[VIDEO] Mpox: KKM beri jaminan PKP tidak dilaksanakan semula


  • Primer
  • Selasa, 10 Sep 2024

Kerajaan mengambil setiap langkah yang perlu untuk menghindari jangkitan Mpox merebak.

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) tidak akan dilaksanakan semula untuk membendung penularan cacar monyet (Mpox) di negara ini, seperti yang berlaku ketika penularan Covid-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memberi jaminan itu sambil memaklumkan, kerajaan mengambil setiap langkah yang perlu untuk menghindari penyakit tersebut daripada menular ke dalam negara.

"Sehingga hari ini, tiada lagi kes positif baharu jangkitan Mpox daripada individu yang disyaki sebelum ini," katanya ketika berucap di Majlis Ulang Tahun Ke-20 Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sungai Buloh, Selangor pada Selasa.

BACA LAGI: Mpox bukan Covid-19 baharu — WHO

BACA LAGI: 3PBI rangka pelan komprehensif tingkat mutu Bahasa Inggeris di sekolah seluruh negara

Dr Dzulkefly berkata, tindakan untuk tidak mengulangi PKP dibuat selepas mengambil kira tiada jangkitan Mpox direkodkan selepas menjalankan saringan ke atas 6.2 juta pengembara di semua pintu masuk negara, setakat ini.

Menurutnya, ia melibatkan saringan di semua pintu masuk antarabangsa sama ada melalui laut, udara dan darat.

WhatsApp Image 2024-09-10 at 14.59.45

Dr Dzulkefly memberi jaminan bahawa PKP tidak akan dilaksanakan semula.

“Daripada lebih enam juta pelancong yang disaring setakat ini, 52 disyaki kes tetapi sejak itu (diuji negatif).

“Oleh itu, tidak ada satu pun kes positif Mpox muncul di negara kita setakat tahun ini,” jelasnya.

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa masyarakat tidak boleh mengambil mudah akan jangkitan berkenaan dan perlu sentiasa berwaspada terhadap sebarang kemungkinan.

“Kita sudah keluar daripada pandemik Covid-19, tetapi saya diterjah dengan kemungkinan (jangkitan) Mpox, saya kerap diasak supaya meningkatkan prosedur operasi standard (SOP).

“Insya-ALLAH, Mpox tidaklah akan mengulangi waktu seperti PKP, namun saya juga mahu ingatkan supaya kita jangan terlalu selesa kerana kita tahu kaedah jangkitannya," katanya.

Sementara itu, Dr Dzulkefly turut memaklumlan, KKM ketika ini sedang melaksanakan proses pemerolehan antiviral Mpox dengan golongan rentan akan diletakkan dalam senarai penerima utama.

Ujar beliau, kesiapsiagaan KKM membendung penularan Mpox berada pada tahap terbaik.

"Justeru, orang ramai tidak perlu gusar dan cemas.

“Kita perlu wujudkan keseimbangan, tetapi jangan pernah ambil mudah mengenai penularan sebarang penyakit, sama ada berjangkit atau sebaliknya,” tambahnya. — The Star/BENJAMIN LEE

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram