Ibu bapa didakwa cuai hingga sebabkan anak perempuan 3 tahun positif dadah


Ibu bapa dikenakan hukuman selepas didakwa cuai membiarkan anaknya berusia tiga tahun menghisap dadah. — Gambar hiasan

SEPASANG suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin atas pertuduhan melakukan kecuaian terhadap anak perempuan mereka berusia tiga tahun sehingga menyebabkan kanak-kanak itu positif dadah, minggu lepas.

Peniaga berusia 26 tahun dan isterinya berumur 21 tahun itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan di sebuah pangsapuri di Jalan Kuang Bertam, Kepong, Kuala Lumpur pada 11 pagi, 19 Ogos lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

BACA LAGI: [VIDEO] Pemilik berputih mata, motosikal lesap ketika berhenti solat subuh di Batu Caves

BACA LAGI: Bekalan insulin cukup hingga akhir tahun, KKM cari alternatif elak jejas pesakit — Dr Dzulkefly

Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin tidak menawarkan jaminan, namun jika mahkamah membenarkan jaminan, pihaknya memohon setiap tertuduh diikat jamin RM30,000 berserta syarat tambahan mereka perlu melapor diri di balai polis berdekatan serta tidak mengganggu saksi.

Peguam Edwin Thomas dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili pasangan terbabit memohon jaminan rendah atas alasan kedua-dua anak guamnya menanggung keluarga dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Hakim Izralizam Sanusi membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan serta menetapkan 10 Oktober untuk sebutan semula kes. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram