang terbaik!” ucapnya menutup bicara.
Untuk rekod, jenama fesyen terkemuka tanah air itu meraikan lembaran baharu perjalanan legasinya dalam industri fesyen dengan pembukaan butik baharu bertempat di pusat beli-belah bertaraf antarabangsa, The Exchange TRX, pada penghujung tahun lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram