SIAPA sangka, pengalaman sukar untuk mencari tukang elektrik bagi membaiki lampu pejabat terbakar pada musim pandemik tahun 2021 mendorong Alfina Nur Bashir, 27, tampil dengan idea kreatif sehingga terhasilnya aplikasi Swifty Pro.
Dilancarkan pada Julai 2021 tanpa sebarang ilmu asas dalam pengendalian sains komputer, pengasas bersama aplikasi Swifty Pro itu mengakui dirinya langsung tidak jangka ia mendapat sambutan menggalakkan di Twitter hingga meraih 12,000 ciapan dalam tempoh beberapa hari.
Aplikasi dilancarkan bersama suaminya, Emad Nordin Morshidi, 29, untuk membantu pekerja sambilan meneruskan kelangsungan hidup menerusi platform pelbagai bidang meraih pendapatan, katanya objektif utama adalah untuk membantu dan memudahkan pencarian kerja di seluruh negara terutama Lembah Klang dan Selangor.
BACA LAGI: Farina sanggup tinggalkan kerjaya wartawan demi pendidikan anak Sabah
"Sebelum pandemik, saya berkecimpung dalam bidang jualan produk kecantikan semula jadi di pasaran premium, namun ketika pandemik perniagaan merundum.
"Kami mengetengahkan aplikasi Swifty Pro membolehkan pekerja sambilan untuk mendaftarkan perkhidmatan mereka. Kini jumlah muat turun aplikasi lebih 200,000 sedangkan sasaran adalah 700 sahaja.
"Pada September tahun sama, Swifty pula diperkenalkan untuk pengguna yang ingin melanggan perkhidmatan yang sedia ada dan kini kami agensi Swifty bagi pemasaran digital termasuk Tiktok untuk pemilik perniagaan," jelasnya.
Antara testimoni pengguna yang pernah mendaftar di aplikasi tersebut.
Pelajar Pengurusan Perniagaan di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang itu menjelaskan, Swifty Pro dicipta untuk membantu individu mahu mencari pendapatan sampingan menerusi 10 tawaran perkhidmatan utama.
"Pengguna aplikasi boleh muat naik kerja sambilan ditawarkan tutor, rekaan grafik, penyelenggaraan pendingin hawa, pembantu pembeli peribadi, tukang bersih atau apa sahaja perkhidmatan mengikut kemahiran mereka.
"Jika pelanggan mahu membeli barang keperluan, boleh membeli di platform beli-belah. Jadi untuk mencari perkhidmatan kedua aplikasi ini sesuai digunakan," katanya yang mengambil masa empat bulan untuk menyiapkan aplikasi itu.
Beliau memberitahu, sebagai satu-satunya aplikasi menawarkan perkhidmatan sedemikian, tiada yuran penyertaan dikenakan atau langganan bulanan namun hanya lima hingga 20 peratus bayaran diambil jika terdapat tempahan perkhidmatan.
Selain itu, katanya keunikan Swifty Pro dan Swifty adalah ia membolehkan pelanggan dan pekerja bebas untuk saling berhubung jika ada sebarang keperluan bahkan kini aplikasi itu turut digunakan oleh pemilik perniagaan dari Singapura.
Swifty Pro dicipta untuk membantu individu mahu mencari pendapatan sampingan menerusi 10 tawaran perkhidmatan utama.
"Saya mahu hidupkan budaya keseimbangan kerja dalam kalangan masyarakat. Jika di negara barat, situasi kerja yang fleksibel adalah satu perkara biasa, berbanding dengan negara kita di mana waktu kerja dari jam sembilan hingga lima menjadi norma.
"Untuk langkah keselamatan, pengguna perlu memuat naik MyKad mereka. Aplikasi ini juga tidak mendedahkan nombor telefon bagi menjaga privasi namun untuk berhubung boleh menggunakan aplikasi ini," jelasnya yang turut memberitahu terbaharu, Swifty memenangi Anugerah Inovasi 2022 bagi kategori Most Promising Startup anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Biarpun tiada pengalaman dan mengakui memerlukan masa lama untuk perkenalkan aplikasi itu, kata anak kelahiran Pulau Pinang tersebut beliau dan pengasas bersamanya banyak menjalankan perkongsian idea.
"Kami berdua tiada asas dalam bidang pembangunan aplikasi jadi hanya belajar membina aplikasi secara dalam talian dan tidak mempunyai mentor yang membimbing.
Belajar coding sahaja memerlukan proses masa selama 12 jam sehari. Visi seterusnya adalah untuk menjalinkan kerjasama dengan penggiat industri utama seperti menjadikan aplikasi ini sebagai landasan meningkatkan kemampuan dan kemahiran pekerja sambilan di rantau Asia," ujarnya yang ingin menembusi pemasaran digital Singapura dan Indonesia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram