MOHD Shahmi Farhan Ridzuwan tidak menunggu lama untuk mencari pekerjaan usai menamatkan pengajian di Universiti Islam Selangor (UIS) pada tahun 2019.
Sementara menanti panggilan temu duga daripada mana-mana pihak, dia membantu rakannya berniaga di gerai burger, selain bekerja secara sambilan di sawah padi untuk memotong rumput dan membersihkan parit.
Kehidupan graduan ijazah perniagaan ini bagaimanapun mula berubah selepas ditawarkan peluang untuk menjadi pengendali dron bersama Koperasi Wawasan Tani Simpang Lima Sungai Besar Bhd (KWTSL).
BACA LAGI: Graduan diploma dari Muar ambil peluang beralih bidang penuhi cita-cita miliki kebun sendiri
Koperasi kerajaan berkenaan ditubuhkan di bawah sektor pertanian semasa Program Transformasi Ekonomi pada tahun 2012.
Mohd Shahmi Farhan berkata, dia diberi kesempatan belajar mengendalikan dron yang mampu menyembur bahan untuk pemakanan tumbuhan, rawatan tanah atau kawalan perosak.
“Kami bermula dengan pelajaran teori di Jabatan Pertanian Sungai Burung.
"Dalam proses pembelajaran turut disediakan juga simulator. Peserta dengan markah tertinggi diberi hadiah,” katanya.
Dengan pinjaman sebanyak RM42,000 daripada ibu tercinta, Mohd Shahmi Farhan kemudian memutuskan untuk membeli dron sendiri dan menawarkan perkhidmatan tersebut kepada petani padi.
Tindakannya membuahkan hasil apabila lelaki berusia 31 tahun itu kini mampu menjana hampir RM6,000 sebulan dengan menyediakan perkhidmatan di sawah-sawah sekitar Sabak Bernam, Selangor.
Kebanyakan pelanggannya berada di Bagan Terap, Sungai Besar dan Kampung Seri Tiram Jaya serta Sawah Sempadan di Tanjung Karang.
Mohd Shahmi Farhan sedang mengisi dronnya dengan baja cecair, yang mempunyai kapasiti 60 liter.
Ditanya antara tugas paling sukar pernah dijalankan, kongsi Mohd Shahmi Farhan, mengendalikan penyemburan racun serangga bagi mengatasi masalah serangan lalat di Bagan Terap dan Sungai Tengi di Kuala Kubu Bharu dua tahun lalu, menjadi antara cabaran yang tidak dapat dilupakan.
Ini kerana jelasnya, serangan lalat di kawasan kediaman menjadi begitu teruk disebabkan kewujudan ladang penternakan ayam dibina berdekatan kawasan itu.
"Situasi tersebut menyebabkan penduduk sukar untuk makan. Semasa makan, lebih daripada enam lalat yang akan hinggap di tangan mereka," ujarnya sambil memberitahu idea mencipta dron bertujuan membantu petani yang kebanyakannya sudah semakin tua dan tidak berdaya melakukan kerja-kerja berat.
Mengendalikan dron
Bercerita lanjut, Mohd Shahmi Farhan berkata, pada kebiasaan hari, dronnya mampu diterbangkan ke udara merangkumi keluasan sehingga lebih 2,300 kaki persegi.
Anggaran kasarnya, masa yang diperlukan untuk dron merangkumi setiap kaki persegi adalah kurang dari 10 minit, tetapi ia juga bergantung sama ada mod manual atau automatik digunakan.
"Di sawah yang mempunyai struktur seperti rumah ladang, dron akan dikendalikan secara manual supaya racun serangga tidak mengenai bumbung, yang mana keadaan itu berisiko menyebabkan kerugian.
"Mod automatik digunakan di kawasan lapang. Titik (sempadan) boleh ditetapkan pada alat kawalan dan mesin akan terbang dengan sendirinya,” jelas Mohd Shahmi Farhan lagi.
Jejaka itu menambah, faktor angin juga penting ketika mengendalikan peralatan tersebut.
Ini termasuk mengetahui arah angin pada setiap masa untuk mengelakkan dron berlanggar dengan tiang elektrik atau pokok.
"Ia juga bagi memastikan semburan dron tidak terbang ke sawah-sawah bersebelahan.
"Dalam senario terburuk, kesilapan menilai arah angin boleh menyebabkan racun seperti racun serangga atau racun perosak ditiup ke wajah anda," katanya.
Mohd Maksom berkata, kebanyakan petani yang lebih tua pada mulanya ragu-ragu tetapi berubah fikiran setelah melihat hasil penggunaan dron.
Petani tua kurang percaya
Mohd Maksom Ramli, 61, dan Sulaiman Chik, 70, kedua-dua bekas pengerusi KWTSL turut mengimbas kembali ketika dron pertama kali digunakan di Sungai Besar.
Mohd Maksom berkata, ia berlaku pada tahun 2013, setahun selepas penubuhan koperasi.
Tidak dinafikan pada awalnya, petani-petani padi yang lebih tua katanya, mempersoalkan keberkesanan teknologi itu.
"Setelah terbiasa dengan cara tradisional iaitu membawa penyembur galas yang berat untuk menyembur racun perosak dan baja, agak sukar untuk mereka terima bahawa tugas berkenaan boleh dilakukan hanya dengan menekan butang sambil berdiri di tepi jalan.
"Meski ragu-ragu, mereka akhirnya mengubah fikiran selepas melihat hasil padi dalam satu musim (sekitar 120 hari)," ujarnya.
Dalam pada itu, pada tahun 2017, KWTSL juga membuat pelaburan sebanyak RM68,000 untuk membeli dua dron berkapasiti 15 liter.
Koperasi itu juga menerima dron bernilai RM75,000 daripada Unit Perancang Ekonomi Selangor pada tahun 2021.
Sulaiman berkata, penggunaan dron telah menyelesaikan masalah kekurangan tenaga buruh yang membelenggu para petani.
Maklum beliau, pada tahun 2014, petani terpaksa membayar sebanyak RM1 juta untuk mengerah tenaga pekerja asing bagi mengusahakan kira-kira 5,800 kaki persegi sawah padi di bawah koperasi tersebut.
Bacaan pada konsol dron penyembur (digunakan untuk mengawal operasi alat mekanikal atau elektronik) yang digunakan di ladang.
"Pada masa itu, perkara utama dalam fikiran saya adalah bagaimana untuk kita mengurangkan kebergantungan ini (pekerja asing)?
"Secara kebetulan, pada masa yang sama, beberapa pelajar kejuruteraan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) sedang menjalankan demonstrasi di Sawah Sempadan di Tanjung Karang, Kuala Selangor.
"Jadi, saya menghubungi UPM untuk menjalankan demonstrasi serupa di Sungai Panjang.
"Selepas menyaksikan demonstrasi tersebut, saya dapat melihat potensi sekiranya kita menerokai kelebihan teknologi ini," bicara Sulaiman lanjut.
Untuk menangani masalah kekurangan tenaga kerja, koperasi itu mula menawarkan perkhidmatan dron kepada petani dengan caj sekitar RM50 per lot, dengan menggaji pemuda kampung melakukan tugas tersebut.
Pada awalnya jelas beliau, mereka mendapatkan bantuan daripada UPM dan juga sebuah syarikat dron swasta untuk menyelesaikan kerja tersebut.
"Sewaktu pertengahan proses, kami didekati oleh sebuah syarikat penyelesaian pengurusan pertanian dari Kedah.
"Selain menjual mesin kepada kami, syarikat berkenaan turut menyediakan perkhidmatan selepas jualan dalam bentuk kelas dan latihan untuk pelanggan.
"Kesan limpahan daripada ini ialah penciptaan pekerjaan baharu untuk pemuda kampung sebagai pengendali dron," tambah Sulaiman.
Mohd Naim menunjukkan peranti yang diubah suai dengan sistem turbo untuk dron yang menggunakan kepala pancuran bagi menghasilkan semburan bertekanan tinggi.
Mengharapkan Teknologi Baharu
Antara pemuda kampung yang menerima pakai teknologi baharu tersebut ialah anak-anak Sulaiman.
Mohd Naim Shah Sulaiman, turut menceburi perusahaan milik keluarga di Simpang Lima yang menjual racun perosak, melakukan pembaikan dron dan penyemburan tanaman serta menyediakan latihan untuk pengendali dron pertanian.
Berkongsi lebih terperinci, Mohd Naim berkata, peningkatan permintaan bagi penggunaan dron mendorong dia dan empat lagi adik-beradiknya untuk menceburi perniagaan itu pada tahun 2020.
“Kami memulakannya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berkuat kuasa. Ketika itu, kita berdepan kekangan dari segi kekurangan pekerja asing.
“Kejadian serangan perosak dan penyakit juga tinggi, sehingga unit dron KWTSL tidak mampu menampung permintaan yang tinggi.
“Jadi, kami memohon pinjaman daripada AgroBank dan membeli empat dron pertanian,” katanya.
Hari ini, perniagaan keluarga itu mempunyai tujuh dron, termasuk satu unit daripada Unit Perancang Ekonomi Selangor.
Jelas lelaki berusia 36 tahun itu lagi, semasa tempoh perkhidmatan dengan KWTSL dari September 2021 hingga Januari 2022, dron itu mengalami beberapa kali kemalangan, yang memerlukan kos pembaikan agak mahal.
“Bagi mengurangkan kos, KWTSL menyerahkan dron tersebut kepada syarikat kami untuk digunakan berdasarkan komisen,” kata Mohd Naim.
Untuk mencapai tahap kecekapan yang lebih memuaskan, muncung semburan (turbo nozzle) dipasang pada lengannya. Nozel ialah kepala pancuran yang dilengkapi dengan motor untuk memberikan output tekanan lebih tinggi, bagi mencapai liputan semburan lebih baik.
Syarikat itu juga dilantik sebagai wakil jualan untuk Selangor oleh pengedar dron pertanian.
Kini terdapat kira-kira 50 pengendali dron yang melakukannya secara sepenuh masa.
Walaupun permintaan terhadap perkhidmatan mereka kekal tinggi, Mohd Naim turut menyuarakan kebimbangan susulan arahan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berhubung syarat yang perlu dipatuhi pengendali dron.
“Yuran RM3,500 untuk mendapatkan sijil kompetensi bagi juruterbang dron jarak jauh terlalu mahal.
“Manual pula ditulis sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. Ramai pengendali di kampung kami kurang fasih dalam bahasa tersebut.
"Oleh itu, adalah sangat membantu sekiranya manual untuk sijil kompetensi juruterbang jarak jauh boleh diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu,” pintanya.
Sementara itu, veteran sektor perladangan, Supramaniam Ramasamy, 66, menjelaskan, penggunaan awal dron dalam bidang pertanian boleh dikesan pada tahun 1987 di Amerika Syarikat (AS) apabila ia digunakan untuk mengambil gambar.
Ujar pengarah urusan sebuah syarikat yang pakar dalam bidang pengurusan, pembangunan dan nasihat perladangan itu lagi, pada tahun 2006, dron digunakan untuk menyembur racun perosak dan menjelang 2010 pula, penggunaannya untuk fungsi ini dilihat semakin meluas.
“Kami menggunakan dron untuk beberapa fungsi seperti pembajaan, penyemburan racun perosak, penanaman benih dan pemetaan tepat, yang mana kami menerbangkan alatan ini di atas sesuatu kawasan untuk memetakan topografinya,” kata Supramaniam.
Supramaniam menjelaskan, penggunaan awal dron dalam bidang pertanian boleh dikesan pada tahun 1987 di AS.
Beliau merupakan graduan Universiti Pertanian Malaysia (kini UPM) dan Universiti Chicago di AS, serta mempunyai lebih 40 tahun pengalaman dalam sektor perladangan untuk kelapa sawit, getah, koko, badam dan kopi.
“Dengan dron, kami dapat melihat sama ada sesuatu kawasan itu berbukit, mengenal pasti masalah takungan air di zon rendah atau jika ada sungai yang mengalir melaluinya.
“Kami juga dapat melihat jenis tumbuh-tumbuhan yang tumbuh di situ, sama ada padang rumput atau hutan yang terjejas.
“Semua maklumat ini berguna untuk perancangan dan membuat keputusan,” tambahnya.
Beliau juga menggunakan teknologi tersebut sebagai pemantauan tanaman, dengan dron diterbangkan di atas tumbuhan untuk memetakan warna dedaun.
Sebagai contoh, jika warnanya kuning, ia mungkin menandakan tahap nitrogen rendah dan jika terdapat kerutan, ia mungkin menunjukkan kekurangan boron.
Supramaniam mengakui, penggunaan dron berupaya mengurangkan beban terhadap kerja-kerja pertanian.
Tugas sebelum ini yang memerlukan kekuatan fizikal, kini boleh dilakukan dengan lebih mudah.
Supramaniam bagaimanapun memberitahu, berdasarkan pengamatan beliau, meskipun mempunyai banyak kelebihan, penggunaan dron sebenarnya masih belum meluas di Malaysia.
“Terdapat pelbagai faktor untuk ini, termasuk kos pembelian dron dan kemahiran yang diperlukan untuk menerbangkannya.
“Dasar syarikat juga memainkan peranan. Sesetengah syarikat lebih selesa mengambil pekerja.
“Secara ringkasnya, penggunaan dron masih perlahan, berbanding Australia dan Eropah, kita masih mempunyai perjalanan yang panjang,” katanya menyimpul bicara. — The Star/GRACE CHEN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram