KKM sahkan 25 kes negatif Mpox, 6 masih dalam pemantauan


  • Primer
  • Isnin, 26 Ogos 2024

Jangkitan cacar monyet boleh merebak melalui sentuhan rapat dengan orang atau haiwan yang sudah dijangkiti.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengesan sebanyak 31 kes disyaki cacar monyet atau lebih dikenali sebagai Mpox setakat Isnin, dengan 25 kes disahkan negatif, manakala enam lagi masih dalam pemantauan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kes Mpox di Malaysia kekal sembilan kes iaitu kes pertama dilaporkan pada 26 Julai 2023 dan terakhir ialah pada November 2023.

"Dari Disember 2023 hingga masa ini, tiada kes Mpox,” katanya.

BACA LAGI: Sudah diisytiharkan darurat, kanak-kanak berisiko tinggi terkena Mpox

BACA LAGI: Gambar tular kes peluru tabur di luar negara, bukan kes Mpox — KKM

Jangkitan cacar monyet sudah diisytihar sebagai darurat kesihatan global oleh WHO.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KPJ Healthcare dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Dzulkefly berkata, langkah segera diambil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan peningkatan kes di negara jiran iaitu Singapura dan Thailand dengan memperkukuh saringan di pintu masuk negara dan pengaktifan 10 makmal yang menjalankan ujian PCR bagi tujuan pengesahan termasuk dua makmal swasta serta Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC).

"Bukan hanya dua negara ini (Singapura and Thailand) tetapi juga pengunjung yang datang dari negara-negara lain terutamanya dari benua Afrika.

"Kami juga menghantar lebih banyak dan kerap pekeliling dalam kalangan kemudahan kesihatan kami, kedua-dua awam dan swasta," katanya.

Pada 14 Ogos lepas, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global yang menjadi kebimbangan antarabangsa. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram