Dari Alor Setar ke Ampang, Yu Lin kekalkan legasi 6 dekad kebaya nyonya


  • Bizz
  • Isnin, 09 Sep 2024

Yu Lin nekad menggalas amanah keluarga untuk meneruskan perniagaan yang diwarisi sejak turun-temurun.

TAK lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Itulah kebaya. Tidak hanya kelihatan indah apabila ia terletak kemas pada tubuh wanita langsing, sebaliknya ideal digayakan oleh sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa ataupun peringkat usia.

Sesungguhnya helaian tradisi ini begitu elegan dan menawan, terus relevan merentasi zaman.

Busana wanita tertua di Malaysia yang menjadi lambang identiti warisan kebangsaan itu mula dimasyhurkan sejak 1800.

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global

Interview with Ang Eng Boutique about the Revolution of Baju Kebaya — William Gary/The Star

Yu Lin merupakan pewaris generasi ketiga perniagaan yang bermula dari Kedah itu.

Para penyelidik busana tempatan berpandangan, kebaya diambil daripada bahasa Arab iaitu habaya yang membawa maksud pakaian labuh berbelah di hadapan hingga kaki.

Pendapat lain pula menyatakan kebaya diambil daripada kamus al-Marbawi iaitu kabah, akbia dan akbiayatun atau sebelah luar pakaian.

Bagaimanapun, masyarakat terdahulu mempunyai stigma bahawa pakaian yang terkenal seantero Nusantara itu hanya sesuai digayakan golongan wanita berusia.

Namun, jangan tidak tahu busana tersebut juga memiliki keunikan dan nilai komersial tersendiri. Dengan padanan kain sarung ditambah perhiasan sebagai pelengkap gaya menyerlahkan aura si pemakai.

Enggan mensia-siakan legasi peninggalan nenek tercinta, Lim Yu Lin, 54, nekad menggalas amanah keluarga untuk meneruskan perniagaan yang diwarisi sejak turun-temurun.

Menjengah ke Butik Ang Eng terletak di Dataran Palma, Ampang, Selangor, mata seakan terpegun melihat koleksi kebaya nyonya yang diatur kemas dan disusun mengikut jenis fabrik.

Helaian demi helaian baju dibelek, penulis yang dibawa mengelilingi butik terhenti seketika memerhatikan beberapa seleksi kebaya lama yang dipamerkan di ruangan tengah.

Wanita berketurunan Hokkien itu memberitahu, butik berkenaan diasaskan oleh mendiang neneknya, Lim Wah Choon pada 1955 di Pekan Cina, Alor Setar, Kedah.

Interview with Ang Eng Boutique about the Revolution of Baju Kebaya — William Gary/The Star

Antara koleksi kebaya disediakan di Butik Ang Eng yang beroperasi di Ampang.

Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Perniagaan tersebut kemudian diwariskan kepada ibu Yu Lin, Lean Ong sebelum diserahkan kepada beliau.

Sejak kecil, wanita tinggi lampai itu diajar kemahiran menjahit tradisional terutamanya kebaya nyonya, selain menghasilkan sulaman sebagai melengkapkan busana tersebut.

“Nenek kami mahukan anak cucunya mendalami bidang jahitan dan sulaman supaya generasi akan datang dapat menghargai seni warisan busana tradisional,” ujarnya yang mengusahakan perniagaan itu bersama suami, Lim Chung Hau, 58.

Bercerita lanjut, Yu Lin menambah, sulaman pada kebaya nyonya di butik berkenaan dihasilkan dengan jahitan tangan untuk memperoleh hasil sulaman yang lebih kemas, teliti dan berkualiti.

“Pelanggan boleh memilih untuk menggunakan kain kasa rubia Jepun atau swiss voil,” ujar figura cantik manis yang tidak lekang dengan senyuman itu.

Menceritakan perjalanan butik yang beroperasi sejak lebih enam dekad itu, ujar Yu Lin, nama Ang Eng diberi oleh neneknya yang membawa maksud burung merah iaitu sebagai satu simbolik dalam masyarakat Cina Baba Nyonya.

“Ang bermaksud merah manakala Eng ialah burung dalam bahasa Hokkien. Burung merah dianggap antara haiwan membawa tuah,” kata pewaris generasi ketiga perniagaan itu.

Interview with Ang Eng Boutique about the Revolution of Baju Kebaya — William Gary/The Star

Teknik melukis sulaman pada fabrik memerlukan penelitian sepenuhnya.

Potongan

Sehingga kini, lebih 300 koleksi kebaya nyonya siap dijahit dan dipamerkan di butiknya. Kebaya-kebaya tersebut dijual pada harga antara RM500 hingga RM12,000.

Selain baju kebaya, Butik Ang Eng turut menawarkan koleksi baju kurung dan pakaian tradisional masyarakat Cina yang pernah diperagakan di pelbagai pertunjukan fesyen antarabangsa.

Keunikan kebaya masih tetap gah di mata dunia meskipun fesyen moden semakin mendominasi pentas peragaan baik di Malaysia mahupun antarabangsa.

Busana yang memiliki keunikan tersendiri itu telah melalui beberapa fasa perubahan sejak dahulu hingga kini.

Evolusi perkembangan pemakaian kebaya membawa kemunculan variasi yang dikategorikan kebaya tradisional, kebaya moden dan kebaya fesyen hingga ke hari ini.

Yu Lin berkata, kebaya nyonya asli tampil dengan ciri potongan kain pendek di atas pinggul bersama lengan berukuran suku panjang atau pendek menampakkan pergelangan tangan.

Ceritanya lagi, kebaya nyonya asli tidak mempunyai butang di bahagian tengah kerana bentuknya menyerupai pakaian tradisional Jepun iaitu kimono.

“Jadi, mereka gunakan kerongsang dan dokoh sebagai butang di tengah-tengah. Kerongsang adalah pelengkap kepada pakaian kebaya nyonya yang dipadankan dengan kain batik sarung seterusnya menyerlahkan keayuan pemakai,” jelasnya lanjut.

Anak jati Alor Setar, Kedah itu berkata, dahulu kebaya biku terkenal pada 1920-an. Sulamannya sangat mudah disebabkan kain kasa rubia sudah dipenuhi dengan corak.

Kasa rubia ialah kain tenunan kosong yang jarang, ringan dan diperbuat daripada benang pintal halus.

Kebaya biku muncul dengan rekaan berkeluk yang lebih cenderung digayakan gadis muda Cina Peranakan dan masyarakat Melayu.

Lim Yu Lin is cutting the fabric for the kebaya.—LOW BOON TAT/THE STAR

Yu Lin berkata, potongan kebaya, reka bentuk dan corak sulaman adalah bergantung pada permintaan pelanggan.

Ujar beliau, sekitar 1940-an pula, kebaya sulam mula mendapat tempat di hati si pemakai selepas mesin sulam dibawa masuk.

“Masyarakat ketika itu mula tampil bergaya dengan kebaya sulam sebab ramai tukang jahit mula mendalami ilmu sulaman.

“Kain bercorak kosong semakin banyak dijual, jadi mereka mula tertarik untuk menambah sulaman pada baju kebaya masing-masing.

“Sekitar 60-an ke 70-an pula konsep sulaman bunga seperti peony dan mawar mendapat permintaan tinggi,” tuturnya.

Jelas beliau, potongan kebaya, reka bentuk dan corak sulaman bergantung pada permintaan pelanggan, namun ia perlu disesuaikan mengikut padanan warna kulit, bentuk badan dan jenis pekerjaan.

Misalnya, kebanyakan pelanggan Melayu lebih gemar menggayakan kebaya labuh menutup pinggul hingga ke lutut manakala corak sulaman berunsurkan tumbuh-tumbuhan dan bunga serta warna lebih gelap untuk menutup bentuk badan.

“Bagi pelanggan kaum Cina terutamanya keturunan Cina Peranakan, mereka lebih gemar kebaya nyonya berwarna-warni dan terang seperti warna biru firus atau turquiose, kuning, merah muda dan hijau terang dipadankan dengan sulaman haiwan yang membawa ong (tuah) seperti naga, burung dan ayam,” katanya.

Interview with Ang Eng Boutique about the Revolution of Baju Kebaya — William Gary/The Star

Yu Lin mengusahakan perniagaan itu bersama suaminya, Chung Hau.

Trend

Selari dengan peredaran zaman, Yu Lin melihat keperluan untuk menambah elemen-elemen moden dalam rekaan busananya, selain masih mengekalkan sulaman kerawang pada kebaya nyonya rekaannya.

Justeru, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beliau mula menghasilkan beberapa rekaan menerapkan unsur seperti haiwan antaranya kuda laut, ikan, udang, itik dan sebagainya.

“Sewaktu negara berdepan pandemik Covid-19, saya mendapat ilham untuk menambah motif berbentuk kuih pada kebaya yang dihasilkan.

“Kami buat rekaan begini supaya nampak lebih moden dan mengikut trend. Bagi saya, paten tradisional masih dikekalkan, namun diserikan dengan motif lebih cantik dan bergaya,” ujarnya.

Selain memiliki nilai estetika, setiap helaian kebaya nyonya datang dengan cerita dan kisah tersendiri.

Selain corak yang pelbagai, variasi rona pada sulaman tradisional tersebut sebenarnya turut mewakili kepelbagaian budaya terdapat di Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram