Atuk, nenek dan cucu maut rumah separuh kayu, batu dijilat api di Pagoh


  • 112
  • Jumaat, 09 Ogos 2024

Tiga sekeluarga maut, manakala seorang cedera dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh pada awal pagi Jumaat. — Facebook/ Ismail Omar

TIGA sekeluarga maut, manakala seorang cedera dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Kampung Paya Redan, dekat Pagoh, Johor pada awal pagi Jumaat.

Video tragedi kebakaran tersebut turut tular di laman media sosial pada hari yang sama.

Melalui maklumat awal yang dikongsikan di laman Facebook, dalam kejadian pukul 1.30 pagi itu, api marak terlalu cepat dan orang awam hanya sempat menyelamatkan seorang remaja perempuan.

BACA LAGI: [VIDEO] Wanita trauma ditumbuk lelaki mental, abang ipar desak tindakan segera pihak berkuasa

BACA LAGI: [VIDEO] Ingatkan potong ayam, penduduk kampung di Indonesia kaget rupanya ‘kawan makan kawan’

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, mangsa yang meninggal dunia adalah Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82; isterinya, Ara Abdul Hamid, 76; serta cucu mereka, Noradriana Nor Hisyam, 11.

"Sementara itu, seorang lagi cucu mereka, Norazima Mohd Radhi, 14, cedera, dan menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

"Mohamed Nor dan Ara ditemukan maut di tempat kejadian, manakala Noradriana meninggal dunia ketika menerima rawatan di HPSF.

"Menurut saksi, kebakaran berkenaan melibatkan rumah separuh kayu dan batu dengan mangsa terbabit adalah empat orang.

"Sebaik menerima laporan itu, polis menggerakkan anggota ke lokasi, yang turut disertai bomba dan juga kakitangan Klinik Kesihatan Pagoh," katanya pada Jumaat.

Raiz Mukhliz berkata, punca kejadian belum dikenal pasti dan kebakaran itu memusnahkan 85 peratus rumah didiami keluarga terbabit.

"Api berjaya dipadamkan pada pukul 4.15 pagi dan mayat mangsa dibawa ke HPSF untuk bedah siasat," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pagoh, Mohd Fadli Ismail ketika dihubungi Harian Metro berkata, salah seorang mangsa berjaya diselamatkan orang awam.

Katanya, mereka cuba menarik keluar tiga lagi mangsa, namun gagal, disebabkan api sudah marak.

"Ketika diselamatkan, Noradriana masih bernyawa dan terus dibawa ke HPSF namun meninggal dunia ketika menerima rawatan." katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram