NASI arab yang dihidang bersama pilihan ayam atau kambing mula menjadi menu pilihan rakyat Malaysia, bukan hanya ketika menyambut Ramadan, tetapi juga ada yang menjadikannya sebagai santapan harian.
Melihat kepada potensi perniagaan ini, pastinya ramai usahawan tidak ingin melepaskan peluang untuk menjana pendapatan demi kelangsungan masa hadapan.
Justeru tidak hairanlah apabila melihat semakin banyak restoran atau peniaga baharu menjalankan bisnes yang menawarkan aneka hidangan berasal dari Timur Tengah itu.
BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global
Tidak hanya di sekitar ibu kota, hidangan nasi arab juga sudah banyak dijual di pelbagai negeri sama ada dengan menubuhkan restoran sendiri mahupun menjalankan perniagaan dari rumah.
Nasi arab mandy antara menu yang ditawarkan oleh Nasi Arab Talam by Jasz Kitchen. — Facebook/Nasi Arab Talam by Jasz Kitchen
Nasi Arab Talam
Nasi Arab Talam by Jasz Kitchen yang beroperasi di Bukit Rambai, Melaka Tengah, Melaka antara jenama yang semakin mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan masyarakat di bandar raya penuh sejarah itu, sejak ia beroperasi pada tahun 2020.
Dimulakan oleh pasangan suami isteri, Mohd Riduan Wahad dan Jasriwati Ibrahim menjalankan perniagaan menjual nasi arab secara sambilan ketika penularan wabak Covid-19 kira-kira empat tahun lalu.
Pada awalnya, usahawan itu mengambil pendekatan kaedah give away sebagai salah satu usaha memperkenalkan produk keluarannya, di samping mahu melihat corak permintaan pelanggan pada ketika itu.
Peningkatan permintaan terhadap nasi arab talamnya menyebabkan usahawan itu nekad berundur daripada kerjayanya dalam sektor awam pada tahun 2022, untuk memberi fokus sepenuhnya terhadap bisnes di bawah syarikat JR Rich Legacy itu.
Pasangan suami isteri itu menjalankan perniagaan nasi arab secara sambilan ketika penularan wabak Covid-19 kira-kira empat tahun lalu. — Facebook/Jasriwati Ibrahim
Cita-cita dan semangat untuk menerokai dunia perniagaan terutamanya dalam era digitalisasi ini menyebabkan bapa kepada empat cahaya mata itu mendaftarkan diri menyertai program keusahawanan di bawah kendalian Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Di bawah bimbingan tenaga pengajar daripada MDEC, Wan Fatmasuriati Yahya dan modul yang disertakan dalam program eUsahawan tersebut, Mohd Riduan berjaya mempromosikan jualannya di media sosial khususnya, Facebook Nasi Arab Talam by Jasz Kitchen.
Menerusi inisiatif itu juga, lebih ramai pelanggan mula mengenali produk di bawah jenama Nasi Arab Talam by Jasz Kitchen.
Meskipun berdepan kekurangan tenaga kerja buat masa ini, Mohd Riduan masih mampu menjana pendapatan sehingga RM3,000 sehari.
Juadah nasi arab juga mendapat sambutan hangat dalam kalangan pembeli di Melaka. — Facebook/Nasi Arab Talam by Jasz Kitchen
eUsahawan
eUsahawan merupakan program yang dilaksanakan melalui latihan pembelajaran luaran dan dalam talian untuk melatih individu, pelajar serta usahawan mikro dalam keusahawanan digital bagi menjana pendapatan, mempromosi produk dan meningkatkan jualan.
Kementerian Komunikasi dan Digital menerusi MDEC turut menawarkan beberapa modul latihan program eUsahawan sejak 2015 seperti eUsahawan Fundamental berkaitan latihan asas keusahawan digital yang merangkumi pengurusan perniagaan, keusahawanan, pendigitalan dan pemasaran digital.
Bermula tahun ini juga, latihan eUsahawan Modular diperkenalkan bagi menawarkan latihan terperinci berkaitan pengurusan, pemasaran dan penggunaan teknologi digital seperti Strategi Model Perniagaan, Pembangunan Kandungan Kreatif, Penggunaan Platform Media Sosial dan Pengurusan Platform e-Dagang.
Inisiatif itu bagi membantu syarikat tempatan dalam mempromosikan dan mengembangkan perniagaan di pasaran tempatan serta global.
Sementara itu, Pengerusi MDEC, Syed Ibrahim Syed Noh pada 7 September lalu berkata, seramai 564,629 peserta terdiri daripada golongan usahawan dan pelajar di seluruh negara mendapat manfaat daripada program eUsahawan dengan menjana jualan terkumpul melebihi RM1.26 bilion sejak diperkenalkan hampir sedekad lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram