Enggan sejarah Covid-19 berulang, KKM lebih bersedia tangani Mpox, KDN pantau 'lorong tikus'


  • 112
  • Selasa, 27 Ogos 2024

Pintu masuk negara dikawal pihak kerajaan termasuk di lapangan terbang dan laluan tikus di sempadan Sungai Golok. — Gambar hiasan

NEGARA kini digemparkan dengan penularan kes Mpox atau cacar monyet melibatkan sebanyak 31 kes jangkitan dilaporkan di Malaysia setakat ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan, 25 kes daripadanya disahkan negatif dengan enam masih dalam pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Susulan perkembangan kes itu, masyarakat tidak dapat mengelak kembali dihantui trauma hitam ketika dilanda wabak Covid-19 pada 2020 yang nyata telah meragut banyak nyawa ketika itu.

BACA LAGI: Penggunaan dadah meningkat selepas Covid-19 khususnya ubat kuat lelaki, kandungan cecair vape

BACA LAGI: Mpox bukan Covid-19 baharu — WHO

Kes pertama dalam negara dicatatkan pada 23 Januari 2020 apabila tiga kes, dua di Sabah dan satu di Selangor dilaporkan telah dijangkiti wabak berkenaan.

Bermula detik itu, bilangan pesakit Covid semakin bertambah disyaki berpunca akibat kelewatan pihak kerajaan menutup pintu sempadan negara daripada dimasuki pelancong luar terutamanya dari Wuhan, China.

Tarikh 12 Mei menjadi detik hitam negara apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Susulan itu, kewujudan kes Mpox di Malaysia seolah-olah memberi bayangan negara bakal sekali lagi berdepan perintah berkurung itu jika tiada langkah pencegahan dilakukan sejak awal.

2868655

Mpox merupakan jangkitan virus yang menyebabkan luka nanah dan gejala seperti selesema yang lazimnya berada tahap ringan tetapi boleh membunuh.

Namun, KKM di bawah kerajaan Madani kini lebih peka dengan situasi terbabit dan sudah mengambil langkah kanan mencegahnya dari berterusan menular dalam negara.

Buktinya, lima langkah telah dilaksanakan dalam mengekang penyakit cacar monyet itu setakat ini.

1. Kerajaan aktifkan bilik gerakan Mpox

Kerajaan telah mengaktifkan bilik gerakan khusus untuk penyakit Mpox di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan bagi memantau dan menghindari penularan wabak itu ke negara ini bermula 16 Ogos lepas.

Bilik gerakan itu berperanan memantau situasi wabak berkenaan di dalam dan luar negara, serta berkolaborasi dan menyelaras langkah pencegahan dan kawalan bersama-sama negara ASEAN.

2. Saringan suhu di setiap pintu masuk negara

Perkembangan wabak itu sentiasa dipantau dengan saringan suhu mula dijalankan di semua pintu masuk negara sama seperti ketika negara dilanda Covid-19.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan tumpuan awal di empat pintu masuk negara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA 2), Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar.

Turut peka dengan kewujudan 'laluan tikus', KDN dalam pada masa sama memantau setiap laluan tersembunyi yang terdapat di sempadan negara terutamanya sekitar Sungai Golok yang menjadi lubuk pendatang dari seberang Thailand.

3. 13 makmal sedia jalankan ujian pengesahan Mpox

KKM telah menyediakan sebanyak 13 makmal bagi menjalankan ujian mengenal pasti penyakit itu di beberapa klinik kesihatan dan swasta negara.

Kerajaan setakat ini sudah melakukan ujian saringan kepada lebih 1.8 juta pengembara di semua pintu masuk sempadan negara sejak 16 Ogos lalu di lapangan terbang seluruh negara sejak CPRC diaktifkan.

4. Pengedaran pekeliling dan garis panduan ke fasiliti klinik awam

KKM telah mengedarkan garis panduan dan pekeliling berhubung bahaya Mpox di fasiliti klinik kerajaan dan swasta negara.

Ia bertujuan mengesan gejala awal yang boleh mengakibatkan penularan wabak berkenaan di samping memberi kesedaran ramai terhadap penyakin Mpox.

Pekeliling itu diwujudkan sejak kes pertama Mpox dicatatkan di Thailand selepas seorang lelaki Eropah disahkan positif virus berkenaan setelah tiba di Bangkok.

mpox-kkm2-681x681

Antara hantaran dibuat KKM menerusi laman media bagi memupuk kesedaran terhadap virus Mpox.

5. Kenyataan media dari KKM berterusan berkaitan penyakit Mpox

Berbeza dengan Covid-19, perkembangan maklumat mengenai virus Mpox lebih pesat dan meluas ekoran tindakan pihak KKM yang sentiasa berusaha menyebarkan kesedaran di laman sosial.

Kenyataan pertama dibuat KKM adalah berkaitan pengisytiharan wabak Mpox sebagai Public Health Emergency Of International Concern (PHEIC) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO.

Sehingga kini, KKM masih aktif menyampaikan kesedaran kepada orang ramai menerusi laman sosial rasminya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram