Nanas punca graduan UPM bangkit usahakan sektor agropelancongan di Kajang


  • Bizz
  • Selasa, 03 Sep 2024

Pelancong sibuk memilih nanas yang ditanam di Saudagar Nanas Agrofarm.

KONSEP agropelancongan yang menawarkan pelbagai aktiviti berkaitan sektor pertanian dan perladangan kepada para pelancong semakin berkembang pesat di Malaysia.

Aktiviti yang mendapat sambutan dalam sektor tersebut termasuklah adalah lawatan ke dusun buah-buah dan ladang ternakan, penyelidikan serta inap desa.

Antara lokasi yang boleh anda kunjungi adalah di Saudagar Nanas Agrofarm yang berpangkalan di Sungai Merah, Kajang, Selangor. Ia bukan sahaja popular dalam kalangan pengunjung tempatan, bahkan turut mencuri perhatian pelancong luar negara.

BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global

BACA LAGI: Farina sanggup tinggalkan kerjaya wartawan demi pendidikan anak Sabah

Interview pengusaha ladang nenas untuk ruangan Bisnes. —LOW LAY PHON/The Star

Mohd Noorhardy bermula dengan tanaman nanas pada tahun 2018.

Mengenali Saudagar Nanas Agrofarm, Mohd Noorhardy Mohd Noorzain, graduan Sumber Manusia dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu begitu teruja berkongsi tentang perjalanannya dalam mengusahakan bisnes pelancongan agro.

Bagaimana anda mendapat idea menjadikan ladang nanas bukan sekadar kawasan pertanian, tetapi turut mengaut untung sebagai lokasi pelancongan?

Saya bermula dengan tanaman nanas tahun 2018. Setahun kemudian ketika bercuti di Cameron Highlands, Pahang, saya mendapat ilham untuk menukar konsep perusahaan ladang nanas kepada bisnes pelancongan agro.

Idea itu tercetus selepas singgah ke sebuah kafe yang menjual pelbagai produk menggunakan strawberi sebagai bahan asas seperti jus, nasi lemak, kek dan jem.

Sementara itu, bersebelahan dengannya dibuka kawasan untuk pengunjung memetik buah strawberi segar. Bertitik tolak daripada itu, saya berpendapat bahawa nanas juga boleh dipraktikkan dengan konsep yang sama. Maka, saya proaktif mengeluarkan jus, jem, kek dan ais krim berasaskan buah ini (nanas).

Bagi merealisasikan konsep pelancongan agro bukanlah mudah. Saya menjana pendapatan secara berperingkat menerusi penjualan jus, buah nanas potong sehingga dibuka kepada orang ramai pada 5 Februari 2022.

Interview pengusaha ladang nenas untuk ruangan Bisnes. —LOW LAY PHON/The Star

Mohd Noorhardy belajar teknik menanam buah nanas terlebih dahulu sebelum mengusahakannya di tanah milik bapa mentua seluas 1.21 hektar.

Dari segi cabaran, bagaimana anda menguruskan pelbagai produk berasaskan nanas secara serentak di satu kawasan?

Sebelum ini saya pernah mengalami kegagalan dalam perniagaan hingga mengalami kemurungan.

Buah nanas punca diri ini bangkit demi menyara keluarga. Saya bermula menjual nanas kepada orang ramai, kemudian urus niaga pula dengan pemborong sebelum membuka kios.

Tahun 2018 selepas mendapat bantuan benih daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), saya belajar teknik menanam buah ini lalu mengusahakannya di tanah milik bapa mentua seluas 1.21 hektar.

Daripada proses menanam, kemudian menjual margin keuntungan menjadi lebih tinggi. Secara tidak langsung, saya dapat menambah baik dan membuat pelbagai perubahan fasa demi fasa.

Adakah konsep pelancongan agro berpotensi menarik pelancong antarabangsa, sekali gus membantu pertumbuhan ekonomi negara?

Sejujurnya ya. Potensi pelancongan agro sangat tinggi terutamanya di kawasan yang mempunyai pemandangan indah. Jika kondisi infrastruktur jalan kurang memuaskan pun pengunjung akan tetap singgah.

Sebagai contoh, Boh Sungai Palas di Cameron Highlands. Biarpun perjalanan ke sana mencabar, tetapi sentiasa penuh dengan kehadiran orang ramai.

Mengapa? Faktor utama adalah kecantikan panoramanya ditambah dengan udara yang segar. Lagipun para pelancong gemar akan konsep back to nature yang memanfaatkan sumber alam semula jadi.

Cafe in the Saudagar Nanas Agrofarm at Kampung Sungai Merab Luar. Story on tourist spots in Dengkil. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

Pelancong menikmati hidangan yang terdapat di kafe dalam kawasan Saudagar Nanas Agrofarm.

Sehubungan itu, apakah perancangan anda untuk hisnes pelancongan agro?

Dalam bisnes pastinya mempunyai pelan jangka pendek dan jangka panjang. Sasaran saya pada tahun 2018 untuk mengusahakan tanaman seluas empat hektar dan pelancongan agro untuk tempoh lima tahun sudah tercapai.

Perancangan saya kini mengembangkan tanaman kerana jumlah permintaan buah kian meningkat. Selain itu, saya juga berhasrat membina konsep kafe seperti di Jepun dalam tempoh lima tahun memandangkan di negara matahari terbit, nanas begitu popular kerana ia dianggap super fruit.

Oleh itu, bagi merealisasikan pelan berkenaan kami dalam proses mengeksport nanas ke Jepun termasuk menjalinkan rangkain bersama pelbagai pihak berkaitan seperti kementerian dan kaunselor pertanian di sana (Jepun).

Perkembangan itu sedikit sebanyak membantu membimbing saya kaedah terbaik untuk menembusi pasaran di negara berkenaan.

Interview pengusaha ladang nenas untuk ruangan Bisnes. —LOW LAY PHON/The Star

Pelawat berpeluang melihat demonstrasi menghasilkan produk berasaskan nanas.

Nasihat anda kepada usahawan agro yang bercadang mengubah konsep pertanian biasa kepada pelancongan agro?

Konsep back to nature semakin diterima ramai. la bukan sahaja memberi peluang kepada orang luar mengenali lebih dekat bidang pertanian diusahakan, bahkan dapat membantu menjana pendapatan tambahan kepada usahawan agro.

Berdasarkan pengalaman, selain perlu mengumpul modal, jangan berhenti belajar konsep pelancongan agro. Saya gemar berkunjung ke kawasan ladang yang menawarkan konsep ini (pelancongan agro) di seluruh negara khususnya sekitar Pulau Pinang, selain Cameron Highlands.

Di Pulau Pinang, boleh dikatakan sebahagian besarnya dijadikan pelancongan agro seperti kandang kambing, ladang sayur dan taman bunga kerana ia diusahakan dalam pulau yang popular dengan pelbagai daya tarikan.

Dalam pada itu, jangan lepaskan peluang merujuk agensi kerajaan yang menawarkan pelbagai jenis bantuan. Selain bantuan daripada LPNM, saya juga mempunyai geran penambahbaikan pelancongan agro.

Bagi memastikan pelancongan agro yang diusahakan berada pada tahap terbaik, pengusaha perlu menawarkan pelbagai pakej menarik. Kebanyakan pelancong gemar mencuba aktiviti disediakan dan membeli produk untuk dibawa pulang.

Apakah aktiviti yang disediakan di Saudagar Nanas Agrofarm buat pengunjung?

Di sini pengunjung diberi penerangan dan pendidikan mengenai nanas. Mereka juga berpeluang menanam dan memetik buah (nanas). Inisiatif ini bertujuan memberi pendedahan tentang kelebihan bidang pertanian. Kemudian sesi lawatan ke bahagian nanas hiasan yang mana ramai tidak mengetahui terdapat 3,000 spesis nanas hiasan berbunnga.

Seterusnya, pelawat berpeluang melihat demonstrasi menghasilkan produk berasaskan nanas seperti kek dan piza. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram