Dadah: Yasin Sulaiman dipenjara seumur hidup, 16 sebatan


  • Prosiding
  • Khamis, 22 Ogos 2024

Yasin dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi, Shah Alam pada Khamis.

KOMPOSER dan penyanyi, Yasin Sulaiman dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan dadah dihadapinya, dua tahun lalu oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada Khamis.

Hakim Datuk Norsharidah Awang menjatuhi hukuman itu selepas Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 49, didapati bersalah atas tiga pertuduhan dalam prosiding kes rayuan pendakwaan terhadap pembebasan penyanyi tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, Yasin didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini jam 5.30 petang, 24 Mac 2022.

BACA LAGI: MOU baharu pastikan pengambilan pekerja India lebih terurus — Steven Sim

BACA LAGI: [VIDEO] Gara-gara tak puas hati dengan juri, gelanggang silat SUKMA kecoh dibaling botol

Bagi kesalahan itu, Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama yang mana pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Pertuduhan ketiga pula, Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis '11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid' di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Yasin yang sebelum ini ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor, kemudiannya digari oleh pihak polis dan dibawa terus ke Penjara Kajang. The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram