[VIDEO] Idea jurutera elektrik berjaya bantu lebih 200 usahawan wanita penuhi potensi perniagaan


  • Bizz
  • Selasa, 10 Sep 2024

Nuraizah (dua dari kiri) ketika melakukan kunjungan ke sebuah kedai menjual pakaian terpakai yang diusahakan salah seorang peserta program.

EMPAT tahun lalu, Nuraizah Shamsul Baharin memulakan satu inisiatif yang mampu memberi sinar baharu dalam kehidupan ramai wanita.

Usahawan berusia 49 tahun itu menubuhkan MADCash pada tahun 2020, selepas melihat begitu ramai wanita terjejas pendapatannya dek penularan pandemik Covid-19.

Nuraizah sememangnya dikenali antara susuk yang begitu komited dalam memperjuangkan kemajuan usahawan wanita, menerusi syarikat pembangun ekosistem kewangan (fintech) patuh syariah itu.

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya sendiri pernah hilang sabar,' bapa sanggup berhenti kerja, tubuh kafe demi latih anak syurga berdikari

Nuraizah-Shamsul-Baharin-managing-director-of-MADCash-Photo-1

Nuraizah memulakan satu inisiatif yang mampu memberi sinar baharu dalam kehidupan ramai wanita.

Berkongsi kepada Majoriti mengenai perjalanan awal penubuhan platform ini, Nuraizah yang juga pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MADCash memberitahu, selepas melihat begitu ramai wanita terkesan akibat wabak yang bermula dari Wuhan, China itu, Nuraizah tahu dia perlu melakukan sesuatu untuk membantu kaum Hawa bangkit, mengubah taraf ekonomi mereka.

Selepas berdiskusi, beliau dan beberapa lagi rakan bersetuju mengumpul sejumlah dana untuk disalurkan kepada tiga usahawan wanita bagi mengembangkan bisnes kecil-kecilan mereka.

"Apabila bisnes tidak dapat dilaksanakan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita lihat dan kaji apa jenis bantuan yang diperlukan golongan wanita.

"Jadi kami berikan pinjaman tanpa faedah sebanyak RM1,000 seorang kepada tiga peniaga wanita pada tahun 2020.

"Syukur Alhamdulillah kerana dalam tempoh sebulan, pinjaman tersebut berjaya membantu mereka menjana pendapatan masing-masing sebanyak RM3,000, RM4,000 dan RM11,000.

"Ketika itu saya fikir kita sudah mencapai satu solusi bagaimana hendak bantu wanita ini," katanya ketika ditemui di pejabatnya di ibu kota, baru-baru ini.

Bagaimanapun, percaturannya ketika itu sedikit tersasar selepas menyedari bahawa bantuan kewangan semata-mata tidak boleh menjanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh jangka masa panjang.

Beliau yang dilahirkan di Kuala Lumpur itu menjelaskan, sebaliknya usahawan wanita ini memerlukan bimbingan dan latihan keusahawanan daripada mentor yang tepat, untuk mereka terus memacu prestasi bisnes.

Keadaan itu akhirnya mendorong ibu kepada seorang cahaya mata berusia 11 tahun tersebut melancarkan MADCash pada tahun 2020.

AWE-National-Conference-2024-photo-2

Nuraizah (kanan) ketika menghadiri Majlis Perasmian Akademi Usahawan Wanita 2024, di Kuala Lumpur pada 13 Ogos lalu.

MADCash, yang membawa maksud Multiply Assist Donate Cash, merupakan sebuah syarikat kewangan yang menyediakan pembiayaan mikro antara RM1,000 hingga RM5,000 kepada usahawan wanita mengikut keperluan bisnes mereka.

Menurut Nuraizah, usahawan wanita yang dibantu MADCash kebiasaannya terdiri dalam kalangan mereka yang sukar mendapatkan pinjaman daripada sumber-sumber sah lain.

“Kami bekerjasama dengan wanita yang tiada akaun bank atau tiada akses untuk mendapatkan pinjaman daripada sumber biasa.

“Kami bersama-sama menjadikan mereka usahawan yang boleh menjalankan perniagaan mereka sendiri dan boleh mendapat sokongan daripada sumber lain.

"MADCash bukan bank. Pinjaman kita berbentuk tanpa faedah, berapa banyak kita pinjam, jumlah itu jugalah kita akan bayar semula. Jadi wang tersebut kita boleh guna untuk bantu wanita yang lain pula,” ujarnya yang mempunyai lebih dua dekad pengalaman dalam menguruskan syarikat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dengan turut meraih sejumlah anugerah.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari University of Michigan, Ann Arbor, Amerika Syarikat (AS) itu memberitahu, pada 2022, MADCash berhasil memberikan pinjaman kepada 33 wanita dengan keseluruhan berjumlah RM54,000.

Jumlah itu kemudian meningkat pada 2023, dengan RM354,000 melibatkan 157 wanita.

"Kita mempunyai dua program, salah satunya ialah program Pembangunan Usahawan melibatkan seramai 839 orang. Daripada jumlah tersebut, kita telah memberi pinjaman kepada 260 orang dengan dana sebanyak RM582,000.

"Daripada jumlah 839 orang itu juga, kita ada kira-kira 150 lagi yang akan diberi dana sebanyak RM450,000 (sedang menunggu tempoh habis kelas keusahawanan)," katanya sambil memaklumkan lebih 400 usahawan dijangka dibawa masuk untuk menerima bantuan dan bimbingan keusahawanan daripada MADCash.

Menurut beliau, kos operasi MADCash bukan sekadar mengendalikan platform sahaja, ia juga termasuk proses saringan pemohon bagi memastikan mereka berpeluang menempa kejayaan dalam tempoh dua tahun pinjaman diberikan.

"MADCash juga memberi bimbingan perniagaan bagi memastikan penerima pinjaman dapat membayar semula dalam masa 10 bulan di samping mengembangkan perniagaan secara lebih meluas," tambah penerima Anugerah Tatler’s Front & Female Malaysia 2024 bagi Keterangkuman Kewangan itu.

MADCash-pic3

Nuraizah (dua dari kanan) mengunjungi kedai makan salah seorang usahawan di bawah kendalian MADCash yang beroperasi di Kota Bharu, Kelantan.

Terjun dunia bisnes

"Jadi bagaimana anda sebagai jurutera elektrik boleh 'terjebak' dalam dunia perniagaan?" aju penulis.

Sambil tertawa kecil, anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, beliau sememangnya menyimpan minat yang mendalam terhadap bidang yang boleh memberikan sumbangan besar kepada pendapatan ekonomi negara itu.

Enggan terjun ke dalam sektor berisiko itu tanpa sebarang ilmu, beliau memutuskan untuk menimba pengalaman sebagai jurutera di firma antarabangsa seperti Motorola dan Nokia.

"Saya dan beberapa rakan yang sama-sama bekerja di kilang tersebut menyimpan azam untuk mengusahakan perniagaan sendiri sebelum kami masing-masing menginjak usia 30 tahun.

"Untuk saya sendiri, syukur kerana diberi kesempatan untuk mengendalikan perniagaan perisian telefon bimbit pintar (Madcat World) sejak 2011 sehingga ke hari ini," katanya sambil memberitahu bahawa empat daripada enam orang rakannya juga sudah berjaya merealisasikan impian tersebut.

aizah-paynet-conference.jpeg

Nuraizah ketika memberi ucapan di sebuah acara anjuran PayNet.

Luar biasa

Usaha Nuraizah dalam membantu mengembangkan perniagaan wanita juga mendapat perhatian pelbagai pihak menerusi beberapa organisasi yang turut sama menyokong usaha itu.

Pada tahun lalu, perusahaan sosial tersebut menerima modal usaha rentan sebanyak RM5 juta di samping menjalin kerjasama dengan Kedutaan Amerika Syarikat bagi mengendalikan akademi dalam talian untuk usahawan baharu.

Ujar Duta ASEAN Access untuk Malaysia itu lagi, sepanjang perjalanan ini, beliau berpeluang bertemu dengan wanita-wanita luar biasa dan menyaksikan bagaimana individu ini memberi impak kepada orang lain dalam kehidupan mereka selepas menyertai program kendalian syarikatnya.

"Saya ingin melihat MADCash membawa perubahan dalam kehidupan seramai mungkin wanita," jelasnya yang turut memaklumkan syarikat itu juga telah melebarkan sayap ke Singapura dan Tajikistan.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Perempuan Bukit Bintang itu turut memberitahu, usahawan wanita dari Sabah antara golongan yang menunjukkan minat begitu mendalam untuk belajar dan mendalami ilmu tentang bisnes.

Kekurangan dari segi akses kepada internet sama sekali tidak menghalang kaum wanita di Negeri Di Bawah Bayu itu untuk menyertai kelas yang diadakan secara dalam talian.

AWE-National-Conference-2024-photo-1

MADCash meraikan ulang tahun kelima Akademi Usahawan Wanita (AWE) pada Ogos lalu di Kuala Lumpur.

Justeru tidak hairanlah selain Lembah Klang, penglibatan peniaga Sabah juga menunjukkan peningkatan mengagumkan saban tahun.

"Apa yang saya boleh katakan semangat mereka (usahawan Sabah) memang luar biasa. Ada antara mereka yang terpaksa bangun pukul 3 pagi untuk belajar tentang bisnes melalui internet.

"Ini kerana saya difahamkan hanya pada waktu itu sahajalah kawasan perumahannya mempunyai jaringan internet yang laju untuk dia menelaah pembelajaran dalam talian sebelum dipraktikkan dalam bisnesnya," kongsinya.

Bagi Nuraizah, beliau berharap dengan pendekatan yang dilaksanakan MADCash dapat mengubah kehidupan lebih ramai wanita terutamanya yang berhasrat untuk menjalankan perniagaan.

Tegasnya, wanita tidak boleh terlalu bergantung harap hanya kepada bantuan daripada kerajaan semata-mata, sebaliknya buktikan kaum Hawa juga berupaya menjadi salah satu penyumbang kepada ekonomi negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram