Adzliana enggan 'goyang kaki' kerana bisnes bapa, sentiasa bermurah hati kongsi ilmu perniagaan dengan usahawan wanita


  • Bizz
  • Rabu, 04 Sep 2024

Adzliana turut menjalinkan kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam usaha membantu usahawan wanita dan PKS. — Instagram/Usanita.hq

DALAM usaha membantu golongan usahawan terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memperkukuhkan jenama, Usanita Sdn Bhd, (Usanita) giat menjalankan pelbagai aktiviti berkonsepkan ilmu perniagaan.

Dilahirkan dalam keluarga yang aktif berniaga dan diberi pendedahan mengenai ilmu perniagaan sejak muda mendorong Ketua Pegawai Eksekutif Usanita, Adzliana Hasan komited membantu usahawan B40 dan M40.

Berkongsi penglibatannya dalam dunia perniagaan, wanita yang mesra disapa Adzliana memberitahu bahawa sesetengah pihak menyifatkan perjalanan karier beliau sebagai ahli perniagaan begitu mudah.

BACA LAGI: Dari mekanik jadi tauke kopi terkemuka, Muhamad Zamry mahu Richiamo Coffee tembusi pasaran antarabangsa

BACA LAGI: [VIDEO] Rama-rama jadi identiti, anak seni kelahiran Perak realisasi impian masa kecil buka bisnes di Bukit Bintang

Pun begitu, hanya empunya diri mengetahui besar dan kecilnya ombak cabaran yang terpaksa diharungi demi memastikan diri kekal relevan dalam dunia bisnes.

Bicara usahawan berusia 42 tahun itu, sebaik sahaja menamatkan pengajian peringkat Ijazah Perniagaan Antarabangsa di Universiti Multimedia, Cyberjaya pada 2006, tanpa membuang masa beliau terus bertugas sebagai kerani di syarikat milik bapanya, Profesor Datuk Seri Dr Hasan Yusoff yang mengusahakan perniagaan perkhidmatan keselamatan.

usanita2

Adzliana ketika berucap dalam satu sesi taklimat kepada usahawan wanita.

"Biarpun bekerja di perusahaan ayah tidak bermakna saya boleh 'goyang kaki', sebaliknya perlu pantas belajar selok-belok perniagaan dari bawah.

"Tambahan pula ayah menguruskan bisnes perkhidmatan keselamatan jadi bukanlah mudah untuk saya memahami dalam tempoh singkat.

"Namun, situasi itu bukan halangan untuk saya membuktikan kemampuan berdiri dalam sektor keselamatan dimonopoli golongan lelaki," ujarnya.

Sementara itu, sebagai wanita yang meminati bidang kecantikan dan fesyen, Adzliana juga tidak melepaskan peluang membuka perniagaan Nana Bridal Boutique pada 2008, seterusnya mengeluarkan jenama tudung, Amber Mode enam tahun lalu.

Kini selepas 14 tahun aktif dalam dunia bisnes, beliau yang memimpin Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) berazam menumpahkan bakti perihal perniagaan kepada masyarakat.

Pengalaman luas yang diperoleh sepanjang mengendalikan urus niaga dalam dan luar negara dijadikan 'senjata' untuk membantu usahawan wanita dan PKS di negara ini.

Snapinsta.app_310438088_5891420247557833_2725204730180677920_n_1080

Pengalaman luas yang diperoleh sepanjang mengendalikan urus niaga dijadikan 'senjata' untuk membantu usahawan wanita dan PKS. — Instagram/Usanita.hq

"Ramai yang mencuba nasib untuk berniaga, tetapi majoritinya gagal walaupun belum separuh jalan.

"Perniagaan boleh diusahakan dengan ilmu tepat. Justeru, melalui Usanita saya ingin mengajak seramai mungkin kaum Hawa yang minat dalam bidang keusahawanan berniaga di bawah satu bumbung secara kolaborasi," tuturnya lanjut.

Ujarnya lagi, Usanita adalah pemudah cara antara usahawan, pihak kerajaan atau badan-hadan berkaitan keusahawanan.

"Kami bantu mendekatkan mereka (usahawan) yang memerlukan bantuan atau minat berniaga.

"Berdasarkan pengalaman dan pengamatan, ramai dalam kalangan peniaga terutamanya PKS tidak tahu langkah harus dilakukan, bahkan ada yang malu untuk bertanya walhal mereka amat memerlukan hantuan dan himbingan," jelas penerima anugerah The Brandlaureate SME BestBrands Awards 2023 kategori Women Entrepreneurship Empowerment.

WhatsApp Image 2024-09-03 at 19.42.19

Adzliana komited dalam membantu usahawan B40 dan M40 di negara ini.

Sehubungan itu, menerusi kewujudan Usanita Mall platform tersebut memberi peluang mengembangkan perniagaan khususnya usahawan wanita B40 yang berada di luar bandar memasarkan produk masing-masing.

"Usanita Mall merupakan platform e-dagang atau tempat pemasaran yang dibangunkan bertujuan memberi pendedahan mengenai perniagaan berasaskan digital selari dengan era modenisasi.

"Inisiatif ini harus dititiberatkan kerana setiap usahawan perlu mengubah kaedah dan strategi perniagaan sesuai corak pembelian masa kini.

"Lebih banyak ruang untuk usahawan berniaga, maka lebih besar peluang untuk mereka menjana pendapatan yang akhirnya membantu pertumbuhan ekonomi negara" tambahnya.

Usanita Mall dibuka secara percuma kepada semua peniaga dengan syarat perlu berdaftar sebagai perintis terlebih dahulu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram