Dadah tak kenal mangsa, ayuh bangkit 'merdekakan' Malaysia


  • Massa
  • Ahad, 01 Sep 2024

Penyalahgunaan dadah masih membelenggu masyarakat negara ini walaupun ramai menganggap pengaruh media sosial lebih banyak memberi kesan kepada diri generasi masa kini. — Gambar Hiasan/Agensi,Penyalahgunaan dadah masih membelenggu masyarakat negara ini walaupun ramai menganggap pengaruh media sosial lebih banyak memberi kesan kepada diri generasi masa kini. — Gambar Hiasan/Agensi

PENYALAHGUNAAN dadah masih membelenggu masyarakat negara ini walaupun ramai menganggap pengaruh media sosial lebih banyak memberi kesan kepada diri generasi masa kini.

Isu yang berlarutan untuk jangka panjang ini sebenarnya sentiasa ada dalam masyarakat terutama dengan kewujudan pelbagai bentuk dadah baharu yang bukan sahaja memberi kesan serius kepada pelbagai aspek kehidupan, malah turut mendatangkan kemudaratan terhadap kesihatan fizikal, mental, emosi dan tingkah laku.

Lebih membimbangkan, penyalahgunaan dadah boleh menyebabkan ketagihan yang melampau hingga menjadikan penagih bergantung sepenuhnya kepada bahan terlarang itu untuk kelangsungan hidup.

BACA LAGI : Ibu bapa didakwa cuai hingga sebabkan anak perempuan 3 tahun positif dadah

BACA LAGI : Budak taska tiru aksi guna picagari, pernah lihat bapa suntik dadah — AADK

Yang pasti, sesiapa sahaja boleh menjadi penagih kerana dadah tidak memilih mangsa.

Kenyataan ringkas itu tentu sekali dapat disokong dengan berita pendakwaan sepasang suami isteri kerana mengakibatkan anak perempuan mereka yang berusia tiga tahun ketagihan dadah baru-baru ini.

Mangsa muda

Merujuk kepada data Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), penagih kanak-kanak yang berusia kurang 12 tahun menunjukkan penurunan iaitu dari 10 orang pada 2018, lima (2019), dua orang masing-masing pada 2020 dan 2021, manakala tahun lepas hanya seorang direkodkan terlibat dengan bahan terlarang itu.

Interviu klien AADK. — AZLINA ABDULLAH/The Star

Malaysia berdepan cabaran serius dalam usaha membanteras isu ketagihan dadah di mana statistik terbaharu menunjukkan jumlah penagih dadah meningkat kepada 145,526 orang pada tahun 2023, berbanding 130,788 orang pada tahun 2018.

Jika ada yang menganggap jumlah penagih kanak-kanak masih kecil dan ia tidak seharusnya menimbulkan kebimbangan, maka tanggapan itu seharusnya dibuang jauh kerana perlu diingat mereka adalah generasi masa depan negara yang telah terjebak pada usia terlalu muda.

Bayangkan apa yang akan berlaku apabila anak-anak yang telah terjerumus dalam kancah najis dadah itu mencapai usia remaja dan bagaimana pula kesannya kepada kehidupan mereka, keluarga serta masyarakat jika masih gagal membebaskan diri dengan ketagihan dadah.

Lebih parah jika ada ahli keluarga dan masyarakat yang berdepan masalah ketagihan dadah tetapi tidak melalui proses rawatan dan pemulihan, tambah kronik jika ada yang cuba menyembunyikan perkara itu kerana malu serta enggan dipulau orang sekeliling.

Cabaran serius negara

Berdasarkan statistik agensi itu juga, Malaysia berdepan cabaran serius dalam usaha membanteras isu ketagihan dadah di mana statistik terbaharu menunjukkan jumlah penagih dadah meningkat kepada 145,526 orang pada tahun 2023, berbanding 130,788 orang pada tahun 2018.

Berdasarkan data itu juga, kadar penagihan bagi setiap 100,000 penduduk turut meningkat dari 404 kepada 436.

Peningkatan terbesar dicatatkan di Johor, dengan jumlah penagih dadah bertambah daripada 12,313 orang pada 2018 kepada 15,940 orang pada 2023.

Dua negeri iaitu Selangor dan Sarawak juga mengalami kenaikan dengan golongan belia (19 hingga 39 tahun) masih merupakan kumpulan umur utama terlibat, selain peningkatan terhadap penagih dewasa (40 tahun ke atas) turut meningkat dengan ketara.

Dalam kalangan pekerja, penagih dalam kalangan pekerja sektor swasta meningkat kepada 37,923 orang pada tahun lalu berbanding 34,534 pada 2022, manakala kumpulan penganggur (39,437 orang) tahun lalu. Golongan bekerja sendiri juga menunjukkan peningkatan signifikan iaitu dari 30,303 kepada 36,627 orang.

Interviu klien AADK. — AZLINA ABDULLAH/The Star

Perkongsian mengenai klien yang mula mengambil dadah sejak di sekolah rendah menjadi antara kes yang mengejutkan kerana puncanya bermula akibat pelbagai masalah di rumah.

Penggunaan dadah jenis Amphetamine-Type Stimulants (ATS) seperti Methamphetamine mencatatkan kenaikan dari 84,439 kes pada 2010 kepada 104,122 kes tahun lalu, selain peningkatan penggunaan pil psikotropik dari hanya 75 pada 2018 kepada 1,488 tahun lalu.

Jika mengambil kira tahap pendidikan pula, walaupun penagih lepasan SPM menduduki carta tertinggi iaitu 55,855 tahun lalu, bagaimanapun perhatian seharusnya diberikan kepada kes melibatkan anak-anak yang masih di sekolah rendah yang angkanya mencecah 12,755 orang tahun lalu, berbanding 2018 iaitu 8,779 orang.

Majoriti temui klien

Melalui data yang menunjukkan peningkatan mendadak dalam kes-kes penagihan dadah, wartawan Adriana Mroon Ambrose dan Rahmi Jumriati Jono turun ke lapangan untuk mendapatkan gambaran sebenar isu penagihan dadah dan cabaran yang dihadapi petugas barisan hadapan dalam perjuangan membanteras penagihan bahan terlarang itu.

Ikuti siri eksklusif Menanti Malaysia Merdeka Dadah bermula 1 September ini yang memfokuskan kisah benar yang disampaikan klien AADK tanpa mengira usia dan latar belakang mengenai detik mereka mula berjinak-jinak dengan bahan terlarang sehingga mengalami ketagihan yang kronik.

BACA LAGI : Dadah: Yasin Sulaiman dipenjara seumur hidup, 16 sebatan

BACA LAGI : [VIDEO] Siap tayang 'dapur' dan plastik lut sinar dadah, 4 remaja sekadar bersembang lepas tonton filem — Polis Melaka

Berdasarkan tinjauan ke atas klien di beberapa Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di sekitar Selangor dan Perak, didapati kes penyalahgunaan dadah boleh berlaku dan bermula di mana-mana sahaja.

393775172_710163244477089_5487226945548693664_n

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh AADK, golongan wanita merekodkan jumlah penagih yang sedikit berbanding lelaki namun mengalami peningkatan dari 5,468 (2018) kepada 6,318 pada 2023. — Puspen Dengkil

Perkongsian mengenai klien yang mula mengambil dadah sejak di sekolah rendah menjadi antara kes yang mengejutkan kerana puncanya bermula akibat pelbagai masalah di rumah.

Temu bual khas wartawan Majoriti di Puspen, Seri Iskandar, Perak mendedahkan seorang remaja yang hanya ingin dikenali sebagai Iskandar mula mengambil dadah sejak berumur 12 tahun sehingga menjadi 'runner' menghantar syabu ke penagih di sekitar Pulau Pinang.

Malah, ada juga remaja yang sanggup mengambil dadah jenis heroin semata-semata untuk kurus demi memikat hati gadis pujaannya.

Walaupun statistik AADK menunjukkan jumlah remaja berusia 13 hingga 18 tahun merekodkan penurunan, iaitu 4,918 orang pada 2018 kepada 1,451 kes pada tahun lepas, ia tetap angka yang tidak boleh dipandang remeh. Namun, tidak harus dinafikan usaha gigih pelbagai pihak termasuk AADK antara penyumbang kepada penurunan angka penagih dalam kalangan remaja.

Berlainan pula dengan kisah klien-klien wanita di Puspen Dengkil, Selangor di mana hasil tinjauan mendapati golongan itu kebanyakannya terjebak kerana mudah terpengaruh dengan orang yang mereka cintai.

photo_2024-09-01_01-17-32

Wartawan Rahmi (dua dari kiri) dan Adriana (dua dari kanan) bersama Pengarah Puspen Seri Iskandar, Alisa (tengah) ketika membuat tinjauan pengaruh dadah dalam kalangan remaja dan kanak-kanak di Puspen Seri Iskandar, Perak baru-baru ini.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh AADK, golongan wanita merekodkan jumlah penagih yang sedikit berbanding lelaki namun mengalami peningkatan dari 5,468 (2018) kepada 6,318 pada 2023.

Namun, perjalanan agak berbeza buat seorang klien berasal dari negeri di selatan negara apabila kisahnya menjadi mangsa rogol abang angkat sendiri pada usia 11 tahun menyebabkan dia mengambil dadah untuk melupakan kisah hitam benar-benar meruntun jiwa.

Juga mengejutkan apabila dapat bertentang mata dengan bekas pemain bola sepak sebuah negeri yang terjerumus dalam najis dadah dan seks bebas hingga dikesan menghidap HIV.

Profesional jadi mangsa dadah

Bagi golongan profesional pula, pengaruh rakan sekerja dan tekanan kerja melampau merupakan antara faktor dan pendorong utama golongan berpendidikan tinggi dan profesional terjebak dalam pengambilan dadah.

Statistik AADK menunjukkan pembabitan golongan profesional yang berkelulusan ijazah, sarjana dan PhD juga meningkat kepada 717 orang pada tahun lalu berbanding 463 orang pada 2018.

Malahan, ada juga penagih dalam kalangan profesional ini disahkan menghidap jangkitan HIV ekoran pengambilan dadah.

origin

Salah seorang klien di Puspen Serendah disahkan menghidap jangkitan HIV ekoran pengambilan dadah. — Gambar Hiasan

Situasi itu, sekali gus mematahkan anggapan bahawa pengguna dadah melibatkan mereka yang keciciran sekolah dan ada masalah sosial semata-mata.

Masyarakat harus sedar gejala penyalahgunaan dadah boleh berlaku dalam kalangan orang terdekat tetapi perasaan malu dan takut untuk berhadapan kecaman menyebabkan bantuan yang sepatutnya diberikan kepada penagih dadah seperti menghantar mereka ke pusat pemulihan, diabaikan.

Sehubungan itu, stigma negatif masyarakat terhadap golongan penagih dadah juga perlu diubah, terutama terhadap bekas penagih yang sedang bergelut untuk kembali mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Hal itu kerana, sokongan keluarga dan masyarakat sangat penting bagi golongan tersebut untuk sentiasa kekal positif dan bersemangat menjauhi dadah.

Perkara tersebut turut diakui dan kekal menjadi harapan utama kakitangan barisan hadapan AADK, pakar psikologi dan bekas penagih dadah sendiri.

Bagi mereka, setiap penagih mempunyai 1,001 cerita dan alasannya yang tersendiri.

Namun jika dilihat secara meluas, bagi mereka penyalahgunaan dadah adalah salah satu unsur yang menghalang kemerdekaan bagi seseorang individu dari sudut jiwa dan pemikirannya.

Sehubungan itu, sempena hari kemerdekaan negara ke-67, diharap setiap penagih dapat bebaskan diri daripada cengkaman bahan terlarang dan kembali ke landasan hidup yang sebenar.

Tema Jiwa Merdeka itu sendiri memberi makna berbeza kepada setiap individu, erti kemerdekaan sebenar bukan sekadar bebas daripada penjajah, malah memerdekakan diri dan negara daripada masalah penyalahgunaan dadah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram