SANGAT merendah diri dan saling melengkapi. Itu ungkapan sesuai menggambarkan suami isteri yang juga pengasas syarikat reka bentuk dalaman terkemuka di Malaysia, IDW Design & Build Sdn Bhd, (IDW), IDr Lokman Hakim Ahmad Subki dan IDr Rabiatul Adawiyah Rasol.
Memiliki syarikat dengan unjuran perolehan melebihi puluhan juta sedikit pun tidak menjadikan mereka riak, malah pasangan sehati sejiwa yang masing-masing berusia 39 tahun itu lebih memilih untuk mengikut resmi padi, semakin tunduk semakin berisi.
Lantaran itu tidak hairanlah kejayaan menubuhkan empayar IDW seawal usia 21 tahun pantas dijadikan inspirasi para graduan khususnya, agar sentiasa mencari peluang untuk meraih kejayaan.
BACA LAGI: Graduan diploma dari Muar ambil peluang beralih bidang penuhi cita-cita miliki kebun sendiri
BACA LAGI: Bermula sebagai pembancuh simen di KLIA, kini anak peneroka Jengka bergelar usahawan terkemuka
Mengimbau semula detik pertemuan dua jiwa itu, Lokman Hakim berkongsi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor menjadi saksi perkenalan antara dia dan isterinya.
Usai menamatkan pengajian, kedua-duanya saling berdiskusi untuk bagaimana mereka mahu mendapatkan peluang pertama sebagai pereka hiasan dalaman.
Transformasi sebelum dan selepas kediaman yang disiapkan oleh syarikat IDW. — Instagram/idw.design
"Pada waktu itu, kami sangat berharap untuk dapat projek, ubah suai dapur rumah pun sudah memadai.
“Namun, siapa sangka Rabiatul mendapat tawaran projek besar. Melalui rakannya, dia yang selalu memperoleh Anugerah Dekan setiap semester diberi peluang dalam projek dua buah rumah semi-D yang ingin digabungkan menjadi sebuah rumah.
“Bayangkan dengan keluasan 696 meter persegi, projek tersebut bernilai RM1.1 juta. Meskipun tiada pengalaman, kami terus bersetuju. Alhamdulillah, saya kira barakah daripada projek tersebut ia menjadi satu lonjakan untuk kami terus mengorak langkah dalam bidang ini,” jelas lelaki yang berasal dari Shah Alam, Selangor itu.
Akui Lokman Hakim, tidak dinafikan dalam usaha mereka menerokai dunia perniagaan penuh risiko ini, mereka juga pernah berdepan situasi sukar terutamanya ketika ingin memberi pencerahan berhubung keperluan konsultasi hiasan dalaman.
Mungkin juga atas faktor kurang pendedahan menyebabkan masyarakat masih belum terbuka hati untuk mengeluarkan sejumlah wang bagi mendapatkan idea, hingga ada yang pernah memperlekehkan usaha mereka berdua.
Teruja
Gara-gara masih bertatih dalam industri, mereka menjadikan stesen minyak Esso di Seksyen 7, Shah Alam sebagai port bekerja untuk menyiapkan rekaan projek berkenaan.
“Hampir setiap hari, kami akan buat kerja sampai pukul 3 pagi. Proses menyiapkan rekaan rumah itu mengambil masa hampir setahun disebabkan pelanggan tersebut mengerjakan ibadah haji dan umrah pada tahun yang sama," katanya.
Hakim berkata, seiring peredaran masa, masyarakat lebih sedar kepentingan hiasan dalaman untuk sesebuah kediaman. — Instagram/idw.design
Sementara itu, Rabiatul atau mesra dengan panggilan Bee memberitahu, meskipun teruja, mereka juga dalam masa sama bimbang untuk mengendalikan projek besar seumpama itu.
“Secara logiknya mana ada pelanggan nak bagi projek pertama tanpa ada nama pereka. Memang kami tiada apa-apa ketika itu. Sekadar pelajar jurusan reka bentuk dalaman. Masa itu juga, kami terus cetak kad nama guna mesin pencetak yang ada untuk menjadikan ia sah.
“Malah, nama IDW kami pilih dan reka logonya dalam satu malam sahaja. IDW itu membawa maksud Infinite Design Work. Kemudian, pada 2012, barulah tukar kepada IDW sebagai logo dan nama syarikat,” imbau Bee pula sambil memberitahu sementara menyiapkan projek pertama mereka turut mendapat peluang bagi menyiapkan beberapa projek lain.
Selepas tujuh tahun mendapat projek pertama mencecah jutaan ringgit, barulah pasangan tersebut sepakat untuk mendirikan rumah tangga.
Melayari kehidupan sebagai pasangan suami isteri dalam bidang sama, mereka mengakui turut berdepan risiko tersendiri. Namun, ia bukan penghalang buat Hakim dan Bee mengecap kebahagiaan diimpikan.
“Kami sebenarnya tak anggap ini sebagai kerja. Sebaliknya meminatinya dan jadikan ia sebagai hobi. Justeru, kami buat kerana minat dan bukan duit semata-mata,” kata Hakim.
Antara rekaan rumah yang disediakan oleh syarikat IDW. — Instagram/idw.design
Saling menguatkan
Sementara itu, Bee pula berkongsi, bekerja dalam satu bidang sebenarnya satu perkara yang subjektif.
“Secara peribadi, saya lebih suka bercerita pasal kerja dan minat dengan pasangan sendiri kerana kami berkongsi perkara sama. Bagaimanapun, kami tetap ada prinsip tersendiri.
"Jadi, kami selalu melakukan sesi perah otak, saling mengambil berat, sentiasa memberi dan menguatkan,” ungkap Bee.
Mengulas mengenai kejayaan yang dicapai, wanita bersemangat waja itu mengakui, memulakan syarikat IDW adalah satu kejayaan terbesar baginya.
“Selepas projek pertama, tiga tahun kemudian kami berjaya membida projek pembinaan sebuah kolej di Bandar Dato Onn, Johor Bahru bernilai RM17 juta.
"Jujurnya, kami rasa ia bukan tentang kepakaran atau perkhidmatan kerana pasukan kami ketika itu cuma ada dua ke tiga orang sahaja. Apa yang boleh dikatakan adalah ia sememangnya rezeki daripada ALLAH SWT,” bicara Bee sambil memaklumkan bahawa ketika ini IDW sudah menawarkan perkhidmatan kepada lebih 11,000 pemilik kediaman.
Dalam pada itu, Hakim turut menambah, rentetan kejayaan projek pertama, mereka mula merancang untuk mengekalkan syarikat IDW.
“Dari situ, kami menyewa sebuah pejabat dan membuat simpanan untuk bayaran bulanan. Kemudian membuka sebuah kedai percetakan di Shah Alam sebagai salah satu usaha untuk terus bertahan kerana tahu keperluan pelajar jurusan seni bina ini,” terang Hakim yang kini memiliki bangunan wisma sendiri bernilai RM5 juta di Shah Alam.
Ditanya mengenai harapan IDW pada tahun mendatang, Hakim dan Bee sepakat menyuarakan hasrat untuk meneruskan visi membantu sejuta pemilik mendapatkan kediaman yang diidamkan.
“Dahulu, orang jarang upah pereka hiasan dalaman. Memang ini cabaran buat kami. Bagaimanapun, seiring peredaran masa, masyarakat lebih sedar kepentingan hiasan dalaman untuk sesebuah kediaman.
“Rekaan ini hakikatnya mampu mengubah landskap kehidupan manusia. Kalau kita mahu mengubah dunia, kita mesti mengubah institusi kekeluargaan melalui rumah yang selesa didiami,” ujar Hakim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram