MELIHAT reka bentuk, warna dan cara pembuatan itu sendiri, nyata hasil karya skulptural seramik oleh jenama seni seramik tersohor di Malaysia, RAAQUU memiliki identiti tersendiri.
Tatkala menjengah ke bengkel RAAQUU yang berlokasi di Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, boleh dikatakan setiap satu skulptural yang dihasilkan membuktikan Adil Abdul Ghani, 46, sebagai salah seorang artis skulptural prolifik di negara ini.
Adil Ghani yang juga Pengarah Kreatif Benchmark Ceramic Sdn Bhd merangkap pengasas jenama RAAQUU berkata, karya-karya tersebut adalah terjemahan daripada inspirasi dan kajian yang dilakukannya.
Berkongsi tentang seni seramik raku kepada Majoriti, Adil Ghani memberitahu, beliau mengenali cabang seni tersebut sewaktu menjalani Program Teknologi dan Teknikal Seramik di Saga, Jepun selama enam bulan, pada Jun hingga Disember 2006.
Tajaan daripada Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan Saga Prefecture Government digunakan sebaiknya oleh anak sulung daripada sembilan beradik itu untuk menimba ilmu dalam bidang teknologi seramik.
Namun, jiwa seni anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu lebih tertarik kepada seni pembuatan raku yang unik.
Sekembalinya ke tanah air, dia mengambil peluang untuk cuba menjalankan teknik tersebut bersendirian, hanya bersandarkan pengamatan di laman YouTube semata-mata, tanpa latihan formal.
Keunikan tembikar berkenaan membuatkan artis seramik itu terpaku seterusnya menggerakkan diri untuk melaksanakan kajian mendalam tentang proses penghasilan tembikar dinamakan raku.
Katanya, raku merupakan satu teknik pembakaran tembikar berkait rapat dengan ketelitian yang juga dapat dilihat dalam seni hidangan teh daripada tamadun kuno Jepun.
Adil Ghani melakukan teknik pembakaran skulptur seramik di sebuah dapur dengan tahap kepanasan maksimum.
Platform e-dagang
Bicara lanjut, Adil Ghani kemudian menubuhkan syarikat Benchmark Ceramic Sdn Bhd yang beroperasi di Terengganu pada ketika itu.
Selepas melihat permintaan produknya menunjukkan peningkatan saban tahun, dia dan rakan kongsi memutuskan untuk menjalankan perniagaan seramik raku dengan lebih serius pada 2021.
Sejak itu, dirinya mula berjinak-jinak dalam jualan secara dalam talian, di bawah jenama RAAQUU.
"Kita buka laman web RAAQU sendiri di samping membuka tempahan di platform dagang lain seperti Saatchi Art, Amazon, eBay, Etsy dan Lazada. Selepas mula aktif dalam jualan dalam talian, tempahan semakin banyak diterima.
"Kalau dapat tempahan daripada platform e-dagang, ada masanya timbul masalah dari Terengganu nak hantar dan agihkan ke serata tempat.
"Jadi kami berpindah ke Ara Damansara pada tahun 2022 untuk mengelakkan berlakunya masalah pengangkutan dan supaya pelanggan dapat menerima produk dalam keadaan baik," katanya.
Karya diberi nama The Trust diolah daripada hidupan mikro, beruang air iaitu sejenis kuman terdapat pada lumut dan tempat yang lembap.
Teknik pembakaran
Bapa kepada tiga cahaya mata itu turut mengakui, cabaran yang dihadapi sepanjang proses memberi dia peluang untuk memahami teknik raku dengan lebih mendalam berserta keindahannya.
Walaupun beralih kepada teknik pembuatan seramik negara matahari terbit, Adil Ghani tetap mempertahankan keunikan penghasilan tembikar Malaysia dengan memilih untuk kekal menggunakan tanah liat yang diperoleh dari Kuala Kangsar, Perak, negeri yang terkenal dalam pembuatan labu sayong.
"Apatah lagi tidak ramai anak seni tempatan yang menjual seni seramik raku secara komersial, kebanyakannya hanya menjadikan ia sebagai hobi sahaja.
"Secara peribadi, ia mematangkan saya dari banyak sudut. Keluarga banyak bersabar dengan saya, sekali gus memberi motivasi untuk mencapai impian ini.
"Justeru saya amat menghargai sokongan isteri tercinta, Faizatul Shimal Mehamod, 46, dan anak-anak sebagai tulang belakang dan peniup semangat," kongsi lulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Lukis dan Seni Reka (Seramik) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar itu.
Karya The Emotion merupakan salah satu spesies 'dinoflagellate' yang berbentuk seperti lapisan cangkerang di bahagian luar dan dalam.
Bertepatan dengan slogan RAAQUU iaitu Diwarnakan Oleh Api, teknik pembakaran skulptur seramik dilakukan di sebuah dapur dengan tahap kepanasan maksimum.
Seramik tersebut dialihkan ketika ia sedang mencair, kemudian diletakkan di dalam sebuah bekas penutup kedap udara yang diisi penuh dengan habuk kayu dan kertas.
Kepanasan maksimum daripada seramik tersebut akan menggalakkan pembakaran sederhana bahan-bahan mudah terbakar dalam ruang khas tersebut.
Ruang mampat itu kemudiannya ditutup ketat buat sementara waktu. Pertembungan suhu dan tahap kepanasan berlawanan dalam ruang khas itulah yang memberikan corak serta warna-warna unik pada skulptur seramik.
Paling menarik adalah apabila teknik raku tersebut menghasilkan rona yang jarang dapat dilihat.
"Setakat ini, seramik RAAQUU menggunakan teknik pembakaran kuno Jepun yang ditambah dengan sentuhan kontemporari unik.
"Ini bukan sahaja menjadikan setiap produk RAAQUU menjadi idaman pengumpul tegar jenama ini, ia juga sering menjadi topik perbincangan hangat di laman-laman forum tentang seni seramik," katanya.
Antara seramik RAAQUU yang dipamerkan ketika pameran solonya di galeri Zhan Art Space pada awal tahun ini.
Menyentuh tentang penjualan, penerima Anugerah Reka Bentuk Terbaik Malaysia pada 2022 oleh Majlis Reka Bentuk Malaysia itu memberitahu, hasil jualan syarikatnya berhasil mencatatkan peningkatan positif setiap tahun.
"Alhamdulillah bermula dengan 2021, kita dapat jumlah jualan sebanyak RM300,000, diikuti RM1.2 juta (2022) dan RM1.4 juta (2023). Setakat tahun ini, syukur Alhamdulillah bisnes kami juga berjalan mengikut perancangannya," kongsinya yang juga ahli Rangkaian Artis Seramik Antarabangsa (ICAN) Amerika Syarikat (AS) sejak 2021 hingga kini.
Menariknya, keistimewaan produk kelahiran syarikatnya lebih mencuri perhatian peminat dekorasi kediaman khususnya untuk pasaran AS merangkumi 90 peratus.
"Selain AS, kami turut menerima tempahan produk dari Eropah, Singapura, Jepun dan Korea.
"Apabila memutuskan untuk menerokai bidang ini, kita memang tahu ada pasaran terutamanya di luar negara.
"Untuk makluman, permintaan juga lebih tinggi pada hujung tahun berikutan musim perayaan," tutur beliau.
Pengunjung pameran menghayati hasil karya skulptural seramik Adil Ghani.
Pameran solo sulung
Memasang impian untuk menganjurkan pameran solo RAAQUU, pakar seramik itu ingin membuktikan jenama tersebut bukan hanya tertumpu pada pembuatan produk seramik dekoratif dan hiasan rumah.
Ia bahkan berupaya menjangkaui makna yang lebih dari itu.
Bercerita mengenai pameran solo pertamanya di galeri Zhan Art Space, Petaling Jaya, sebanyak 15 arca seramik berskala besar yang dikurator oleh galeri RAAQU berjaya memukau pengunjung dengan keunikan dan kehebatan seni seramik tradisional Jepun itu.
Menariknya, pameran yang bermula sejak 13 Januari hingga 8 Februari tahun lalu turut disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Mengangkat tema Life: Magnified-The Main Show, beliau mendapat ilham untuk memaparkan fasa kehidupan makhluk mikro seperti diatom dan mikrob menerusi imaginasinya sendiri.
Ujar Adil Ghani, bagaikan teknik pembakaran raku, makhluk hidupan mikro telah melalui siri evolusi beribu-ribu tahun menjadikannya agak mustahil untuk manusia menentukan saiz dan bentuknya.
Adil Ghani (tengah) bergambar bersama kakitangan yang banyak membantunya di RAAQU.
"Saya pernah terbaca bahawa manusia lebih mengetahui tentang ruang angkasa berbanding alam lautan. Saya dihantui dengan persoalan bagaimana jika organisma mikroskopik di dunia ini hadir dalam saiz berbeza?
"Pameran ini ibarat reaksi saya kepada persoalan tersebut yang seterusnya menjadi naratif dan idea. utama dalam pameran ini," katanya.
Proses penghasilan pameran tersebut ujar Adil Ghani mengambil masa enam bulan untuk disiapkan, bermula daripada pengembangan idea sehinggalah pembuatan yang dibahagikan kepada beberapa peringkat.
Pameran tersebut juga menyaksi kan previu siri aksesori RAAQUU yang mempromosikan seni yang boleh dipakai.
Adil Ghani dalam pada itu kini turut bersyukur atas pembukaan ruang pameran RAAQU yang beroperasi di Renaisssance, Kuala Lumpur bermula Khamis lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram