3PBI rangka pelan komprehensif tingkat mutu Bahasa Inggeris di sekolah seluruh negara


  • Primer
  • Ahad, 18 Ogos 2024

KPM melaksanakan empat program teras yang menyasarkan kepada murid dan guru.

PENDIDIKAN Bahasa Inggeris merupakan antara isu utama yang menjadi perhatian dalam sektor pendidikan negara.

Hal ini kerana, penguasaan Bahasa Inggeris ketika ini dilihat menjadi satu kemahiran yang cukup penting khususnya dalam menyediakan pelajar untuk berdepan cabaran semasa dan dunia tanpa sempadan.

Turut prihatin terhadap isu itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tampil membangkitkan mengenai keperluan meningkatkan mutu penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar terutamanya di peringkat sekolah rendah.

BACA LAGI: Tak jadi ulat buku semata-mata, 4 langkah KPM diharap bantu murid kuasai 3M — PIBGN

BACA LAGI: [VIDEO] Prospec KPM dan Fazura kerjasama keluarkan 12 rekaan unik tudung sempena Merdeka

Dalam ucapannya pada Jun lalu, beliau berkata, usaha itu perlu dilakukan dengan segera kerana sebagai negara maju, Malaysia perlu memberi penekanan terhadap soal dwibahasa.

Menyahut cabaran tersebut, Kementerian Pendidikan (KPM) pada tahun ini mula memperkenalkan Pelan Pemerkasaan Pendidikan Bahasa Inggeris (3PBI).

Langkah yang merupakan satu inisiatif di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) antara lain menekankan kepentingan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid dan guru di samping meningkatkan kualiti pendidikan bahasa itu secara keseluruhan.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas berkata, 3PBI merupakan pelengkap dan penyambung kepada program Bahasa Inggeris sedang dilaksanakan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025 dan The Roadmap Bahasa Inggeris 2015 – 2025.

Menurutnya, terdapat empat objektif utama digariskan di bawah perancangan tersebut.

Pertama, meningkatkan kecemerlangan murid dalam subjek Bahasa Inggeris melalui pengukuhan komunikasi lisan serta kemahiran bacaan aras tinggi.

Kedua, meningkatkan kualiti Bahasa Inggeris guru melalui kursus peningkatan profesionalisme Bahasa Inggeris dan kursus kemahiran khusus atau specialist certificate.

Ketiga, membangunkan keupayaan penggunaan teknologi pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris.

Keempat, membangunkan sumber bahan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris.

Empat program teras di bawah 3PBI

Sesi temu bual bersama Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia - Sektor Operasi Sekolah : Tuan Zainal Abas.— MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star

Zainal Abas berkata, pelan 3PBI merupakan pelengkap dan penyambung kepada program Bahasa Inggeris.

Bagi menyokong kesemua objektif terbabit, Zainal berkata, KPM turut melaksanakan empat program teras yang menyasarkan kepada murid dan guru.

Ia merangkumi antara lain program peningkatan kualiti guru Bahasa Inggeris iaitu Professional Upskilling of English Language Teachers (Pro-ELT) Enhance dan program peningkatan kemahiran lisan Bahasa Inggeris (membaca dan bertutur) dalam kalangan murid sekolah rendah dan menengah iaitu Maximising Highly Immersive Programme (HIPMax): Chat in English (CiE) serta Malaysian Story Fest (MFS).

Dua lagi program lain ialah program peningkatan kemahiran bacaan secara kritis iaitu Critical Reading Strategy (CRS) dan program peningkatan kemahiran lisan (membaca dan bertutur) dalam kalangan murid Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) iaitu Program Oral Communication.

Menyentuh mengenai HIPMax, Zainal berkata, ia merupakan peluasan daripada program HIP yang telah mula dilaksanakan di semua sekolah bawah KPM sejak 2016.

"HIPMaX bertujuan meningkatkan keyakinan dan kebolehan murid dalam komunikasi lisan Bahasa Inggeris melalui aktiviti CiE dan MFS.

"Aktiviti CiE merupakan aktiviti Bahasa Inggeris yang dilaksanakan sebagai komponen luar kelas di mana semua murid sekolah rendah dan menengah berpeluang melibatkan diri menerusi pelbagai aktiviti Bahasa Inggeris dalam persekitaran memberangsangkan.

"Sekolah dibekalkan dengan kit pemula aktiviti kemahiran lisan yang merangkumi pelbagai aktiviti Bahasa Inggeris yang dapat disesuaikan dengan tahap kemahiran murid," ujarnya.

1000097225

Aktiviti MFS memberi peluang murid menggunakan Bahasa Inggeris dengan lebih meluas dalam konteks pelbagai. — Gambar hiasan

Menurut Zainal, aktiviti CiE dilaksanakan selama seminggu dalam setiap bulan dengan murid diberikan ruang melaksanakan aktiviti Bahasa Inggeris dalam keadaan santai dan disokong oleh guru.

Selain itu, di bawah HIPMax, KPM turut melaksanakan aktiviti MFS yang memberi fokus kepada pembentukan karakter melalui penghayatan dan pembacaan karya sastera cerita rakyat Malaysia di samping memberi peluang kepada murid menggunakan Bahasa Inggeris dengan lebih meluas dalam konteks pelbagai.

"MFS merupakan aktiviti tahunan yang ditawarkan kepada institusi pendidikan rendah dan menengah KPM yang terpilih. Input akan diberi melalui 16 jam sesi perbengkelan secara dalam talian dan beberapa sesi secara bersemuka bagi zon yang dikenal pasti mengikut keperluan dan kesesuaian.

"Acara kemuncak MFS melibatkan pertandingan bercerita dan pementasan. Bagaimanapun, pertandingan MFS akan melibatkan institusi pendidikan yang mendaftar untuk mengambil bahagian sahaja," ujarnya.

Sesi temu bual bersama Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia - Sektor Operasi Sekolah : Tuan Zainal Abas.— MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star

Zainal menambah, menerusi program HIPMax, ia turut melibatkan pemerkasaan terhadap pihak sekolah dan ibu bapa untuk menjalankan sebarang aktiviti yang mampu membantu pengukuhan Bahasa Inggeris murid.

Mengulas mengenai inisiatif yang diambil melalui 3PBI untuk membantu murid di peringkat pasca menengah, Zainal berkata, KPM melaksanakan Program Oral Communication (OC) yang memberi tumpuan kepada kemahiran komunikasi dalam kalangan murid TVET.

Zainal berkata, HIPMax turut melibatkan pemerkasaan pihak sekolah dan ibu bapa untuk menjalankan aktiviti yang mampu membantu pengukuhan Bahasa Inggeris.

Ujarnya, matlamat program OC adalah bagi meningkatkan penguasaan kemahiran bertutur murid TVET untuk tujuan kebolehpasaran graduan.

"KPM menyediakan satu modul pembelajaran penguasaan kemahiran komunikasi Bahasa Inggeris yang menggalakkan penggunaan teknologi dalam bentuk alatan digital bagi membolehkan murid melaksanakan aktiviti lisan berdasarkan konsep gamification of learning.

"Modul ini menjadi sebagai satu bahan pembelajaran sokongan kepada kerangka kurikulum Bahasa Inggeris yang digunakan di kolej vokasional," ujarnya.

Tingkat kualiti guru, tangani keciciran murid dalam pendidikan Bahasa Inggeris

Dalam pada itu, Zainal berkata, 3PBI turut memberi fokus membangunkan kompetensi bacaan aras tinggi menerusi program yang dikenali sebagai Critical Reading Strategy (CRS).

Objektif program ini antara lain bagi meningkatkan kompetensi murid dalam literasi bacaan aras tinggi bagi Bahasa Inggeris, menyediakan bahan sokongan PdP untuk literasi bacaan aras tinggi bagi Bahasa Inggeris dan membangunkan program bacaan bahasa Inggeris menyeluruh untuk murid prasekolah hingga ke sekolah menengah.

"CRS menyasarkan kepada murid prasekolah, murid sekolah rendah, murid sekolah menengah, guru praperkhidmatan dan dalam perkhidmatan bagi pelan peluasan.

"Sebagai pelan jangka pendek, CRS juga menyasarkan kepada murid Tingkatan 3 (sesi persekolahan 2024 - 2025)," ujarnya.

Sementara itu, Zainal berkata, KPM turut prihatin terhadap usaha bagi meningkatkan kualiti guru termasuk mereka yang mengajar pendidikan Bahasa Inggeris.

Menerusi 3PBI, beliau berkata, kementerian melaksanakan program Pro-ELT Enhance yang disediakan sebagai latihan sokongan untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan guru dan juga pensyarah opsyen Bahasa Inggeris.

"Di bawah 3PBI, modul Pro-ELT interaktif dalam talian disediakan bagi memberi bimbingan kepada guru melalui fasilitator.

"Satu platform perkongsian ilmu, idea dan pengalaman turut diwujudkan dalam komuniti Pro-ELT Enhance," ujarnya.

IMG-20240517-WA0015

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (tengah) ketika menghadiri Karnival HIPMax yang antara lain bertujuan meningkatkan keyakinan dan kebolehan murid dalam komunikasi lisan Bahasa Inggeris. — Gambar hiasan

Penguasaan Bahasa Inggeris di pedalaman

Dalam pada itu, beliau berkata, KPM turut tidak melupakan mengenai isu keciciran murid dalam pendidikan Bahasa Inggeris di sekolah seluruh negara termasuk di pedalaman.

Menurutnya, untuk menangani isu berkenaan, KPM melaksanakan program HIP Remedial Instruction (HIP RI) yang memberi penekanan kepada isu keciciran pendidikan serta masalah literasi dan numerasi bagi merapatkan kesenjangan pendidikan dalam kalangan murid.

Selaras dengan fokus tersebut, beliau berkata, intervensi pemulihan Bahasa Inggeris dilaksanakan menerusi PdP Bahasa Inggeris dalam memastikan murid mencapai penguasaan Bahasa Inggeris yang diaspirasikan dalam kurikulum.

"Objektif HIP RI adalah meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris murid dan menyediakan pengisian profesional untuk guru Bahasa Inggeris khususnya guru Bahasa Inggeris Tahap 2.

"Setakat ini sebanyak 4,500 guru Bahasa Inggeris telah menerima latihan HIP RI," katanya.

Menurut Zainal, kesemua tenaga pengajar yang menerima latihan tersebut juga akan pulang ke tempat masing-masing untuk menjadi jurulatih kepada guru lain di Pusat Kegiatan Guru kawasan tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa guru Bahasa Inggeris yang dihantar ke kawasan pedalaman dilengkapi dengan kemahiran inovasi untuk mempelbagaikan kaedah pembelajaran terbaik berdasarkan situasi dihadapi.

"Jadi, 3PBI adalah program menyeluruh yang melibatkan keseluruhan ekosistem pendidikan.

"Semua pemegang taruh perlu komited dalam pelaksanaan pelan 3PBI dan memainkan peranan masing-masing dalam memastikan kejayaan program ini contohnya pihak JPN dan PPD selain warga sekolah, ibu bapa dan komuniti," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram