'Give me my money', Sony Norde hantar mesej khas lepas puji rakan seperjuangan


  • Podium
  • Ahad, 22 Sep 2024

Norde mengakui bangga melihat prestasi pasukannya meskipun ketika berdepan kemelut kewangan sejak awal musim.

PERLAWANAN Liga Super 2024-2025 pada Jumaat menyaksikan Kedah Darul Aman (KDA) dan Sri Pahang FC berhasil berkongsi satu mata berharga selepas merekodkan keputusan seri 2-2 di Stadium Darul Aman di Alor Setar, Kedah.

Hasil jaringan Halim Saari berhasil mengikat kedudukan 1-1 hanya dalam tempoh enam minit, selepas ketinggalan 0-1 pada minit ke-52 perlawanan.

Seolah-olah mendapat tonik tambahan, KDA FC menambah jaringan apabila pemain sayapnya, Sukhrob Nurulloev berjaya menjaringkan gol pada minit ke-65 untuk tuan rumah berada di hadapan 2-1.

Bagaimanapun, hasrat Kedah mengutip tiga mata penuh tidak kesampaian apabila penyerang berbisa Sri Pahang, Kpah Sherman berjaya menjaringkan gol penyamaan kira-kira 11 minit sebelum waktu sebenar perlawanan tamat, dan keputusan 2-2 kekal sehingga wisel penamat.

BACA LAGI: Dulu beraksi di ACL, kini bintang Sabah, Kedah, Terengganu hanya jadi penonton

BACA LAGI: Sabah, Kuching, Terengganu untung besar jika sambar bintang tinggalkan Kedah

Nampaknya, isu kewangan yang masih membelenggu sama sekali tidak mengganggu-gugat anak-anak buah Nafuzi Zain untuk mempamerkan prestasi terbaik dalam perlawanan itu.

Perkara itu turut diakui ketua pasukan, Sony Norde apabila memuat naik satu hantaran di laman Instagram peribadinya pada Sabtu.

WhatsApp Image 2024-09-22 at 10.38.55

Tangkap layar hantaran Norde di laman Instagramnya pada Sabtu.

Penyerang sayap Kedah itu berpandangan, biarpun begitu banyak masalah yang membelenggu, ia tidak menghalang pasukannya untuk menyempurnakan tugas mereka dengan baik pada perlawanan tersebut.

"Saya bangga dengan kalian semua. Hari demi hari, usaha anda sangat berharga," katanya.

Namun dalam masa sama, tanda pagar #givememymoney yang diselitkan dalam hantaran tersebut agak mencuri tumpuan segelintir peminat.

Ia seolah-olah memberi mesej tersirat bahawa walaupun mereka menunjukkan prestasi yang baik di atas padang, Norde masih bertegas dengan kemelut pembayaran gaji yang menimpa kelabnya dan mahu pihak pengurusan mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu tersebut.

Untuk rekod, media sebelum ini melaporkan sebahagian pemain termasuk skuad bawahan Sang Kenari masih tidak menerima gaji, malah difahamkan potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut 'sangkut' sejak tahun lalu.

Lebih memilukan apabila media baru-baru ini mendedahkan Norde sendiri terpaksa berjalan kaki sejauh enam kilometer dalam hujan menuju ke pusat latihan di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar.

"Anda boleh lihat sendiri saya datang ke padang latihan hari ini dengan berjalan kaki kerana kekurangan duit untuk mengisi petrol kereta dan saya akan pulang ke rumah juga dengan dengan cara yang sama walaupun dalam keadaan cuaca hujan.

"Sudah lama saya terpaksa berkorban untuk pasukan dengan penuh kesabaran dan ketabahan.

"Apabila keadaan tunggakan gaji masih berlarutan, saya terpaksa hadapi kehidupan dalam serba kekurangan hinggalah apa yang kamu lihat," luahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram