JIKA ditanya mana-mana ibu di Sarawak mengenai makanan berpantang kegemaran mereka, pastinya kebanyakan akan menjawab, "ayam masak kacang ma".
Ia merupakan hidangan tradisional berpantang masyarakat Cina yang lama-kelamaan semakin diterima oleh masyarakat pelbagai kaum.
Menurut Nur Hanie Mohammed, 42, menu tersebut kini menjadi hidangan wajib bagi ibu-ibu yang baru bersalin.
BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global
Ayam masak kacang ma (atas) merupakan makanan berpantang kegemaran kebanyakan wanita di Sarawak. — Instagram/ringkat_mama
Dia yang mengendalikan perniagaan penghantaran makanan berpantang dari rumahnya di Kuching, Sarawak itu berkata, masakan ayam itu merupakan salah satu hidangan kegemaran pelanggannya.
"Masakan ini sangat ringkas, ia terdiri daripada ayam, halia dan herba kering ka chang ma atau motherwort.
"Walaupun ka chang ma bukan herba tempatan asal, tumbuhan daripada keluarga pudina ini difahamkan dibawa ke Sarawak oleh masyarakat Hakka dari China," katanya.
Sejak itu jelas Nur Hanie, ayam masak kacang ma dianggap sebagai ramuan penting untuk salah satu hidangan unik di negeri Bumi Kenyalang itu.
Tambah tukang masak tersebut, wanita daripada kaum Dayak dan Melayu antara pelanggan yang sering memesan hidangan berkenaan semasa tempoh berpantang.
"Saya masih ingat ibu juga disajikan hidangan ini selepas melahirkan adik saya," ujarnya yang turut aktif berkongsi menu ditawarkan menerusi laman Instagram ringkat_mama.
Ringkat Mama Confinement Meal menawarkan dua hidangan harian dengan pilihan snek untuk minum petang. — Instagram/ringkat_mama
Perkhidmatan penghantaran makanan berpantang semakin popular di seluruh negara atas pelbagai faktor.
Antaranya termasuk mengurangkan kebimbangan ibu-ibu yang baru bersalin berhubung pemakanan yang cukup khasiat untuk menyokong badan mereka sepanjang proses penyembuhan sambil menjaga bayi.
Bagi Nur Hanie, penerapan elemen tradisional dalam masakannya adalah sesuatu yang berlaku secara semula jadi.
Membesar di Sarawak yang dikenali dengan kepelbagaian rempah-ratus aromatik bersama aneka hidangan tempatan, Nur Hanie memutuskan untuk memberi fokus terhadap perniagaan menyediakan masakan Sarawak untuk ibu-ibu yang baru bersalin.
"Saya percaya bahawa makanan yang mempunyai unsur tradisional yang sihat memiliki cerita tersendiri, di samping menyimpan kenangan dan menghidupkan emosi masa lalu," ujarnya lagi.
Meskipun baru dua tahun menjalankan bisnes tersebut, Nur Hanie sudah menerima banyak ulasan positif tentang kualiti makanannya. — Instagram/ringkat_mama
Lumayan
Perniagaan Ringkat Mama Confinement Meal yang diusahakan Nur Hanie, menawarkan dua hidangan harian iaitu makan tengah hari dan malam, dengan pilihan snek pada waktu petang.
Setiap hidangan mempunyai khasiat protein, sama ada ayam atau ikan, sayur-sayuran, buah-buahan untuk serat serta karbohidrat.
"Walaupun hidangan ini pada dasarnya memberikan khasiat untuk pemulihan selepas bersalin, perkhidmatan penghantaran makanan sebenarnya juga mampu memberi ketenangan fikiran kepada golongan ini.
"Dengan servis ini, ibu-ibu tidak perlu bersusah payah memikirkan jenis makanan yang perlu dihidangkan, sekali gus memberi mereka peluang untuk meluangkan lebih banyak masa bersama bayi," tambahnya.
Nur Hanie dalam pada itu mengakui, bisnes penghantaran makanan berpantang ketika ini boleh mendatangkan pulangan yang agak lumayan.
Apatah lagi era moden ini menyaksikan kurangnya ahli keluarga, rakan-rakan mahupun komuniti yang berupaya menjaga ibu berpantang mengikut cara tradisional.
Biarpun baru sahaja menawarkan perkhidmatan tersebut selama dua tahun, Nur Hanie, yang juga seorang ilustrator sambilan, sudah menerima banyak ulasan positif tentang kualiti makanannya.
Enggan terlalu selesa dengan pujian itu, dia tidak mahu mendabik dada, sebaliknya memilih untuk sentiasa memperbaiki kelemahan yang timbul.
Nur Hanie berkata, menerusi perniagaan itu, dia dapat memudahkan hidup wanita-wanita yang sedang melalui fasa baharu dan mencabar. — Instagram/ringkat_mama
Penjaga pantang
Sebagai ibu kepada seorang anak perempuan berusia tiga tahun, Nur Hanie kerap bertukar-tukar pendapat dengan dua penjaga pantang yang berbeza latar belakang, untuk mengetahui lebih lanjut tentang jenis makanan yang diperlukan oleh ibu baru melahirkan.
"Salah seorang penjaga pantang memiliki latar belakang perubatan dan dia mempunyai pandangan yang lebih moden.
"Sementara seorang lagi, yang berasal daripada keturunan penjaga pantang, lebih berpegang kepada amalan tradisional," katanya.
Penjaga pantang pertama berkongsi pandangan tentang kesan herba tradisional tertentu, manakala penjaga kedua memberi nasihat mengenai makanan yang mempunyai sifat 'sejuk' atau 'panas'.
Dia mengakui agak menarik sebenarnya untuk mempelajari perihal tersebut.
"Saya sentiasa cuba untuk mencari titik persamaan antara kedua-dua amalan berpantang ini, khususnya mengenai makanan berpantang. Saya berhasrat untuk mencari keseimbangan antara kedua-duanya," kata wanita itu.
Walaupun kos penghantaran untuk menghantar makanan agak tinggi, Nur Hanie percaya bahawa servis yang disediakannya tetap berbaloi berikutan kemudahan yang ditawarkan kepada ibu-ibu baharu dan keluarga mereka.
Jelasnya, kos penghantaran makanannya adalah bergantung kepada lokasi pelanggan.
"Semakin jauh lokasi penghantaran, semakin tinggi harganya, tetapi saya sedar kos tersebut boleh diuruskan dengan sebaiknya jika terdapat ramai pelanggan di satu-satu kawasan.
"Dengan perniagaan ini juga, saya dapat memudahkan hidup wanita-wanita yang sedang melalui fasa baharu dan mencabar. Seronok rasanya dapat membantu sesama ibu," tambahnya. — The Star/ZALINA MOHD SOM
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram