DILAHIRKAN dengan phocomelia, Francis Xavier Kinjin @ Oliver Putut seharusnya diangkat menjadi contoh individu yang berjiwa kental.
Phocomelia adalah gangguan kongenital yang menyebabkan lengan dan kaki seseorang menjadi lebih pendek atau hilang sama sekali.
Gangguan kongenital yang jarang berlaku itu tidak menghalang lelaki Kadazan berkenaan daripada memasang impian besar dan mendorong dirinya untuk mencapai kejayaan membanggakan.
BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global
BACA LAGI: Farina sanggup tinggalkan kerjaya wartawan demi pendidikan anak Sabah
Kinjin mampu menghasilkan barangan rumah menggunakan paip PVC.
Dua tahun lalu, Kinjin berjaya merangkul pingat perak dalam acara angkat berat pada temasya Para Sukan Malaysia (Para Sukma) 2022.
Selain cemerlang dalam sukan, Kinjin mengisi hari-harinya dengan mengejar pelbagai minat, antaranya menjalankan perniagaan, berkecimpung dalam bidang pertukangan dan memiliki sijil dalam seni pastri.
“Meskipun dilahirkan tanpa kaki dan mengharungi pelbagai cabaran dalam hidup, tetapi saya tidak akan membiarkan dugaan ini meluntur semangat dalam diri saya.
"Saya ingin menunjukkan kepada dunia bahawa orang kurang upaya (OKU) juga boleh mencapai prestasi terbaik dalam masyarakat jika mereka mendapat peluang dan sokongan yang sesuai daripada komuniti,” katanya.
Lelaki berasal dari Penampang, Sabah itu memberitahu, mentalnya masih cerdas walaupun kekurangan dari segi fizikal.
Justeru dia berupaya melakukan banyak hal termasuk memandu.
"Saya mempunyai lesen memandu dan pada 2019, saya berjaya membeli Myvi serba baharu.
"Saya harap pencapaian ini dapat memberikan inspirasi kepada orang lain untuk berusaha keras demi mencapai impian mereka," ujarnya.
Kongsi anak bongsu daripada lima beradik itu lagi, dia teringat bagaimana ibunya, Claris Paulus, 71, menanamkan kata-kata semangat yang kuat dalam dirinya.
Pesan ibunya, tidak mempunyai kaki tidak menjadikan Kinjin berbeza dengan insan lain kerana dia masih mempunyai tangan dan akal fikiran untuk melakukan sesuatu.
Segala titipan daripada Claris sedikit pun tidak pernah terpadam daripada ingatan, malah dia sentiasa mengingati kebijaksanaan ibunya dan menerapkannya dalam segala perkara yang dilakukan, termasuk menyelesaikan masalah praktikal.
Claris (kanan) sentiasa mengingatkan Kinjin agar berdikari dan berusaha sendiri untuk melakukan segala hal.
"Saya berusaha untuk mencari penyelesaian sendiri, supaya diri ini boleh berdikari dan berdaya tahan tidak kira dalam keadaan apa pun.
“Apabila saya tidak dapat mencapai sesuatu, dia akan minta saya memikirkan cara mendapatkannya sendiri.
"Jika lapar, dia beritahu saya makanan ada di atas meja dan saya harus mendapatkannya sendiri. Jika tidak memikirkan cara untuk memanjat naik ke periuk nasi, maka saya akan terus berlapar," tambah lelaki itu.
Kinjin mengakui dia berasal dari keluarga miskin, bahkan bapanya juga meninggalkan mereka sekeluarga sejurus dia dilahirkan kerana tidak dapat menerima hakikat anaknya yang satu itu cacat.
Tambahnya, ibu hanya bekerja sebagai tukang cuci dengan pendapatan RM250 sebulan untuk membesarkan mereka adik-beradik.
"Sejak kecil, saya sudah mengenali kesusahan dan kemiskinan, namun bersyukur kepada Tuhan kerana memberi saya kekuatan untuk terus tabah,” kata Kinjin, yang menetap bersama ibunya.
Katil bayi adalah antara hasil ciptaan Kinjin yang popular dalam kalangan masyarakat di sana.
Tak pernah berhenti timba ilmu
Perjalanan Kinjin menemui halangan apabila dia terpaksa berhenti sekolah di Tingkatan Dua kerana kekurangan kemudahan untuk OKU di sekolah.
Dia berharap kerajaan akan menyediakan lebih banyak kemudahan bagi membantu pelajar berkeperluan khas.
“Masih kurang kesedaran tentang keperluan OKU, terutamanya di bandar-bandar kecil di Malaysia Timur.
"Saya masih ingat betapa sukarnya menghadiri kelas di sekolah rendah dan menengah, disebabkan halangan fizikal dan masalah pengangkutan.
“Saya juga berpendapat guru harus dilatih untuk membimbing pelajar kurang upaya, bagi membantu mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Michael di Penampang, Sabah itu.
Walaupun Kinjin meninggalkan sekolah ketika berumur 14 tahun, dia tidak pernah berhenti belajar.
Dia beralih ke pembelajaran melalui internet untuk terus mendapatkan maklumat tentang peristiwa global, di samping meningkatkan pemahamannya tentang perkara yang berkait dengan kehidupan seharian.
Usahawan itu turut menghasilkan ukiran kayu yang banyak diilhamkan daripada karya Leonardo da Vinci.
Bapa saudaranya, seorang tukang kayu, menjadi mentor, menyampaikan kemahiran hidup seperti kerja kayu, pertukangan dan memancing.
Kemahiran itu diperoleh dengan keazaman dan ketabahan, membentuk asas untuk usaha semasa Kinjin.
Kini, Kinjin mampu menghasilkan barangan rumah seperti katil anak damit, penyangkut pakaian dan rak menggunakan paip polivinil klorida (PVC).
Dia juga mencipta barangan kayu buatan tangan, termasuk gua dan ukiran yang diilhamkan daripada karya Leonardo da Vinci, The Last Supper, yang turut dikongsikan di Facebooknya.
Semangat keusahawanan tidak hanya bersandarkan bidang pertukangan, malah dia juga cuba mencari peluang lain seperti memancing.
Dengan hasil tangkapan yang diperoleh, Kinjin boleh menjualnya untuk menambah sedikit sumber pendapatan.
“Saya perlu memikirkan cara untuk mendapatkan pendapatan. Saya enggan membenarkan kecacatan fizikal menghalang daripada melakukan perkara yang diminati.
"Saya mungkin perlu bekerja lebih keras berbanding orang lain tetapi ia menjadikan saya lebih kuat dan tekad," tegasnya.
Kedai Runcit Oliver Pututs yang terletak di sebelah rumahnya sudah bertahan lebih 10 tahun.
Azam dan kemahuan
Pada 2011, Kinjin menerima biasiswa daripada Kolej Antarabangsa Pelancongan Asia untuk mengikuti persijilan dua tahun dalam seni pastri di kolej berkenaan.
Kinjin dengan bangganya berkata, dia adalah orang kurang upaya pertama yang mendaftar di kolej.
"Selepas tamat pengajian, saya bekerja sebagai tukang masak/tukang masak pastri di kedai roti selama enam tahun," kongsinya lagi.
Dia juga memang impian untuk menjalankan perniagaannya sendiri dan oleh itu, semasa bekerja dengan Sabah Cheshire Home untuk meningkatkan kesedaran tentang kebolehcapaian golongan OKU, Kinjin memutuskan untuk merealisasikan hasrat itu.
Sejak 2013, Kinjin menguruskan kedai runcit, Kedai Runcit Oliver Pututs di sebelah rumahnya.
Meski hanya berukuran kira-kira 3.5 meter (m) x 5m, namun ia amat bermakna bagi lelaki kurang upaya itu.
Pada awalnya cerita Kinjin, dirinya hanya mempunyai RM80 dalam simpanan, namun dengan wang itulah dia gunakan untuk memulakan perniagaan.
"Jadi saya menggunakan wang tersebut untuk membeli barangan makanan kering seperti mi segera, sardin tin dan telur.
"Kini, saya menjual pelbagai jenis barangan seperti beras, detergen dan minuman.
"Ada segelintir orang mengejek saya, mengatakan ia tidak akan bertahan, tetapi saya telah berjaya mengekalkan bisnes ini selama 10 tahun.
“Kunci untuk bertahan dalam apa jua keadaan adalah keazaman dan semangat kemahuan," ujarnya penuh semangat.
Kinjin adalah antara golongan OKU yang enggan ditakrifkan atau dihadkan oleh perbezaan fizikal atau kognitif mereka.
Individu seperti Kinjin dan penceramah atau pengarang motivasi, Nick Vujicic, yang dilahirkan tanpa tangan dan kaki akibat gangguan kongenital yang jarang dipanggil sindrom tetra-amelia, sering diraikan kerana keazaman mereka dan keupayaan mereka. — The Star/SHEELA CHANDRAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram