Saintis kecantikan, Nur Furyna eksperimen formula baharu lebarkan empayar AuraWhite


  • Bizz
  • Rabu, 11 Sep 2024

Figura jelita itu sentiasa menambah baik produknya dengan mencari formula berbeza dan baharu. — Instagram/furynaazmeer

PERNAH bercita-cita ingin mengikut jejak langkah pengusaha kosmetik berjaya menghiasi muka majalah, mendorong Nur Furyna Mohd Azmir, 39, berjinak-jinak dalam bidang sama.

Bagi Pengasas AuraWhite Beauty, penglibatannya dalam bidang kecantikan bermula ketika berumur 14 tahun, yakni sewaktu melihat ibunya menjalankan perniagaan butik.

Meskipun baru di tingkatan dua, beliau sudah memiliki keberanian dan keyakinan untuk menyolek wajah pengantin.

BACA LAGI: Graduan diploma dari Muar ambil peluang beralih bidang penuhi cita-cita miliki kebun sendiri

BACA LAGI: Bermula sebagai pembancuh simen di KLIA, kini anak peneroka Jengka bergelar usahawan terkemuka

Snapinsta.app_366726313_18380854936063042_603915576776667315_n_1080

Nur Furyna mula terlibat dalam bidang kecantikan bermula ketika berumur 14 tahun. — Instagram/furynaazmeer

“Alhamdulillah, pengantin tersebut yakin dengan hasil kerja saya, maka bertitik tolak dari situ saya mulakan langkah untuk pergi jauh dalam bidang kecantikan,’’ katanya.

Ibu kepada empat anak itu memberitahu, penglibatannya selama sembilan tahun dalam bidang kecantikan banyak didorong dengan rasa tanggungjawab untuk menghasilkan produk terbaik dan berkualiti.

Ujarnya, beliau mengambil masa hampir setahun untuk menghasilkan sesuatu produk yang melibatkan proses penyelidikan dan pembangunan produk.

“Misalnya, untuk produk AuraWhite, Dazzle Glopeptide adalah gabungan perisa buah laici dan strawberi. Ia turut diperkaya dengan kelopak ros,” ujarnya.

Menyedari kecenderungannya memiliki kulit halus dan bersih serta rambut yang sihat membuatkan Nur Furyna sentiasa bereksperimentasi.

“Bagi saya semua wanita cantik. Terpulang kepada mereka bagaimana menjaga penampilan dan imej diri.

“Saya suka tengok wanita cantik secara semula jadi. Sebab itulah saya berkongsi kelebihan produk kecantikan diri kepada umum. Kebanyakan wanita mendambakan kulit bersih dan berseri bukannya mahukan kulit terlalu cerah,” katanya.

Snapinsta.app_366579245_18380672038063042_3213037559399129708_n_1080

Nur Furyna (tiga dari kiri) memilih untuk sentiasa positif dan cekal berdepan cabaran. — Instagram/furynaazmeer

Jelas Nur Furyna, selain bidang kecantikan, beliau juga berjinak-jinak dalam dunia perniagaan sejak remaja. Mengakui mula mendekatkan diri dalam perniagaan ketika di bangku sekolah, anak kedua daripada tiga beradik itu tidak gentar mencuba.

Demi membuktikan kecintaannya terhadap dunia perniagaan, beliau tidak kisah menggunakan sebahagian wang belanja ke sekolah dengan membeli nasi lemak atau bihun di gerai berhampiran.

“Saya bawa nasi lemak atau bihun tersebut ke sekolah dan jual semula kepada rakan-rakan. Hasil jualan ini saya dapat keuntungan 10 sen setiap satu,’’ katanya ketika mengimbas momen manis itu.

Pengorbanan

Antara misi Nur Furyna sebagai seorang usahawan kosmetik ialah beliau ingin mengetengahkan produk penjagaan diri yang dijamin halal dan selamat.

Namun, beliau akur untuk mengapai impian tersebut memerlukan pengorbanan. Antaranya menghabiskan masa untuk membuat kaji selidik produk selain mengeluarkan kos sampingan untuk mendapat formula terbaik.

Nur Furyna tidak menafikan sebagai usahawan, beliau tidak dapat lari daripada jatuh bangun dalam berniaga, namun figura jelita itu memilih untuk sentiasa positif dan cekal berdepan cabaran.

Snapinsta.app_366662045_18380666665063042_6566377864067299318_n_1080

Nur Furyna (kiri) bersama duta Aurawhite, Ayda Jebat ketika majlis pelancaran Dazzle Glopeptide pada Ogos tahun lalu. — Instagram/furynaazmeer

“Paling penting sentiasa bersemangat mencari solusi bagi setiap masalah,” ujarnya sambil memberitahu gagal sekali bukan alasan untuk tidak bangkit berkali-kali.

Anak kelahiran Perak itu sentiasa teruja dan komited untuk membantu lebih ramai wanita menjana pendapatan dalam perniagaan.

“Saya juga akan terus bertahan biarpun persaingan dalam industri produk penjagaan kecantikan semakin sengit,” katanya yang banyak menggunakan platform online untuk mempromosikan jenama pada peringkat awal.

Meskipun berjaya membina empayar sendiri banyak yang beliau perlu pelajari untuk melebarkan sayap jenama produknya.

Selain sentiasa menambah baik dengan mencari formula berbeza dan baharu, beliau ingin menembusi pasaran luar negara termasuk Nigeria, Perancis, Belgium dan Ghana. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram